MAHATHIR TIDAK YAKIN BOLEH MENANG UNDI PERCAYA

126
SHARES
952
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Perdana Menteri Dr. Mahathir tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Banyak perkara yang signifikan telah berlaku dan berubah sejak PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan sejak Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri pada 9 Mei 2018.

Setakat hari ini jika diadakan undian di kalangan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, besar kemungkinan Mahathir tidak akan mendapat 112 undi iaitu majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana kini Ahli-ahli Parlimen Kerajaan (PH) tidak lagi sebulat suara menyokong Mahathir, dan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang pula berbelah bahagi untuk menyokongnya.

Mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, “Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik…Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

Berdasarkan peruntukan ini, seseorang Ahli Parlimen yang tidak mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat tidak boleh menjadi Perdana Menteri (atau tidak boleh kekal menjadi Perdana Menteri).

Mahathir tentunya tahu akan hal-hal di atas ini.

Oleh itu dalam keadaan ini, Mahathir mempunyai tiga pilihan:

PERTAMA, dia mengundur diri dari jawatan Perdana Menteri secara sukarela, atau,

KEDUA, dia membuktikan dan meyakinkan kepada rakyat dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bahawa dia (Mahathir) masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat lantas berhak kekal sebagai Perdana Menteri.

Ini boleh dilakukan termasuk dengan mengadakan petisyen atau undi percaya kepadanya di Dewan Rakyat seperti yang dicadangkan oleh PAS.

KETIGA, jika Mahathir tidak yakin dia boleh mendapat 112 undi percaya di Dewan Rakyat, maka dia tidak akan membenarkan usul undi percaya ini dibentangkan, dan besar kemungkinan Speaker Dewan Rakyat akan akur dengan kemahuan Mahathir ini.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sesuatu usul yang hendak dibahaskan tidak boleh mendahului usul-usul urusan kerajaan.

Oleh itu kemungkinannya amatlah rendah untuk usul-usul peribadi atau usul politik seperti undi percaya atau tidak percaya seperti di atas untuk dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat, lebih-lebih lagi jika Perdana Menteri tidak bersetuju.

Menteri-menteri yang menyokong Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat akan memenuhkan masa Dewan Rakyat membentangkan urusan-urusan kerajaan sehingga Dewan tidak ada masa untuk membentang dan membahas usul undi percaya atau tidak percaya tersebut.

Saya yakin Mahathir tidak akan membenarkan usul undi percaya ini dibentang di Dewan Rakyat apabila Parlimen bersidang pada bulan hadapan sebab dia tidak yakin dia mempunyai cukup sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen dan beliau takut kalah.

Oleh itu, daripada mengambil risiko kalah dan ditolak, Mahathir boleh berdegil dan tidak berbuat apa-apa i.e. tidak melepaskan jawatan dan juga tidak membenarkan undi percaya dibuat, namun dia terus berpaut kepada kerusi Perdana Menteri walaupun dia tahu dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen.

Sekiranya ini berlaku, ia menunjukkan isyarat yang jelas bahawa Mahathir sendiri tidak yakin tentang tahap sokongan majoriti ke atas dirinya.

Dan perkara yang sama juga akan berlaku kepada Anwar Ibrahim yang juga tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Oleh itu kedua-duanya tidak mempunyai asas yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri, sebab mereka tidak boleh membuktikan kepada rakyat lantas meyakinkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bahawa salah seorang daripada mereka mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dan jika Mahathir dan Anwarpun gagal, tentunya sesiapa dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan yang dipilih oleh Majlis Presiden PH tidak akan mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Selagi ini berlaku, selagi itu wakil-wakil rakyat terutama Ahli-ahli Parlimen akan sibuk berpolitik sahaja dan berunding di bawah meja dan di belakang pintu serta tidak ada masa untuk mentadbir negara, di kala keadaan ekonomi dan sosial negara sedang menghadapi masa yang getir.

Ini amat tidak baik untuk rakyat dan negara.

Sebab itu langkah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah pembubaran Parlimen supaya kerajaan dan Perdana Menteri yang baru dapat dipilih semula oleh rakyat.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend