UMAT ISLAM MERAYU CAMPUR TANGAN YDP AGONG DALAM ISU TABUNG HAJI

6.4k
SHARES
4.6k
VIEWS

Majoriti umat Islam di negara ini  tidak kira penyokong kerajaan Pakatan Harapan ataupun pembangkang berasa amat risau mengenai penjualan aset-aset Tabung Haji secara berleluasa.

Entiti milik umat Islam yang selama ini mencarum dan menyimpan sehingga mencapai puluhan bilion ringgit sehingga Tabung Haji mampu berkembang dan menjadi contoh ke seluruh dunia, sehinggakan sentiasa mendapat keistimewaan Arab Saudi, kini dalam situasi yang amat genting. 

Pelbagai aset-aset yang dimilikinya telahpun dijual termasuk ladang-ladang sawit puluhan ribu hektar tergadai ke tangan pihak lain yang juga bukan Islam sedangkan pemilik sebenar adalah umat Islam di negara ini. 

Apa yang lebih memeranjatkan, penjualan aset-aset ini seolah-olah cuba diselindungkan dengan menggunakan istilah ‘pindah milik’, sedangkan secara logiknya jika sesuatu aset itu dipindah milik, walau apapun perjanjian di belakangnya, ia tetap memberi satu jawapan yang sangat jelas iaitu “aset tersebut telahpun dimiliki oleh pihak lain“.

Tidak kira jika ia dibayar secara berhutang dan ansuran, dibayar secara pemilikan saham dan terbitan sukuk, pembayaran dibuat secara ‘offset‘ atau sistem barter dan lain-lain kaedah pembayaran yang rasional dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak – ia tetap menjelaskan maksud bahawa ia telah dimiliki oleh pihak lain.

Menteri Agama yang bertanggungjawab sepatutnya menjadikan Islam sebagai asas atau panduan dalam membuat sebarang keputusan mengenai Tabung Haji, tanpa mengabaikan umat Islam yang selama ini mencarum. 

Beliau tidak boleh berlepas tangan dengan mengatakan tidak tahu atau tidak terlibat kerana Tabung Haji jelas berada di bawah tanggungjawabnya dan merupakan amanah beliau terhadap umat Islam di negara ini.

Jika Menteri Agama sendiri tidak mampu menggalas tanggungjawab menjaga amanah umat Islam, sehingga aset-aset Tabung Haji terjual, termasuk yang terkini hotel-hotel yang menguntungkan, maka;

Umat Islam di Malaysia merayu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, selalu Ketua Agama Islam bagi sebuah negara yang agama rasminya juga adalah Islam, agar menghentikan serta merta tindakan Tabung Haji di bawah tanggungjawab Menteri Agama dilihat tidak mampu menerajuinya dengan baik.

Ini agar dapat memberi laluan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) dilaksanakan untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku di Tabung Haji selama ini di bawah seliaan Menteri Agama dan syarikat SPV iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang juga diketuai oleh seorang CEO bukan Islam, yang tentunya tidak mampu memahami aspirasi Tabung Haji dengan baik. 

Umat Islam merayu dengan penuh rasa rendah hati atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, agar dapat membantu RCI ini dilaksanakan demi mencari keadilan dan mengetahui kebenaran di sebalik penjualan aset-aset, entiti perniagaan dan pelaburan Tabung Haji.

Ini kerana Tabung Haji sepatutnya menjaga sebaik mungkin dan bukannya menggunakan jalan mudah dengan menjual segala aset-aset Tabung Haji dengan alasan penambahbaikan dan penstrukturan, maka melalui RCI inilah jalan penyelesaiannya. 

Melalui dapatan dan kesimpulan melalui pelaksanaan RCI ini diharapkan agar Tabung Haji dapat;

1) Menghentikan penjualan  sebarang aset, entiti perniagaan dan pelaburan milik Tabung Haji dan entiti di bawahnya

2) Mengambil semula mana-mana aset dan entiti perniagaan yang telah dijual atau ‘dipindah milik’ oleh pengurusan Tabung Haji demi mengembalikan semula ikon umat Islam negara ini ke landasan asal

3) Tidak lagi dikawal oleh SPV UJSB di bawah Kementerian Kewangan sebaliknya diuruskan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidangnya serta mengutamakan agama dan maslahat ummah, bukannya perniagaan atau politik yang diutamakan

Dengan matlamat utamanya bagi membantu dan memudahkan urusan umat Islam menunaikan haji, seperti yang telah diilhamkan oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, melalui penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji pada tahun 1969.

Justeru, kami sekalian rakyat jelata  umat Islam di Malaysia, memohon dan merayu dengan penuh rendah hati kepada Seri Paduka Baginda Tuanku Yang Di-Pertuan Agong agar rayuan ini dapat diperkenankan oleh Baginda Tuanku.

Semoga rayuan ini menjadi iktibar kepada seluruh rakyat dan pemimpin, agar janganlah segala-galanya dikorbankan demi percaturan politik dan kuasa.

Ini kerana walau apapun yang berlaku di sebalik kemelut Tabung Haji, tiada satupun umat Islam yang redha apabila harta milik umat Islam yang tujuannya juga demi Islam dan umatnya, menjadi milik bukan Islam.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah kami rakyat jelata harap diampun.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts