BERKUBURNYA AGENDA PECAH PERINTAH DAP

1k
SHARES
3.3k
VIEWS

Kenyataan terbaru Lim Guan Eng yang cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam, bahawa pembentukan kerajaan baru Pakatan Nasional akan mengancam kepentingan mereka, sebenarnya menggambarkan kebimbangan beliau yang amat sangat terhadap “agenda pecah perintah” DAP akan berkubur.

DAP adalah parti yang tidak senang dengan persefahaman yang dibina oleh PAS, UMNO dan PPBM, serta turut disokong oleh beberapa pimpinan Melayu PH yang lain, bahawa mandat yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri mesti diteruskan sehingga penggal Parlimen berakhir demi kestabilan politik negara.

DAP juga begitu selesa apabila pimpinan-pimpinan Melayu tidak dapat mencapai kata sepakat sehingga mereka tidak sehaluan semasa menghadapi PRU ke-14 yang lalu, sehingga menyebabkan DAP hari ini berjaya mendominasikan politik Malaysia melalui PH.

Selepas PH memerintah pada 9 Mei 2018, DAP mempunyai pengaruh paling besar dalam kerajaan dengan memegang kementerian-kementerian penting, antara lain disebabkan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH tidak ‘sekepala’ terutamanya usaha mahu Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri. 

Segala ‘bulan madu’ DAP selepas 9 Mei 2018 mula tergugat apabila pemimpin-pemimpin Melayu mula merapatkan kembali saf, bermula dengan Himpunan Penyatuan Ummah yang diusahakan oleh PAS, UMNO dan NGO-NGO Islam.

‘Bulan madu’ DAP mula menjadi mimpi ngeri apabila PAS dan UMNO mula menginstitusi penyatuan ummah ini dengan terbentuknya Muafakat Nasional yang turut tidak mengenepikan kaum-kaum lain.

Mimpi ngeri DAP ini disusuli oleh ‘sawan babi’ yang berpanjangan apabila agenda penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional ini menatijahkan PH kalah berturut-turut dalam siri-siri PRK bermula dari Cameron Highland sehingga ke Kimanis.

Kini semangat kebersamaan ummah mula meresap merentasi Muafakat Nasional, melembutkan hati pimpinan-pimpinan Melayu dalam PH yang semakin sedar dengan dominasi DAP lantas bertindak untuk menyelamatkan negara sebelum terlambat.

Kini DAP hanya bergantung kepada segelintir pemimpin Melayu dalam PH yang boleh mereka perkudakan, sedangkan yang lain-lainnya telah mula menyedari manipulasi dan dominasi DAP yang perlu dihentikan.

Agenda DAP untuk memomokkan permusuhan sesama pemimpin Melayu sudah mula boleh disemadikan, apabila pemimpin-pemimpin Melayu sudah boleh duduk semeja berbincang tentang kestabilan politik Malaysia tanpa mengira latar-belakang parti politik dan atas semangat BPMS.

Dr. Mohd Zuhdi Marsuki

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts