CIA, BND INTIP RATUSAN NEGARA MELALUI CRYPTO AG

30
SHARES
334
VIEWS

Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND) secara rahsia memiliki sebuah syarikat Switzerland yang digunakan banyak kerajaan untuk menghantar kod komunikasi sulit sejak sekian lama, lapor agensi berita Anadolu, memetik laporan disiarkan pada Selasa.

Crypto AG digunakan oleh sekutu dan musuh Amerika termasuk lebih dari 120 negara.

Antara pelanggan syarikat itu adalah Iran, India, Pakistan dan Vatican. Tiada sebuah negara pun yang menyedari Crypto dikongsi bersama CIA-BND, menurut sejarah CIA dan naratif koresponden daripada agensi perisikan Jerman yang diperoleh akhbar Washington Post dan penyiar awam Jerman ZDF.

Kedua-dua agensi perisikan itu secara sulit meletakkan peranti pada peralatan perkhidmatan menukar maklumat atau data kepada kod yang dijual Crypto bagi membolehkan mereka dengan mudah menggodam komunikasi sulit berkenaan.

“Ia adalah kejayaan terbesar perisikan abad ini,” menurut rumusan laporan CIA berkenaan yang diperoleh agensi media itu.

“Kerajaan asing membayar sejumlah besar wang kepada Amerika dan Jerman Barat dengan keistimewaan membolehkan komunikasi sulit mereka dibaca oleh sekurang-kurangnya dua (dan mungkin hingga lima atau enam) negara lain.”

CIA dan Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika (NSA), yang ketika itu kebanyakannya ditugaskan untuk memecah kod, memiliki Crypto secara perkongsian dengan BND sejak 1970, dengan firma perisikan Amerika ‘menguasai hampir setiap aspek operasi Crypto’, menurut akhbar Washington Post.

BND keluar daripada operasi berkenaan pada awal 1990-an kerana bimbang plot itu terbongkar tetapi CIA kemudian membeli saham Jerman terbabit dan mengekalkan kawalan ke atas Crypto hingga 2018, sebelum saham mereka dijual, kata pegawai dan bekas pegawai syarikat itu kepada akhbar terbabit.

Pada ketika itu, lapor Post, kepentingan alat pengekodan itu semakin berkurangan dan pengekodan secara elektronik sudah menjadi kebiasaan.

Meskipun mereka berkongsi memiliki Crypto, perkhidmatan perisikan itu masing-masing memuji kejayaan amat besar operasi berkenaan dengan perniagaan meraih keuntungan berjuta dolar untuk dikongsi bersama.

Bagaimanapun, lumrah perkongsian pasti wujud pergeseran. CIA dan BND sering bertelagah dalam pelbagai isu termasuk membabitkan aspek kewangan dan kawalan selain isu yang kurang penting iaitu etika.

Antara negara sekutu yang diintip Amerika adalah negara anggota NATO seperti Turki, Greece, Sepanyol dan Itali, lapor Post.

Dua syarikat baharu, CyOne Security dan Crypto International, membeli aset Crypto selepas syarikat berkenaan dicairkan pada 2018.

Kini, kedua-dua syarikat menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana perkhidmatan perisikan.

Bagaimanapun, CyOne dikatakan mempunyai ‘kaitan ketara’ dengan syarikat lama, termasuk menerusi ketua pegawai eksekutifnya yang memegang jawatan berkenaan selama lebih dua dekad sejak Crypto masih dimiliki CIA.

Pada Selasa, Kerajaan Switzerland mengumumkan ia akan melancarkan siasatan terhadap kaitan Crypto AG dengan CIA dan BND. Awal bulan ini, ia menggantung lesen eksport Crypto International.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan persoalan kerana dokumen yang mereka lihat membayangkan, pegawai kerajaan Switzerland sudah pun mengetahui perkara itu sejak berdekad lalu dan ‘hanya campur tangan selepas mengetahui pertubuhan berita mahu mendedahkan perkara itu’.

– Dipetik dari BERNAMA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend