PERKEMBANGAN SAMAN SEKOLAH VERNAKULAR

528
SHARES
2.9k
VIEWS

16 Januari 2020

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) telah dimaklumkan oleh peguam, bahawa saman kami telah dipanggil untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ini adalah berkaitan saman kami terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

GPMS dan MAPPIM selaku Plaintif telah diwakili oleh peguam Aidil Khalid dan Abi Mursyidin Awal. Manakala mewakili Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia pula adalah Peguam Kanan Persekutuan, Kogilambigai Muthusamy.

Mahkamah telah dimaklumkan bahawa Menteri Pendidikan dan Kerajaan selaku Defendan, telah memfailkan Memorandum Kehadiran lewat dan di luar kerangka waktu yang diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah.

Walaubagaimaanpun, mengambil kira kepentingan kes ini yang melibatkan isu Perlembagaan, maka GPMS dan MAPPIM tidak membantah kelewatan tersebut, kerana mengambil pendirian bahawa isu ini perlu dibahaskan pada merit dan substantif kes, dan bukan kepada isu teknikal.

Selain daripada itu, beberapa pihak telah memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman ini, iaitu:

(a) Parti Gerakan Rakyat Malaysia;

(b) Malaysian Chinese Association (MCA);

(c) Malaysian Indian Congress (MIC); dan

(d) Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia.

Manakala Persatuan Bekas Pesara Guru Tamil pula telah melantik peguam Rajakoopal sebagai pemerhati diarahkan (watching brief), tetapi tidak memohon untuk menjadi pencelah.

Mahkamah telah memerintahkan Defendan (Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia) untuk memfailkan Penyata Pembelaan selewat-lewatnya pada 17 Februari 2020.

Manakala Plaintif pula diberi ruang untuk memfailkan jawapan terhadap pembelaan tersebut pada, atau sebelum 3 Mac 2020.

Mahkamah juga telah menetapkan 18 Februari 2020 sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya, untuk Mahkamah menentukan isu berkenaan permohonan pihak-pihak yang ingin menjadi pencelah.

Mohd Alif Anas Md Noor

(Presiden GPMS)

Mohd Zai Mustafa

(Setiausaha MAPPIM)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts