WUJUDKAN DANA UMAT ISLAM TANAHAIR, AMBIL IKTIBAR DARI KEMELUT TABUNG HAJI

530
SHARES
2.7k
VIEWS

20 Februari 2020

Sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, ada sahaja isu kontroversi yang memanaskan ‘suhu’ politik dan ekonomi negara.

Selain satu persatu entiti perniagaan dan pelaburan serta aset strategik negara dijual ke pihak lain termasuk negara jiran, kini isu cadangan hutan simpan ingin dinyahwarta pula berlaku, menjadikan hutan simpan pula tersenarai sebagai ‘aset’ tidak selamat dan menjadi sasaran.

Aset-aset negara dan hutan simpan yang sepatutnya ditambah, sebaliknya dijual dan dinyahwarta dan dikurangkan pula di zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah aset-aset umat Islam termasuk Tabung Haji yang kerap menjadi sasaran.

Kemelut ini tidak akan terhenti selagi ada pihak tidak berpuas hati menjarah seluruh aset-aset serta entiti perniagaan dan pelaburan strategik negara kerana selagi berpeluang menjadi sepenggal, maka masa yang ada tidak disia-siakan.

Oleh yang demikian, apakah kesudahannya bagi episod “jualan murah sepanjang penggal” ini berlangsung?

Sampai bila rakyat terutamanya umat Islam di negara ini harus menanggung penghinaan dan kemusnahan sebegini?

Tangan-tangan rakyat yang sedang menyesal mengundi ketika ini tidak boleh disalahkan 100 peratus kerana umpanan manifesto dan janji-janji manis Pakatan Harapan sebelum menang pilihan raya amat menggiurkan.

Walaupun mereka tetap bersalah, tetapi jika berterusan disalahkan, ini tetap tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, kecuali ketika Pilihan Raya Umum ke-15 kelak, diharapkan mereka telah insaf dan tidak lagi mengundi Pakatan Harapan. 

Justeru umat Islam perlu mengambil tindakan pantas dan bijak ketika masa yang begitu kritikal begini.

Perlu diadakan satu dana khas umat Islam tanahair yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa jua, tidak kira siapapun yang memerintah, tidak kira apa jenis pemimpinpun tidak boleh mengganggu dana tersebut. 

Jika setiap umat Islam menyumbang hatta serendah seringgit satu bulan, sebagai contoh jika satu keluarga yang terdiri dari empat anggota, ibu bapa dan dua anak, maka bayangkan jika setiap bulan satu keluarga seramai empat orang itu akan menyalurkan sebanyak empat ringgit ke tabung Dana Umat Islam Tanahair tersebut atau boleh diringkaskan sebagai DUIT sahaja. 

Setahun jika ada sejuta keluarga dengan jumlah anggota yang sama maka umat Islam di negara ini sudah berjaya mengumpulkan sebanyak 48 juta ringgit setahun dalam DUIT tersebut! 

Ibu bapa bertanggungjawab walaupun anak-anaknya masih kecil ataupun bayi untuk memastikan dana seorang seringgit setiap bulan berjaya dikumpulkan.

Seterusnya dana yang terkumpul sebanyak 48 juta sebulan ini boleh dilaburkan dengan bijak agar ia berjaya dikembangkan dengan baik untuk tujuan membantu umat Islam. 

Maka bayangkan jika 10 tahun dilaksanakan, maka hampir setengah bilion atau 480 juta ringgit telah berjaya dikumpul dan boleh dilaburkan oleh DUIT untuk dilipatgandakan secara patuh syariah. 

Jika ada pihak yang skeptikal dan mengatakan cadangan ini sama seperti Lembaga Tabung Haji, Pusat Zakat dan lain-lain entiti bertujuan membantu umat Islam, jawapannya sama sekali tidak. 

Ini kerana DUIT ini tidak beroperasi seperti entiti-entiti tersebut di mana;

1. Diletakkan di bawah Majlis Raja-raja sebagai 9 Pemegang Amanah Bersama, diketuai oleh YDP Agong, maka jika kerajaan bertukar setiap tahun sekalipun maka DUIT tidak akan terkesan dengan perubahan politik negara.

2. Dipantau dan diselia oleh para ulamak, termasuk para Presiden NGO Islam di seluruh tanahair seperti UMMAH, MUAFAKAT dan lain-lain, manakala parti yang berteraskan Melayu dan Islam seperti PAS, UMNO dan PUTRA serta lain-lain, bertujuan menjaga Perlembagaan DUIT agar dilaksanakan mengikut apa yang dirancang

3. Pusat Zakat Negeri ataupun Tabung Haji dan lain-lain entiti berkaitan tetap berada di bawah kawalan kerajaan, contohnya Tabung Haji sewenang-wenangnya diletakkan di bawah syarikat di bawah SPV Kementerian Kewangan walaupun majoriti umat Islam tidak menyetujuinya

4. Tujuan utamanya adalah untuk waktu-waktu mendesak, sebagai contoh seperti kemelut yang berlaku dalam Tabung Haji, maka melalui dana terkumpul ini, ladang-ladang sawit yang telah terjual kepada syarikat bukan Muslim boleh diselamatkan, hotel-hotel yang kononnya bukan dijual tetapi  ‘diambilalih’, boleh diambilalih oleh DUIT dengan cara yang sama dilaksanakan oleh Menteri Agama dan Tabung Haji ketika ini

5. Dana terkumpul tidak bertujuan untuk disalurkan keluar bagi membantu maslahat umat Islam di lain-lain negara kerana tujuannya jelas untuk ‘kegunaan kecemasan’ dari aset umat Islam terlepas ke tangan orang bukan Islam

6. Dana terkumpul dalam DUIT juga boleh difungsikan sama seperti Tabung Haji, untuk memberi bantuan kepada umat Islam yang ingin mengerjakan Haji dengan membantu mencukupkan jumlah penuh tanpa subsidi untuk mengerjakan haji, jika ketika itu Tabung Haji masih lagi tidak memberi bantuan subsidi seperti sebelum ini

7. Syarikat-syarikat milik umat Islam boleh membantu DUIT dengan memberi sekurang-kurangnya seringgit sebulan, mengikut jumlah kakitangan syarikat atau organisasi masing-masing sebagai bantuan tambahan demi maslahat umat Islam

8. Masjid dan surau yang ingin menyumbang juga boleh berbuat demikian mengikut kemampuan masing-masing dan bayangkan jika ini dilakukan secara tetap maka hampir 100 juta sebulan boleh dikumpulkan

9. Pelaksana atau pemegang amanah bagi menjaga hal ehwal DUIT ini hanya bertanggungjawab terhadap umat Islam seluruhnya dan tidak boleh ada sesiapa hatta Perdana Menteri sekalipun boleh menukar Perlembagaannya sesuka hati atau meletakkannya di bawah mana-mana kementerian. 

10. Membuat kerjasama dengan negara-negara Islam lain yang simpati dengan nasib umat Islam di negara ini yang semakin kehilangan aset-aset dan entiti perniagaan patuh syariah, bagi meningkatkan dana, jalinan perniagaan dan maslahat Islam lainnya.

Setiap cadangan dan idea tentunya memerlukan banyak penelitian, analisa dan penambahbaikan namun jika tidak diusaha untuk pecahkan ruyung, bagaimana kita akan memperoleh sagunya?

Cendekiawan Islam dan para ulamak pastinya ramai yang mampu menyumbangkan idea, memberikan cadangan dan pandangan yang bernas demi maslahat agama.

Malah Majlis Raja-raja Melayu juga pasti mempunyai pandangan bernas dan saksama demi menjaga aset dan maruah umat Islam di negara ini, dalam iklim yang semakin mencabar.

Jika langsung tidak difikir dan diusahakan, tidak mungkin kita akan ada simpanan untuk membantu Tabung Haji dan apa jua entiti milik umat Islam lain, seperti yang sedang berlaku di depan mata pada hari ini.

Suatu ketika dahulu kita tidak sangkapun keadaan akan menjadi sebegini teruk, maka jangan sekali-kali  kita ulangi kesilapan yang sama.

Jangan jatuh dalam lubang yang sama buat kali kedua, jika kejadian pertama masih tidak dijadikan iktibar dan masih kata ‘tidak mengapa’.

Kita wajib bersedia. 

Wallahualam.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts