TIGA PILIHAN TUN MAHATHIR YANG MASIH TERSISA

737
SHARES
4.3k
VIEWS

Desakan agar Tun Mahathir berundur semakin terbuka

Selepas PRK Kimanis, semakin terbuka desakan meminta Perdana Menteri ketujuh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tentunya desakan tersebut datangnya daripada kem Presiden PKR iaitu Anwar sendiri walaupun beliau meminta semua pihak memberhentikan desakan tersebut.

Desakan paling kuat adalah daripada AMK Keadilan serta Otai Reformis.

Sama ada Anwar sendiri memberikan ‘lampu hijau’ ataupun beliau tidak mampu mengawal orang bawahan dan penyokongnya sendiri.

Desakan didalangi Anwar ataupun gagal mengawal penyokong yang sudah tidak sabar

Jika Anwar yang memberikan lampu hijau untuk beberapa pihak mendesak Tun Mahathir, bererti beliau sudah tidak sabar ingin menjadi Perdana Menteri kelapan.

Jika sebaliknya, bererti Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana orang bawah dan penyokong tegar sendiripun tidak mampu dikawal, apatah lagi ingin menjaga sebuah negara.

Pasti berantakan, kerana Anwar tidak mendapat sokongan penuh daripada Pakatan Harapan untuk melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Perbalahan atas isu peralihan kuasa merugikan negara

Tun Mahathir pula mempunyai jumlah kerusi yang sangat selesa ketika ini namun desakan kumpulan pro Anwar Ibrahim ini sedikit sebanyak merencatkan negara.

Negara luar dan para pelabur semakin kurang yakin atau dalam ‘mode menunggu’, kerana jika lagi lama Tun Mahathir membiarkan keadaan ‘tergantung’ sebegini, ia semakin merugikan negara.

Tiada siapa ingin menjalin kerjasama dengan negara yang tidak pasti mengenai peralihan kuasanya.

Pilihan Pertama: Peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim

Jika tidak berlaku peralihan kuasa, mungkin berlakunya pembubaran Parlimen. Maka lebih baik para pelabur dan negara-negara luar menunggu terlebih dahulu daripada menjadi seperti negara China yang dibatalkan pelbagai perjanjian sebelum ini.

Lebih baik menanti Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan semua pihak mula menjalinkan kerjasama kemudiannya apabila kepastian telah ada.

Jika pilihan ini diambil, kecuali DAP dan segelintir dalam PKR yang akan menyanjunginya, seluruh negara akan melabelnya sebagai pengkhianat agama, bangsa dan negara.

Pilihan Kedua: Bubar Parlimen

Jika Parlimen dibubarkan, ini bermakna Tun Mahathir mengkhianati Majlis Presiden dan peralihan kuasa yang dijanjikan.

Pasti beliau tidak akan bersama Pakatan Harapan dan tidak akan dipercayai oleh mereka selama-lamanya.

Anwar akan menjadi individu yang paling malang kerana ditipu lagi sekali.

Wan Azizah pula akan menjadi individu paling menyesal kerana menolak menjadi Perdana Menteri ketika mengadap YDP Agong, kononnya kerana menghormati keputusan Majlis Presiden.

i. Bubar Parlimen, Pakatan Harapan menang

Jika Pakatan Harapan masih berupaya dan rakyat masih percaya walaupun selepas puas menipu rakyat, maka mereka akan memerintah dan Anwar bakal menjadi Perdana Menteri kelapan.

Tentunya bahan kempen mereka bukan lagi mengenai manifesto berdegar-degar, tetapi akan menyerang Tun Mahathir sebagai individu yang menyebabkan manifesto tidak tertunai.

Tun Mahathir akan menjadi ‘kambing hitam’ untuk menutup seluruh kepincangan Pakatan Harapan kerana mereka sudah tidak ada bahan kempen lain untuk digunakan.

Kemenangan Pakatan Harapan dengan cara ini juga akan membangkitkan kemarahan pasukan Anwar terhadap Tun Mahathir.

Kemungkinan besar Tun Mahathir dan keluarganya akan diadili, kerana Anwar beroleh ‘premiership‘ dengan jalan sukar melalui pilihan raya dan bukannya melalui peralihan kuasa yang telah dijanjikan sebelum ini.

Kroni-kroni dan sahabat baik Tun Mahathir juga mungkin boleh bersedia awal ke mahkamah jika Anwar naik melalui cara pembubaran Parlimen.

ii. Bubar Parlimen, Muafakat Nasional menang

Kemungkinan besar jika UMNO dan PAS mendominasinya, maka individu dalam kalangan dua parti ini akan menjadi Perdana Menteri.

Ketika ini Tun Mahathir dan Bersatu tidak mungkin akan bersama Pakatan Harapan lagi kerana telah mengkhianati peralihan kuasa dan terpaksa bersama Muafakat Nasional.

Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti sebelum ini tidak mungkin menang jika menggunakan lambang Bersatu.

Ahli Parlimen Bersatu sendiripun belum tentu mampu mempertahankan Parlimen masing-masing dan tidak boleh menjadi ‘King Maker‘ dengan jumlah kerusi yang sedikit.

Tun Mahathir pula akan dipinggirkan kerana sehingga ke penghujungnya, beliau masih tidak mahu berdamai dengan UMNO dan sanggup membubarkan Parlimen demi tidak mahu melihat Anwar berkuasa.

Rakyat melihat pembubaran Parlimen ini sebagai pertembungan dan perbalahan peribadi Tun Mahathir dan Anwar yang tidak berkesudahan.

Maka rakyat semakin mual dan menolak kedua-duanya.

Pilihan Ketiga: Membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Muafakat Nasional

Ini pilihan yang paling bermaruah yang Tun Mahathir ada ketika ini selain pilihan pertama dan kedua di atas.

Jika beliau memilih untuk tidak menyerahkan pucuk pimpinan kepada Anwar dan juga tidak membubarkan Parlimen.

Tidak mungkin juga Tun Mahathir meneruskan perjalanan “sebuah kapal yang sudah hampir tenggelam” apabila anak kapalnya sendiri meminta Kaptennya ditukar.

Beliau tidak boleh terus memerintah negara bersama Pakatan Harapan tanpa melalui Pilihan Pertama Peralihan Kuasa iaitu menyerahkan tampuk pimpinan kepada Anwar Ibrahim.

Kerajaan Perpaduan tidak perlupun kepada “broker-broker pintu belakang” yang hanya oportunis.

Dikenali sebagai “hero dan penyelamat negara”

Jika beliau membentuk kerajaan perpaduan bersama UMNO dan PAS maka ada kebarangkalian Tun Mahathir akan dikenang sebagai hero dan penyelamat negara.

Walaupun sebenarnya negara diselamatkan daripada beliau sendiri dan Pakatan Harapan yang secara rakus merosakkan nilai-nilai negara, melanggar kedaulatan undang-undang dan membelakangi Perlembagaan sesuka hati.

Namun rakyat tetap akan menghormati beliau, mengkagumi beliau sebagai Negarawan kembali kerana sanggup berdamai untuk kembali membangunkan negara.

UMNO-PAS tidak mungkin membalas dendam dan memalukan Tun Mahathir

Beliau juga boleh menutup mata dengan tenang kerana tidak mungkin PAS dan UMNO akan bersikap membalas dendam seperti yang beliau dan Pakatan Harapan lakukan sebelum ini.

Cuma beliau mungkin tidak boleh mencatur anaknya sebagai Perdana Menteri namun setidak-tidaknya mereka tidak akan diburu dan akaun bank mereka tidak akan dibekukan tanpa melalui proses perundangan yang sebenar.

Jika didakwa sekalipun ia tidak akan melalui proses memalukan dan semua akan menurut rule of law, berlandaskan Perlembagaan negara yang telah wujud sejak sekian lama.

Tidak akan ada tindakan serbuan ke rumahnya atau ahli keluarganya di waktu malam pada bulan puasa seperti yang beliau lakukan terhadap bekas Perdana Menteri.

Pilihan terakhir di tangan Tun Mahathir

Segalanya bergantung kepada beliau sendiri, ingin meninggalkan sisa-sisa kehidupannya dalam kehinaan ataupun diingati sebagai ‘pembela’ agama, bangsa dan negara.

Sekurang-kurangnya di akhir kalam, beliau ada membuat satu dua perkara baik yang akan dikenang sepanjang hayat selepas segala-gala dihancurkan olehnya sendiri apabila memilih bersama DAP dan Pakatan Harapan.

Namun apa yang pasti, apapun perancangan manusia tidak akan mampu mengatasi perancangan dan apa yang Allah Taala tetapkan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts