PRU-15: PELUANG MARTABATKAN KEMBALI NEGARA

1.1k
SHARES
3.9k
VIEWS

1. Retorik “Make America Great Again” 

Jika Trump hanya beretorik dengan slogannya “Make US Great Again” yang tidak menampakkan apa-apa perubahan yang signifikan, malah lebih memalukan, beliau sendiri ketika ini cuba disingkirkan.

Situasi di Amerika, jika Trump atau siapapun penggantinya, dasar-dasar dalam dan luar negara mereka tidak akan banyak berubah. 

Namun situasi berbeza di Malaysia di mana rakyat Malaysia benar-benar perlu lakukan perubahan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Tidak kira bilapun masanya, agar Malaysia kembali menjadi hebat semula seperti sebelum ini.

2. Kerajaan gagal, kerajaan sepenggal

Kerajaan Pakatan Harapan yang ada kini bukan sahaja gagal memerintah dengan baik, malah cuba mengubah asas pembentukan negara yang menjadi tonggak kemakmuran selama ini.

Dasar-dasar yang baik sekalipun, yang mengutamakan rakyat, telah dirobek sebegitu rupa sehinggakan banyak bantuan tidak diberikan kepada rakyat yang memerlukan. 

Negara mana sekalipun, walau sebaik manapun pemerintahan mereka, tentunya berlaku sekali-sekala pergeseran, isu perkauman dan ketidakharmonian dalam negara.

Namun ia tidak merencatkan pembentukan negara tersebut untuk terus maju ke hadapan.

Tidak seperti Pakatan Harapan yang berterusan membuat tindakan yang membelakangkan kepentingan rakyat.

3. Kerajaan laksana “langkah ke belakang” 

Sejak Pakatan Harapan memerintah, negara seolah-olah cuba dianjak ke belakang, bukan selangkah namun berpuluh langkah. 

Sebagai contoh, sistem percukaian GST diganti dengan sistem SST yang tidak telus, seperti yang Menteri Kewangan sendiri nyatakan.

Sedangkan ratusan negara telahpun melaksanakan GST di negara masing-masing, bahkan negara jiran seperti Singapura telah laksanakan GST sejak tahun 1994.

Ratusan negara lain berlumba-lumba laksana GST untuk menggantikan sistem lama, Malaysia pula hapuskan GST untuk kembali ke sistem lama. 

Hutang negara bukan berkurang tetapi bertambah, memburukkan lagi keadaan.

Akibatnya, negara semakin terbeban dan mula menjual asetnya satu per satu.

4. Jual aset tampung perbelanjaan negara

Apabila GST dimansuhkan, SST pula menjadi masalah apabila tidak mampu diperoleh secukupnya kerana ia menjadi ‘medan’ tauke-tauke yang kaya raya untuk lari dari membayar cukai kepada kerajaan.

Apabila menteri pula lemah dan tidak berpengalaman, seperti Penasihat Perdana Menteri Tun Daim Zainuddin sendiri katakan, maka aset-aset negara menjadi pilihan.

Sama ada Kementerian Kewangan sudah tidak tahu hendak buat apa ataupun ada agenda lain terhidang depan mata. 

Tabung Haji, Felda, Khazanah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Petronas dan pelbagai lagi diusahakan jual secara ‘lambak’ dan ‘borong’, dengan harga yang rendah.

5. Pelabur asing belajar dari pembatalan perjanjian Malaysia dengan China

Ketidakpastian ekonomi negara membuatkan pelabur takut untuk masuk.

Ditambah dengan ketidaktentuan dalam peralihan kuasa yang masih tidak ada tanda-tanda akan memulih dengan cepat.

Para pelabur belajar dari kerajaan China yang dibatalkan pelbagai perjanjian G2G (government to government), maka mereka melihat tidak ada jaminan  perjanjian mereka akan dihormati.

Jika perjanjian melibatkan sebuah negara kuasa besar dunia seperti China juga boleh dibatalkan, apatah lagi perjanjian kerajaan Malaysia dengan para pelabur. 

Ditambah buruk dengan pelaburan sedia ada pula lari keluar, terutamanya ke negara jiran.

Malaysia hanya ‘gigit jari’ melihat negara jiran memperoleh pelbagai manfaat pelaburan yang terhasil dari kebodohan dan ketidakcekapan sendiri. 

6. Contoh pelabur dan rakan dagang beralih ke negara jiran 

India menghentikan mengimport minyak sawitnya dari Malaysia, beralih ke Indonesia. 

Sebelum itu China terlebih dahulu beralih ke Indonesia setelah Malaysia menghentikan banyak projek yang telah dimeterai antara dua negara.

Kemudiannya UAE melabur lebih 93 billion di Indonesia.

Terkini, Softbank pula akan melabur lebih 162 billion di Indonesia, bagi membangunkan ibu kota baru Indonesia di Kabupaten Penajam Paser Utara dan Kabupaten Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur.

Semasa krisis di Hong Kong pula, ramai pelabur mereka telah lari ke Singapura dan bukannya Malaysia.

Ia bukan persoalan mengenai betapa cerdiknya negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, tetapi betapa tidak cerdiknya Malaysia.

7. Menteri-menteri kehilangan punca, tidak tahu membuat kerja

Antara contoh:

i. Menteri Perpaduan yang seolah-olah tidak wujud langsung, kecuali jika ada perkara yang menguntungkan kaum selain Melayu.

ii. Menteri Agama yang kerap bersikap membela kaum dan agama lain melalui konsep ‘Rahmatan lil Alamin’nya yang jauh tersasar dari maksud dan terjemahannya yang sebenar.

Beliau sibuk dengan tanglung dan hanya diam menikus dalam isu jawi malah membela Dong Zong, tetapi tidakpun membela Permaisuri Agong yang dihina kerana mempertahan Jawi.

iii. Menteri Belia dan Sukan gagal membawa pulang piala dan pingat yang disasarkan untuk negara. Hala tuju belia masih samar-samar.

iv. Menteri Kewangan gagal menguruskan Kewangan negara dengan baik dan berkesan. Tiada pelan pemulihan setakat ini yang diketengahkan.

v. Menteri Ekonomi pula tidak berfungsi terus apabila sibuk mencatur ‘politik pintu belakang’ dan isu semburit yang menghantuinya. Sehinggakan ekonomi negara merudum teruk, beliau masih tidak mempedulikannya.

vi. Menteri Industri Utama tidak mampu memacu perdagangan sawit seperti dahulu malah memberikan idea tidak bernas untuk mengatasi masalah peneroka. Lebih malang sawit Malaysia diboikot oleh India.

vii. Menteri Pertahanan hilang punca, asyik membuka rahsia dan merendah-rendahkan kemampuan pertahanan negara.

viii. Menteri Pertanian tidak berjaya menyelesaikan masalah petani, pesawah, peladang tetapi sibuk dengan ‘idea-idea remeh-temeh’.

ix. Menteri Kesihatan sibuk dengan perokok yang merokok di tempat awam, tidak mampu perjuang isu elaun kritikal bagi doktor muda, sehinggakan doktor dan jururawat yang dahulunya ramai menyokong Pakatan Harapan sendiripun mula merungut.

x. Menteri Pengangkutan gagal menyelesaikan isu e-hailing sebaik mungkin sebaliknya sibuk dengan memperkasa undang-undang yang merumitkan mereka.

Akibatnya aplikasi dan teknologi yang sepatutnya memudahkan semua pihak menjadi sukar dan pemandu berkurangan secara drastik.

xi. Menteri Komunikasi sibuk mencari jalan mengenakan netizen, bloggers dan mereka yang tidak bersependapat dengan kerajaan, walaupun kononnya memperjuangkan ‘kebebasan media’ dan hak asasi manusia.

xii. Menteri Pembangunan Usahawan sibuk membangunkan projek kereta terbang di sebalik fokus atas usahawan bukannya idea mengarut. Kesannya Tun Mahathir sendiripun menyindir beliau.

xiii. Menteri Pendidikan lama mencadangkan solusi kasut hitam menggantikan kasut putih.

Menteri Pendidikan baharu yang menggantikannya pula memberi solusi lebih ‘bernas’ iaitu boleh pakai apa-apapun warna kasut ke sekolah…

Jelas menteri-menteri Pakatan Harapan yang ada pada hari ini tidak tahu membuat kerja, tidak fokus, tiada kumpulan penasihat yang baik, tidak tahu malu, masih bersikap seperti pembangkang dan apa yang lebih memalukan, mereka tidak mengutamakan rakyat dalam setiap perancangan dan tindakan mereka.

8. Mabuk kuasa, tindakan bermotifkan politik

Sebaik sahaja menang PRU-14, Pakatan Harapan seolah-olah ‘mabuk’ dengan kuasa yang tiba-tiba dimiliki.

Mereka menjalankan ‘ritual pemburuan’ ala ‘witch hunt‘ terhadap musuh politik dengan ‘bersenjatakan’ AMLA yang digunakan sepenuhnya.

Tergesa-gesa membuat pendakwaan, gopoh dalam menyediakan bukti, termasuk melanggar rule of law secara terang-terangan dan bersikap double standard dalam menguatkuasakan undang-undang.

Demi dendam politik yang tidak berkesudahan, apapun cara mereka gunakan.

Malah jika Machiavelli sendiripun masih hidup ketika ini, beliaupun mungkin terkejut dengan kesanggupan kerajaan Pakatan Harapan melakukan apa jua cara untuk memenuhi matlamat.

9. Mendedahkan maklumat yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi negara

i. Mendedahkan audio rakaman perbualan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang ketika itu masih menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri bersama beberapa individu penting negara termasuklah perbualan dengan Putera Mahkota UAE.

Ini amat memalukan dan tidak sepatutnya dibiarkan berlaku. Bahkan sehingga kini pelakunya iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri masih tidak dikenakan apa-apa tindakan.

ii. Mendedahkan surat yang ditulis oleh seorang Ketua Pengarah badan perisikan negara kepada seorang ketua badan perisikan negara lain.

Sedangkan initipatinya untuk pihak luar menyokong dan jangan mengganggu-gugat kerajaan Malaysia walaupun menang tipis.

Kritikan terhadap Tun Mahathir juga bukan satu pengkhianatan kerana beliau ketika itu adalah pemimpin pembangkang.

iii. Badan perisikan negara dituduh dengan dakwaan ‘menyeleweng dana kerajaan’ sedangkan dengan jelas kerajaan menyatakan ia sebagai ‘dana politik’ – yang memberi makna bahawa ia bukanlah wang milik kerajaan tetapi milik parti Barisan Nasional.

iv. Menyerbu ‘safe house‘ yang dimiliki oleh badan perisikan negara yang sepatutnya dilindungi penuh akan kewujudannya, yang belum pernah berlaku di dunia. 

10. Perlembagaan negara berada di tahap terendah

Tiada mana-mana pemerintah yang sanggup mengubah walau seincipun Perlembagaan negara mereka.

Jika adapun sesuatu yang ingin diubah, ia tetap tidak akan bertentangan dengan Perlembagaan dan nilai-nilai negara itu sendiri.

Bahkan undang-undang negara itu sendiri berada di bawah Perlembagaan.

Di bawah Pakatan Harapan, seolah-olah mereka lebih tinggi dari Perlembagaan.

11. Pakatan Harapan adalah “The Real Deep State” 

Deep State yang sebenar adalah kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir tentu menyedarinya kerana beliau sendiri pernah memerintah negara selama 22 tahun melalui Barisan Nasional.

Pakatan Harapan sepatutnya meneruskan dasar-dasar negara yang telahpun dibahaskan, dipinda dan dilaksanakan sejak dahulu lagi, secara berPerlembagaan, bukan sebaliknya.

Mana dasar-dasar yang perlu diubah sekalipun, ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan.

Namun telah terbukti Pakatan Harapan cuba mengubah Perlembagaan negara antaranya melalui  ratifikasi ICERD, namun tidak berjaya.

Namun cubaan-cubaan lain masih dan sedang dijalankan bagi mengubah nilai-nilai negara yang telah wujud sejak sekian lama.

12. Alih tumpuan, penjawat awam dituduh sebagai ‘Deep State’

Apabila penjawat awam mula sangsi dan tidak meneruskan apa yang dirancang oleh kerajaan,  mereka pula dituduh sebagai ‘deep state’. 

Sedangkan ramai penjawat awam dahulunya adalah penyokong Pakatan Harapan, yang kini mula sedar akan agenda setiap parti dalam Pakatan Harapan.

13. Memerintah ikut agenda parti, tidak mengikut agenda nasional

Sepatutnya kerajaan tidak boleh memerintah mengikut “cara parti masing-masing”.

Ia hanya akan menimbulkan kekeliruan dan pertentangan sesama sendiri sepanjang masa.

Mereka cuba mengubah segala-galanya mengikut acuan dan agenda politik masing-masing, Manakala apa yang termaktub dalam Perlembagaan, secara perlahan-lahan cuba diubah ataupun dikesampingkan.

14. Satu pakatan, pelbagai parti, pelbagai agenda

Sebagai contoh DAP tetap meneruskan agenda rasis kelangsungan Cina mereka dan konsep Malaysian Malaysia yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan. DAP pula didokong oleh parti Amanah.

Terdapat juga cubaan menghidupkan komunisme dalam negara kerana banyak pemimpin mereka adalah dalam kalangan symphatizer ataupun berketurunan komunis, yang diakui oleh mereka sendiri.

PKR pula meneruskan agenda liberalisme dan pluralisme yang bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan malah bertentangan dengan Islam. Demi meraih sokongan sejak dahulu mereka berkompromi dengan perkara sebegini, yang mengorbankan nilai-nilai kesederhanaan Malaysia. 

15. Perjanjian Malaysia 1963 diperjuang oleh Sabah dan Sarawak

Manakala parti-parti di Sabah dan Sarawak pula berjuang bagi mendapatkan kembali hak-hak Sabah dan Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, yang komited ingin dimeterai oleh kerajaan lama.

Ketika itu, 3 jawatankuasa telahpun dibentuk iaitu Jawatankuasa Pelaksana Pihak Berkuasa Sabah dan Sarawak, Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal peringkat Persekutuan.

Namun kini usaha tersebut terencat dan ketiga-tiga jawatankuasa itupun entah ke mana.

16. Peguam Negara patut mendokong Perlembagaan sepenuhnya

Sekiranya Peguam Negara sesebuah negara tidak mendokong Perlembagaan negaranya, hatta Perdana Menteri sendiri sekalipun akan berhadapan tugas sukar untuk melaksanakan apa yang sepatutnya, demi  memartabatkan Perlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Tidak mungkin pihak polis mudah untuk meneruskan pendakwaan walaupun kertas siasatan dan bukti-bukti telahpun dilengkapkan jika Peguam Negara tidak mahu meneruskannya.

Jika isu keganasan Daesh diperjuang oleh individu ataupun kumpulan kecil, adalah lebih merbahaya apabila isu LTTE dan komunis pula diperjuangkan oleh segelintir mereka dalam parti, yang kini  sedang memerintah.

Isu-isu yang melibatkan kedaulatan undang-undang tidak boleh dipandang remeh oleh Peguam Negara walaupun melibatkan dakwaan pihak yang baik dengannya.

17. Tanglung dibela melebihi Raja Permaisuri Agong 

Kini yang dihormati dan dipandang tinggi adalah tanglung, melebihi Raja Permaisuri Agong.

Apabila ada pihak yang menyentuh isu tanglung, berduyun-duyun menteri  ke sekolah bagi menunjukkan solidariti.

Tetapi apabila ada pihak yang menghina Raja Permaisuri Agong, siapa di antara menteri-menteri ini yang membela Baginda Permaisuri? 

18. Tanglung dilayan lebih baik dari tulisan Jawi 

Agama Islam yang menjadi agama rasmi negara dipermain-mainkan dan dipersenda tanpa ada sebarang tindakan tegas, jika ada sekalipun ia seumpama ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja.

Malah tulisan Jawi yang merupakan sebahagian daripada warisan dan sejarah negarapun tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Seorang individu dari Korea, Profesor Dr. Kang Kyoung Seok yang dikenali sebagai pakar Jawi sendiri risau akan masa depan tulisan warisan tersebut di Malaysia.

Tidak boleh diterima akal apabila warisan negara depan mata dipandang lekeh, warisan luar pula disanjung tinggi.

Sedangkan hubungan diplomatik terjalin antara Tanah Melayu dengan negara asing suatu ketika dahulu, dihubungkan melalui tulisan Jawi.

19. Kembali martabatkan negara

Walaupun sudah terlampau banyak aset terjual dan hutang bertambah, namun rakyat perlu bersatu atas nama satu negara satu matlamat untuk memulihkan kembali negara.

Walaupun ketika ini negara luar menghindari Malaysia namun selaku rakyat Malaysia, semua harus bersatu padu.

Tidak kira negeri mana, apa agama dan bangsa sekalipun kerana di sinilah tanahair bagi semua agama dan bangsa.

Rakyat perlu bersatu hati agar Perlembagaan negara dapat diletakkan di tempat yang sepatutnya seperti sedia kala dan kepentingan rakyat terjaga.

Ahli politik pula perlu diingatkan kembali siapa mereka, iaitu mereka yang diberi amanah untuk mewakili rakyat dan mentadbir negara.

Rebut kembali negara daripada tangan-tangan yang telah merosakkannya. 

20. Hindari daripada jatuh dalam lubang yang sama

Pera pengundi terutamanya pengundi muda, jangan lakukan lagi kesilapan yang sama seperti ketika PRU-14.

Kesilapan pengundi-pengundi sebelum ini yang mahu bereksperimentasi dengan mengubah kerajaan, telahpun dibayar dengan harga yang cukup mahal.

Bukan sahaja aset-aset strategik, malah maruah negarapun tergadai.

Tiada gunanya marahkan nyamuk jika bukan sahaja kelambu malah rumah sendiripun terbakar.

Maka cukup-cukuplah dan bersiap sedialah menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa. 

Ayuh bersatu tumbangkan Pakatan Harapan di PRU-15.

Serta bersama-sama “Make Malaysia Great Again!

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts