‘BUJANG’ TIDAK SEMESTINYA JADI REBUTAN, YANG LAMA TETAP DI HATI

405
SHARES
2.4k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Tumpuan pastinya terarah kepada orang ‘bujang’. Maklumlah, orang bujang tentu saja jadi rebutan kerana segala-galanya masih baru, tenaga juga masih baru serta wangi-wangian masih kuat baunya. Orang bujang juga kuat bergaya, sanggup berhabis mengenakan aksesori seluruh badan menonjolkan kehebatan mereka.

2. Manakala orang ‘lama’ pula bak cencaru makan petang. Tetap ‘steady’, tidak cepat melatah dan membiarkan saja orang bujang dengan lagak mereka yang angkuh. Diherdik, dicaci, dihina, orang lama tetap senyum. Orang lama tetap fokus memperbaiki diri, berubah demi kekal relevan di mata masyarakat. Namun akarnya tetap utuh dengan sejarah dan budaya nenek moyang dahulu.

3. Ibarat mahu mengurat gadis, sesetengah orang bujang amat gelojoh, tidak berpengalaman. Mereka hanya menumpukan perhatian mahu memiliki hati seseorang gadis sahaja. Sama juga dengan sesetengah gadis muda, tidak berfikir panjang. Mereka menyambut lamaran seseorang kerana dikaburi dengan janji-janji manis atau ditipu dengan aksesori wang ringgit yang banyak.

Hasilnya setelah sesuatu ikatan terjadi, barulah pecah tembelang sang ‘bujang’ tersebut. Janji tidak ditepati malah dikhianati. Janji mahu menyediakan rumah mewah, namun selepas gadis tersebut menjalinkan ikatan, rumahpun tiada. Si gadis pula yang terpaksa menanggung perbelanjaan mahu membina rumah. Bila bergaduh pula, segalanya diungkit. Janji tidak lagi menjadi paksi hubungan.

4. Namun bagi orang lama atau orang yang berpengalaman, perjalanan mengurat seorang gadis dibuat dengan berhati-hati. Mahu mendapatkan gadis, ibu dan bapa gadis tersebut disantuni dahulu. Setelah mendapat izin, barulah gadis tersebut diikat dengan janji suci, tidak perlu fitnah dan berbohong. Ikatan begini lebih bertahan lama dan diingati.

Kerana itu, orang lama lebih diingati. Bukan kerana mereka lebih tampan. Keikhlasan menyunting dan mendapatkan tetap jadi bualan. Setelah gadis disunting, ‘orang lama’ menjaganya dengan baik. Gaduh atau tercalar sedikit asam garam sesuatu hubungan. Masih ada ruang kembali ke pangkal jalan.

5. Kerana itu, yang lama akan tetap diingati dan dirindui. Seboleh mungkin, selamatkan hubungan. Jika sudah berpisah, masih ada waktu untuk kembali selagi tidak bertalak tiga. Berpisah dahulupun kerana termakan fitnah, mahu cuba-cuba. Sekarang sudah terang lagi bersuluh, yang baru itu tidak semestinya bagus. 

‘Bujang’ juga tidak semestinya jadi rebutan, yang lama juga tetap di hati…

Dipetik dari laman blog “Anuar Shaari Menulis”:-

http://anuar-shaari.blogspot.com/2020/01/bujang-tidak-semestinya-jadi-rebutan.html?m=1

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts