PERALIHAN KUASA: PENYOKONG ANWAR TERTUKAR ANTARA “TUAK DAN TUKIR”

2.3k
SHARES
13.5k
VIEWS

Oleh Dr. Kamarul Yusoff 

Kita perlu berterima kasih kepada pemimpin DAP, Liew Chin Tong, di atas tulisan beliau bertajuk “Pencerahan Tentang Peralihan Kuasa” dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Rujuk: https://www.google.com/amp/s/amp.sinarharian.com.my/article/70422/KHAS/Pendapat/Pencerahan-tentang-peralihan-kuasa

Tulisan beliau, pada hemat saya, benar-benar mencerahkan kerana penegasan beliau bahawa “tiada tarikh ditetapkan untuk peralihan kuasa antara Perdana Menteri ketujuh dan kelapan” menguatkan lagi kenyataan serupa yang dibuat oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, pada 1 Januari 2019 dan kenyataan serupa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin BERSATU, termasuk jawapan rasmi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, di Parlimen pada 4 April 2019, yang berbunyi:

Peralihan kuasa kepada Perdana Menteri Kelapan adalah persefahaman yang telah dicapai semasa penubuhan Pakatan Harapan tanpa menetapkan secara jelas tempoh pelaksanaannya”.

Pencerahan Liew Chin Tong ini sekali gus menafikan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu di dalam PKR, di dalam DAP mahupun di dalam AMANAH bahawa peralihan kuasa antara Perdana Menteri ketujuh dan kelapan ini telah ditetapkan untuk berlaku dalam tempoh dua tahun.

Bacaan saya sendiri ke atas ayat yang digunakan dalam “Muafakat Pakatan Harapan” yang ditandatangani oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM, Tuan Tan Kok Wai selaku Pengerusi DAP dan Tuan Haji Mohamad Sabu selaku Presiden AMANAH pada 6 Januari 2018 berbunyi “proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8” adalah begini:

(1) Selepas dibebaskan dari penjara, Datuk Seri Anwar hendaklah segera bertanding dalam pilihan raya kecil untuk dilantik ke dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan (ini adalah bagi memenuhi frasa “segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan”).

(2) Selepas berperanan dalam Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar hendaklah kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8 (ini adalah bagi memenuhi frasa “dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8”).

(3) Tempoh Datuk Seri Anwar “diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8” yang tidak dinyatakan boleh mengambil mana-mana tempoh antara tarikh Datuk Seri Anwar berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan sebelum pembubaran Parlimen.

Oleh itu, pada hemat saya, tidak sepatutnya menjadi satu isu jika peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar ini berlaku dalam tempoh tiga tahun atau empat tahun sekalipun asalkan ianya adalah sebelum berlakunya pembubaran Parlimen.

Bendahari Pakatan Harapan, Datuk Husam Musa, malah lebih ekstrem lagi dengan menyebut dalam kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 12 Julai 2019 bahawa peralihan kuasa ini boleh sahaja berlaku dalam tempoh “lima tahun atau mungkin satu penggal setengah”.

Apa yang sepatutnya menjadi keutamaan bagi memenuhi hasrat “Muafakat Pakatan Harapan” ini ialah untuk memasukkan Datuk Seri Anwar ke dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan selaras dengan kehendak tersuratnya supaya beliau “segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan”.

Malangnya, para penyokong Datuk Seri Anwar kelihatan sangat celaru minda mereka kerana tidak dapat membezakan yang mana satu ‘tuak’ dan yang mana satu ‘tukir’.

(Tukir adalah bekas menyimpan air tuak) 

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3028464513864253&id=100001022016761

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts