KENYATAAN MEDIA NGO PEMBELA DAN PERTAHAN

60
SHARES
405
VIEWS

KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA) DAN GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN SILAT
PERTAHAN PERLEMBAGAAN (PERTAHAN)

15 Februari 2020

SERAHAN MEMORANDUM KE ISTANA NEGARA

Pada hari ini 15 Februari 2020 bersamaan 21 Jamadil Akhir 1441, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan yang berdaftar dan Gabungan Persatuan-Persatuan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN), ingin memanjatkan syukur ke Hadrat Ilahi setelah berjaya menyerahkan memorandum ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong atas beberapa peristiwa yang berkaitan dengan keselamatan negara serta rentetan penghinaan demi penghinaan terhadap Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu yang semakin melampau dan tidak terbendung oleh pihak berwajib.

Keadaan ini telah menimbulkan kegusaran serta keresahan di kalangan umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Oleh yang demikian kami PEMBELA dan PERTAHAN, ingin menegaskan bahawa:

1. Percubaan oleh pihak tertentu yang cuba menghidupkan kembali ideologi
komunis yang jelas menolak kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, dan agama Islam harus di tangani dengan lebih agresif. Ideologi merbahaya ini terbukti mengancam keselamatan dan menjejas kestabilan negara. Malah, baru-baru ini media melaporkan sudah ada inisiatif indoktrinasi di peringkat sekolah untuk
mengangkat pemimpin komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Ini amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku seperti yang tercatat dalam sejarah negara.

2. Kedudukan Islam, hak orang Melayu serta Raja-raja Melayu tidak boleh sama sekali dihina, diganggu-gugat apatah lagi dirampas oleh pihak lain yang tiada hak untuk mempertikaikannya, kerana ini sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan di dalam wasiat Raja-raja Melayu.

3. Termasuk dalam perkara ini juga adalah pelaksanaan budaya orang Melayu seperti tulisan Jawi yang kini mendapat bantahan biadab dari beberapa kumpulan ektremis pelampau chauvinis padahal tulisan Jawi merupakan warisan orang Melayu yang telah diamal ratusan tahun tanpa menimbulkan apa-apa masalah dari segi hubungan pelbagai kaum. Malah Permaisuri Agong sendiri
turut memperkasakan tulisan Jawi ini dalam Twitter Baginda.

Justeru, kami PEMBELA dan PERTAHAN ingin memohon dengan penuh takzim ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong agar dapat bertitah kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti subversif yang mengancam keselamatan negara. Termasuk mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokatif yang menghina dan mempertikaikan kedudukan Islam, hak orang Melayu serta Raja-raja Melayu, yang seolah-olah mahu menghasut rakyat menentang perkara-perkara berkenaan. Langkah untuk melucutkan kerakyatan kepada pelampau tersebut harus juga dipertimbangkan.

Aminuddin Yahaya

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Sahruddin Esa
Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan