DIALOG NICRE: KENYATAAN PALSU WAYTHA MOORTHY KONONNYA INDIA DITINDAS DI MALAYSIA

485
SHARES
2.4k
VIEWS

YB Moorthy.., anda adalah seorang Menteri yang membawa nama Malaysia.

1 – Semalam saya telah menghadiri satu dialog anjuran Northern Ireland Council for Racial Equality (NICRE) bertempat di bangunan Parlimen Northern Ireland, UK. Agak menarik ialah YB Moorthy selaku seorang Menteri dari Malaysia yang memegang potfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial diberi penghormatan untuk memberi ucapan pembukaan.

2 – YB Moorthy menyampaikan ucapan aluan secara ringkas dan beliau sendiri seolah-olah agak terkejut dan tidak tahu dengan penghormatan yang diberikan ini. Tidak banyak yang disentuh dalam ucapan beliau yang hanya berlangsung selama lebih kurang lima minit. Apatah lagi beliau menegaskan bahawa beliau terpaksa meninggalkan majlis pada pukul 3.30 petang dan mempunyai masa kurang dari sejam. Sedangkan majlis sepenuhnya patut berlangsung sehingga pukul 4.30 petang.

3 – Setiap hadirin dibekalkan dengan dua lampiran kertas. Satu mengenai tentatif majlis dan satu lagi ialah profil YB Moorthy. Oleh kerana ucapannya terlalu pendek maka kebanyakan hadirin hanya menggarab maklumat melalui lampiran yang disertakan.

4 – Kebiasaan soal jawab majlis dialog adalah berdasarkan ucapan tetamu yang bercakap. Malangnya kandungan ucapan beliau seolah-olah tiada. Maka rujukan untuk bertanya hanyalah melalui maklumat profil yang dilampirkan.

5 – Amat mengejutkan dengan maklumat yang tertera dalam profil seorang Menteri dari kerajaan yang memerintah Malaysia hari ini. Pada perenggan pertama lagi Malaysia digambarkan sebagai negara dengan undang-undang rimba yang tidak bertamadun. Selebihnya silalah baca sendiri. Saya merasakan ia tetap tidak relevan dengan kedudukan beliau sebagai seorang Menteri yang memegang portfolio berkaitan.

6 – Malaysia telah merdeka lebih 63 tahun dan satu pertiga darinya telah dipimpin oleh individu yang sama menjadi PM hari ini. YB Moorthy seorang Menteri dari JPM dengan latar belakang seorang peguam sepatutnya tahu implikasi profil beliau mengenai pandangan luar terhadap Malaysia. Pada pandangan saya beliau tidak membawa risalah Jabatan Perdana Menteri yang sepatutnya. Apatah lagi Malaysia.

7 – Saya merasakan kerosakan imej telah berlaku terhadap negara Malaysia melalui profil ini. Pertanyaan lanjut berdasarkan maklumat tersebut hanya akan membawa kepada kerosakan yang lebih parah. Saya hadir mewakili komuniti Muslim di sini. Dalam masa yang sama saya juga adalah seorang anak Malaysia. Serba salah sama ada untuk bertanya penjelasan lanjut atau mengawal kerosakan imej negara Malaysia di mata luar dengan tidak bertanya. Saya memilih yang kedua.

8 – Telah menjadi adat dalam sesi dialog bahawa kenyataan rujukan selalunya kembali kepada tetamu yang bercakap. Apatah lagi beliau adalah seorang Menteri dari kerajaan yang memerintah hari ini. Sedangkan saya sudah berada di sini hampir 20 tahun dan lebih 30 tahun berada di luar Malaysia.

9 – Sahabat saya yang turut hadir sebagai penyampai ucapan bagi mewakili komuniti Muslim di sini bertanya kepada saya secara peribadi untuk kepastian. Betulkah non Muslim di Malaysia dipaksa untuk memeluk agama Islam? Ajaran Islam apakah yang Malaysia amalkan dengan memaksa orang untuk memeluk agama Islam?

10 – Kenyataan dalam profil tersebut bukan hanya sekadar membabitkan Malaysia bahkan ia melibatkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang merentasi sempadan. Ia membabitkan dakwaan palsu mengenai ajaran Islam yang mempunyai pengikut sekitar 1.8 billion seluruh dunia. Juga dalam konteks kami sebagai minoriti di sini. Tiada dalam ajaran Islam untuk memaksa orang memeluk agama Islam. Laksana Islamophobia dari seorang yang memegang jawatan Menteri yang sepatutnya menangani kes seumpama ini.

11 – YB Moorthy… Anda sepatutnya membawa mesej perdamaian, perpaduan dan kesejahteraan sosial untuk dikongsi oleh dunia luar. Ia lebih patut dengan amanah dan jawatan yang anda pegang. Sesuai dengan Malaysia yang terkenal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang hidup harmoni sejak sekian lama.

12 – Bangsa-bangsa selain Melayu telah sedia diberikan hak malah dibiayai kerajaan untuk meneruskan pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing. Bandingkan jumlah kuil yang ada mengikut ratio penganut Hindu di Malaysia dengan negara-negara sebelah sini. Kebebasan mengamalkan agama masing-masing. Pelepasan cuti umum bersempena hari kebesaran berbanding sini. Bagaimana sambutan CNY di Malaysia berbanding UK sebagai contoh lain? Dan senarai yang seterusnya…

13 – Majlis dialog ini adalah berkaitan ‘hate crime’. Kes Adib adalah natijah dari ‘hate crime’. Melalui bekalan perkongsian maklumat dari sini harapnya YB Moorthy boleh membela kematian Adib untuk membawa penjenayah yang terlibat kemuka pengadilan. Demi keluarga beliau yang memerlukan pembelaan, demi penjawat awam yang terkorban semasa menjalankan tugas, demi kedaulatan undang-undang dan demi kesusilaan hubungan antara kaum di Malaysia.

Dipetik dari laman Facebook Nabir Othman di pautan; https://www.facebook.com/nabir.othman/posts/10217877528161611

Pautan video di: https://www.facebook.com/nabir.othman/videos/10217877523081484/

Imej mungkin mengandungi: 4 orang, orang duduk dan dalaman

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts