KEMENANGAN TUN MAHATHIR DAN ANWAR GIGIT JARI?

918
SHARES
5.1k
VIEWS

Oleh M. Fatih

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok dinantikan keputusannya oleh seluruh rakyat Malaysia.

Adakah Tun Mahathir Mohamad akan diperakukan untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga selesai Persidangan APEC, November ini (Malaysia tuan rumah)?

Adakah Majlis Presiden juga membuat keputusan tetap mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri pada Mei ini atau setidak-tidaknya dimuktamadkan pelan peralihan kuasa yang jelas?

Atas kertas kelebihan nampaknya kepada Tun Mahathir yang telah mengatur strategi mempamerkan kekuatan politiknya. Ini bersandarkan kepada pelan Pakatan Nasional melibatkan kerjasama dengan UMNO, Pas dan beberapa parti bukan PH (termasuk Bersatu, penyokong Azmin Ali dalam PKR dan segelintir Ahli Parlimen PH). Ini meliputi undi tidak percaya oleh PAS dengan sokongan UMNO, yang akan sangat ditakuti oleh Anwar dan DAP.

Selain itu, Perdana Menteri sudah bersedia dengan pelan luar jangka iaitu membuat rombakan kabinet besar-besaran dan mendakwa di mahkamah beberapa pemimpin PKR, DAP dan Amanah atas tuduhan termasuk salah laku seks dan rasuah.

Akhir-akhir sekali ialah langkah membubarkan Parlimen.

Sekiranya pada mesyuarat Majlis Presiden itu nanti Tun Mahathir menghadapi tekanan daripada komponen parti PH yang lain dan menolak formula beliau untuk kekal sebagai PM sehingga selepas November, beliau sudah sedia bertindak.

Dengan semua pelan tindakannya, Anwar dan sekutunya dalam Pakatan iaitu DAP dan Amanah pasti berada pada kedudukan yang rumit dan mereka bakal rugi segala-galanya.

Dengan kata lain Anwar, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu tiada pilihan melainkan akur kepada Tun Mahathir. Ini bermakna mereka tidak boleh memaksa dan mengugut Tun Mahathir untuk melaksanakan pelan peralihan yang telah dirangka iaitu antaranya melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri menjelang Mei ini, sebelum penyerahan kuasa penuh pada akhir tahun.

Sekiranya Majlis Presiden PH bersetuju untuk menerima formula Tun Mahathir maka ia adalah kemenangan kepada beliau, yang besar maknanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Tun Mahathir, beliau sudah bersedia dengan pelan utama kedua bagi meneutralkan dan akhirnya menolak Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.

Hakikatnya Tun Mahathir tetap tidak mahu Anwar sebagai Perdana Menteri atas banyak faktor terutama isu akhlak buruk Anwar dan LGBT, mengamalkan liberalisme dan sikapnya ikut telunjuk kuasa besar serta Anwar memang tidak boleh dipercayai untuk menjaga legasi beliau (Tun Mahathir).

Walaupun Perdana Menteri telah menyatakan secara terbuka untuk berpegang kepada janji, itu hanya lakonan beliau sebagaimana lakonan Anwar dan pemimpin DAP mahu mempergunakan Tun Mahathir bagi kepentingan agenda mereka.

Selepas ini, Tun Mahathir mempunyai tempoh masa yang cukup sehingga November bagi mengukuhkan cengkaman politiknya selain lebih bersedia untuk melumpuhkan Anwar dan sekutunya.

Maka Anwar akan terkena lagi iaitu terjerat dalam muslihat Tun Mahathir dan akhirnya terlepas peluang menyandang jawatan Perdana Menteri.

Kasihan Anwar, beliau terus gigit jari… menjadi bakal Perdana Menteri yang tidak bernoktah dan terus dipersendakan oleh rakyat Malaysia dan dunia luar.

Kini, Anwar dilihat seperti harimau yang tiada taring walaupun jumlah kerusi PKR lebih besar dan ucapannya berdegar-degar. Faktor sokongan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kepada Tun Mahathir dan kurangnya sokongan Melayu antara kekangan Anwar untuk melanggar Tun Mahathir.

Realitinya Anwar bukan lagi Anwar era 1998 yang dapat membawa rakyat ke jalanan melawan Tun Mahathir. Ketika itu ramai Melayu terutama ahli-ahli PAS bersama Anwar tetapi kali ini tidak lagi. Jika dalam permainan catur, Anwar tidak mampu melakukan checkmate tetapi Tun Mahathir hampir pasti melakukannya ke atas Anwar walaupun beliau sudah berusia 94 tahun dan partinya juga lebih kecil dalam Pakatan Harapan. 

Sebab itu Perdana Menteri begitu yakin dan tidak gentar untuk berlawan dengan Anwar bagi satu pusingan lagi. Itulah juga gurauan Tun Mahathir ketika Anwar duduk di sebelahnya pada satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden PH.

Menurut sumber itu lagi, apabila Tun Mahathir bersetuju untuk menari di pentas terbuka pada satu majlis baru-baru ini, ia sebenarnya isyarat bahawa beliau tidak tertekan, masih cergas fizikal dan mental serta bersedia hadapi peperangan politik baru.

Apa yang pasti jerat Tun Mahathir ke atas Anwar sudah mengena dan beliau menang lagi dalam percaturannya.

Menurut penasihat-penasihat Tun Mahathir termasuk Tun Daim Zainuddin, Kadir Jasin, Rais Yatim, Mokhzani Mahathir, Syed Hamid Albar dan Rafidah Aziz:

Jika Tun Dr. Mahathir boleh bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga November, bermakna peluang Anwar sudah tertutup. Inilah situasi “now or never” bagi Anwar jika beliau mahukan jawatan itu tetapi realitinya Anwar sudah tiada kudrat politik untuk mengatasi Mahathir.

Inilah masalah Anwar apabila terlalu mengejar dan menjaga sokongan bukan Melayu menyebabkan kehilangan sokongan majoriti Melayu dan Bumiputera.

Jika beliau tidak bertindak segera dan berani pada mesyuarat Majlis Presiden PH, tiada lagi esok bagi Anwar untuk mimpikan jawatan Perdana Menteri.

Nampaknya kita sudah boleh mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir tetapi ucapan dukacita dan simpati kepada Anwar.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts