UPM DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN WAJAR PANTAU ISU PELAJAR UPM BAWA ANJING

388
SHARES
2.3k
VIEWS

Apabila viral video rakaman tiga remaja bertudung membawa anjing berjalan-jalan di taman, maka pelbagai reaksi daripada masyarakat dan netizen dengan insiden tersebut.

Ada yang marah, terkejut, meluat dan ada juga yang mempertahankan wanita bertiga tersebut sebagai pelajar jurusan veterinar yang perlu membawa anjing tersebut berjalan-jalan dan mengatakan ia fardhu kifayah.

Ada juga yang menyalahkan individu yang mengambil video sedangkan beliau (kelihatan seperti bukan Islam) sendiri terkejut dan bukan dirancang olehnya. Tidak perlu menyalahkan perakam sekiranya kita tidak membuat sesuatu yang bertentangan dengan amalan Islam.

Namun lebih ramai yang mempertikai tindakan tiga remaja bertudung tersebut yang seolah-olah mempersenda agama kerana dilakukan secara terbuka. Maka lebih baik kita mengambil pendekatan diplomasi berbanding konfrontasi dalam isu ini dan membedah di mana silapnya.

Ibu kepada salah seorang pelajar tersebut juga telah memberitahu bahawa video yang viral tersebut adalah anaknya seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sedang menjalani latihan di PAWS Animal Welfare Society yang beroperasi di Pilmoor Estate Subang Airport Road, Subang.

Jika benar tiga remaja bertudung ini adalah pelajar UPM jurusan veterinar yang sedang menjalani latihan praktikal (internship), sewajarnya;

  • Perkara tersebut (membawa anjing bersiar-siar) perlu dilakukan di tempat yang tertutup seperti mengelilingi bangunan fakulti veterinar ataupun kawasan persendirian dan bukannya di tempat tumpuan ramai seperti dalam rakaman video tersebut bagi mengelakkan kegusaran masyarakat terutama orang Islam
  • Jika perlu bersiar-siar di tempat terbuka atas maksud mengkaji emosi ataupun reaksi anjing tersebut dengan alam semulajadi (jika wujud silibus sebegini) maka ia boleh dilakukan oleh pelajar bukan Islam dan pelajar Islam hanya memerhati dan mencatat tingkahlaku haiwan tersebut
  • Jika tiada pelajar bukan Islam dan tetap perlu dilakukan secara terbuka, maka wujudkanlah pemberitahuan mengenai perkara tersebut agar tidak disalahanggap, namun secara logik, mustahil ia tidak boleh dilakukan di sekitar kawasan tertutup ataupun bukan tumpuan ramai

Justeru tanpa perlu mencari kesalahan sesiapa, maka penyelesaian kepada isu ini adalah dengan;

  • Pihak universiti membuat satu garis panduan baharu mengenai perkara ini yang tidak akan menimbulkan fitnah dan kegusaran, termasuk ketika atihan praktikal (internship) dijalankan di syarikat berkaitan
  • Namun jika pihak universiti ataupun syarikat tersebut berkeras, maka YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Kementerian Pendidikan wajar menegur universiti tersebut agar perkara sebegini tidak berulang

Ini kerana universiti wajib menjaga pelajar dan sensitiviti agama dengan sebaik mungkin serta menghormati amalan agama sesiapa jua yang dijamin perlembagaan apatah lagi Islam adalah agama rasmi negara.

Jika remaja bertiga ini bukan pelajar veterinar dan sememangnya membela ketiga-tiga anjing tersebut, dinasihatkan mereka dan keluarga berjumpa Mufti untuk bertanyakan hukum yang tepat.

Jika memang terdapat maslahat atau perkara darurah yang mengharuskan mereka membela anjing tersebut maka Mufti akan menerangkan kaedah membelanya termasuk dilakukan di tempat tertutup agar tidak mewujudkan pendapat mengatakan anjing sudah tidak dilarang dalam Islam serta mengelakkan keresahan di kalangan masyarakat.

Dikhuatiri kekeliruan juga boleh berlaku di kalangan masyarakat bukan Islam yang selama ini mengetahui perbuatan tersebut dilarang dalam Islam, seperti individu yang mengambil video ini. Jika kita tidak membuat sesuatu yang mengejutkan begitu, tentunya tiada siapa yang endahkan.

Walaupun ada sesetengah pendapat mengatakan tidak perlu samak jika memegang anjing dalam keadaan kering, ini tidak bererti anjing diharuskan untuk disentuh.

Mungkin ada pihak yang mempunyai agenda tertentu untuk menghina Islam, malangnya kita sokong pula dengan mengatakan itu fardhu kifayah, maka akhirnya berjayalah agenda tersebut.

Adakah keindahan Islam yang terlihat apabila kita bersiar-siar dengan anjing ataupun yang terlihat adalah penghinaan terhadap Islam?

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts