TINDAKAN PEGUAM NEGARA MENCEMAR KREDIBILITI PDRM BAWAH KDN DAN KEADILAN PERUNDANGAN NEGARA

683
SHARES
2.8k
VIEWS

Jumaat 21 Februari 2020, tindakan Peguam Negara menghentikan bagi meneruskan prosiding terhadap 12 individu yang menyokong perjuangan pengganas LTTE termasuk 2 ADUN merupakan suatu tindakan yang akan mendatangkan implikasi yang sangat buruk terhadap keadilan perundangan negara dan juga terang-terangan melanggar Perlembagaan.

2. Sikap yang agak pelik apabila di satu keadaan beliau bercakap tentang keadilan dan hak asasi manusia, dalam masa yang sama beliau bertindak melepaskan individu-individu yang menyokong kuat organisasi ganas yang telah membunuh rakyat tanpa mengira usia dan agama.

3. Alasan kerana status sesebuah pertubuhan atau kumpulan dari label ‘pengganas’ telah ditarik oleh negara luar tidak bermaksud kumpulan ini telah suci bersih dari sebarang kegiatan keganasan dan bukan juga hujah perkara itu tidak akan berlaku lagi selamanya.

4. Dan jika alasan menyokong atau mengangkat idola seorang penjenayah antarabangsa itu bukan kesalahan, apakah beliau juga ingin mengatakan sesiapa yang menyokong dan mengangkat Adolf Hitler atau Stalin tidak lagi bersalah? Dan apakah juga beliau sudah boleh terima yang Khmer Rouge, Nazi, komunis, fasis dan semua kumpulan pengganas yang dahulu, kini sudah murni, tidak lagi mengancam negara, mereka sudah bebas dan boleh menghidupkan kembali fahaman mereka, boleh bertanding dan ahlinya boleh mengundi?

5. Seluruh dunia tahu, suatu ketika LTTE sama sahaja ganasnya seperti Nazi, fasis, komunis yang jelas telah melakukan banyak keganasan dan kekejaman terutamanya di Sri Lanka, dan operasi ketenteraan mereka bergerak di seluruh dunia. Mereka mencari dana dan mengumpul senjata untuk menjalankan aktiviti keganasan mereka di Sri Lanka. Dunia pernah menyenaraikan kumpulan ini sebagai ‘terrorist’ sama seperti ISIS dan banyak lagi gerakan pengganas antarabangsa. Dan Malaysia menyenaraikannya sejak 2014.

6. Selain itu yang paling menggusarkan rakyat ialah ungkapan “Rule of Law” yang dilaung-laungkan oleh mereka yang banyak memanipulasi perkara-perkara yang berkaitan perundangan seperti kes pembunuhan Allahyarham Adib, sehingga hari ini dilihat sengaja dilengah-lengahkan. Rakyat meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap parti yang menjadi kerajaan hari ini, tapi malangnya telah mengkhianati amanah besar menjaga keadilan negara dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal.

7. Lebih menyedihkan, tindakan sembrono dan gopoh membuat keputusan oleh Peguam Negara secara tidak langsung telah mencemarkan nama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Selepas ini setiap tangkapan yang dilakukan oleh PDRM tidak terjamin ketepatan siasatannya. PDRM tidak bersih, cekap dan amanah?

8. “Saya ingin menegaskan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan di bawah undang-undang. Peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri. Untuk rekod, selain Malaysia beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mempertahankan kewibawaan KDN hari ini.

9. Apapun keputusan Peguam Negara bagaikan memberikan gambaran bahawa negara Malaysia adalah “Heaven for Terrorism”, atau lebih tepat lagi bakal menjadi sarang berkumpulnya gerakan-gerakan pengganas dan kumpulan-kumpulan ekstremis yang memperjuangkan ideologi-ideologi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

10. MUAFAKAT berasa amat bimbang dengan pendekatan Peguam Negara dalam membuat keputusan menolak prosiding terhadap 12 individu yang menyokong LTTE yang telah dipantau oleh PDRM ini akan menimbulkan tanggapan negatif oleh negara luar dan tidak mustahil Malaysia bakal disenaraikan sebagai negara sarang pengganas.

Justeru, MUAFAKAT menuntut supaya Peguam Negara Tommy Thomas meletakkan jawatan dengan segera bagi mengelakkan negara hancur di tangan beliau.

Pihak berwajib harus juga menyiasat 60,000 orang yang telah memberi tandatangan menyokong dan meminta supaya tahanan LTTE dibebaskan. Kesemua 60,000 orang itu dengan sukarela memberitahu bahawa mereka adalah penyokong LTTE.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts