HANIFF KHATRI BIDAS PEGUAM NEGARA DALAM ISU LTTE

633
SHARES
2.3k
VIEWS

Isu menamatkan prosiding bagi 12 orang tertuduh dalam kes sel pengganas LTTE termasuk 2 ADUN DAP  oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, turut mendapat maklum balas daripada Datuk Haniff Khatri Abdullah, seorang Peguam yang sering dikaitkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, sungguhpun Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membawa pertuduhan, meneruskan atau menggugurkan pertuduhan jenayah, tetapi beliau tidak boleh membelakangkan kuasa eksekutif Menteri Dalam Negeri. 

Malah contoh-contoh bagi alasan yang dikemukakan oleh Tommy dalam menjustifikasikan tindakannya tidak meneruskan pertuduhan ke atas mereka yang terlibat, juga ‘agak merbahaya’.

Menurut beliau lagi, kenyataan Tommy turut dilihat seolah-olah mengecilkan peranan pasukan pendakwaraya dan siasatan lengkap yang dibuat oleh pihak polis berhubung kewujudan sel pengganas kumpulan LTTE dan pihak-pihak yang menyokongnya.

“Maaflah, dengan penuh rendah diri saya katakan ini. Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan kandungan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tommy bagi menamatkan prosiding terhadap 12 individu menyokong LTTE ini.”

“Memang benar mungkin di Sri Lanka dan Eropah, LTTE tidak lagi dianggap sebagai satu kumpulan pengganas tetapi bagaimana pula di Malaysia?” 

“Di sini, ia masih lagi digazetkan sebagai satu organisasi pengganas. Kita masih tertakluk dengan undang-undang kita.”

“Sepatutnya Tommy menasihati terlebih dahulu Menteri Dalam Negeri untuk menggugurkan kumpulan LTTE dari yang digazetkan kerajaan sebagai satu organisasi pengganas.”

“Walaupun senarai pertubuhan pengganas perlu dikaji setiap enam bulan, tetapi ia tertakluk kepada keputusan Menteri berkenaan dan bukannya hak Peguam Negara untuk membatalkan kesemua pertuduhan.”

“Hakikatnya Peguam Negara tidak boleh menidakkan kuasa seorang Menteri Dalam Negeri itu, melangkaui kuasanya dengan membuat keputusan seperti ini.”

“Itu tidak memberikan apa-apa jaminan bahawa selepas kematian Prabakaran, LTTE sudah tidak aktif, lebih-lebih lagi dengan tangkapan Selvarasa pada 2009 di negara ini.” 

“Jangan kita lupa dengan kenyataan Datuk Ayob Khan yang terlibat dengan siasatan kumpulan LTTE ini, beliau pernah mendedahkan tentang sasaran mengebom kedutaan Sri Lanka di Malaysia enam tahun dahulu oleh ahli LTTE.” 

“Alasan Tommy kononnya isu LTTE ini sebenarnya enam tahun dahulu sebenarnya langsung tidak masuk akal, malah sebenarnya agak merbahaya sekali.” 

“Begitu juga dengan isu fahaman Nazi. Lambang swastika dan pemimpin Adolf Hitler masih lagi menjadi kebimbangan dunia kerana ada pihak yang masih mahu menghidup falsafah perjuangan yang disifatkan sebagai anti-semitik.” 

“Isu keganasan ini sebenarnya amat kompleks sekali, jangan fikir satu organisasi itu boleh mati atau mansuh begitu sahaja, selagi ada mana-mana pihak bersimpati dan menyokong falsafahnya, itu bermakna ia akan dihidupkan kembali” 

“Tidak adil langsung apa yang kamu buat kepada pegawai pendakwa kamu ini. Kamu memalukan mereka sebenarnya dan semua ini langsung tidak boleh diterima.”

Justeru rakyat yang menanti tindakan tegas kerajaan terhadap mana-mana sel pengganas seperti LTTE ini berasa kecewa dengan tindakan Peguam Negara yang dilihat lebih selektif, memihak dan tidak adil.

Kini seluruh tumpuan diarahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana tindakan Tommy ini dilihat membelakangkan pihaknya yang masih mewartakan LTTE sebagai sel pengganas. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts