BERANI BERSUMPAH LAKNAT KERANA BENAR

534
SHARES
2.6k
VIEWS

Hari ini tanggal 20 Disember 2019, negara mencatatkan satu lembaran peristiwa besar dalam sejarah tanah air apabila mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 melakukan Sumpah Laknat atau Mubahalah di Masjid Kampung Baru selepas Solat Jumaat di hadapan jamaah, suatu pengakuan diri yang juga pernah dilakukan di zaman Nabi Muhammad saw.

2. Sumpah laknat bukanlah suatu yang asing dalam ajaran Islam, ia merupakan satu-satunya jalan penyelesaian paling terakhir apabila seseorang itu sudah tiada lagi sandaran hujah bagi membuktikan kebenaran atas dirinya baik pada perbuatan ataupun dalam berkata-kata, melainkan dengan meletakkan penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT dan bergantung kepada-Nya.

3. Hal ini pernah berlaku ke atas diri Rasulullah SAW sendiri apabila Baginda SAW pernah melakukan sumpah laknat ini dengan delegasi Nasrani Najran untuk membuktikan kebenaran bagi pihak diri Baginda SAW.

Namun saat itu para delegasi Nasrani tersebut tidak berani melakukan sumpah kerana mereka takut sumpah itu akan terkena ke atas diri mereka, dan dalam hal ini secara tidak langsung membuktikan akan kebenaran Rasulullah SAW.

4. Menurut Hudzaifah Radhiallahu ‘Anhu, salah seorang dari utusan tersebut berkata, “Janganlah berbuat demikian kerana demi Allah, jika benar dia (Muhammad SAW) seorang Nabi lalu kita melaknat dia, maka pastilah nanti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan”.

5. Hal tersebut membuktikan bahawa sumpah untuk menjatuhkan laknat atau mubahalah boleh dilakukan oleh umat Islam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Meskipun demikian, tetap sahaja sumpah itu harus dibuat dengan memenuhi syarat-syaratnya dan memiliki adab yang harus dipatuhi sepenuhnya.

6. Pengertian secara ringkas Sumpah Laknat atau Mubahalah iaitu kedua-dua pihak melakukan sumpah dengan memohon kepada Allah agar dijatuhkan laknat kepada pihak yang berdusta atau yang melakukan pembohongan, setelah kedua-duanya menafikan tuduhan ke atas diri mereka.

Kedua-dua yang terlibat itu mengangkat sumpah di hadapan orang yang terpercaya atau di khalayak ramai agar sesiapa di antara mereka yang berdusta akan terkena laknat.

7. Hari ini, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah tampil mempertahankan kebenaran dirinya dengan mengangkat sumpah laknat apabila beliau telah bertubi-tubi dituduh dengan berbagai tomahan dan fitnah yang paling dahsyat dalam sejarah tanah air.

8. Beliau secara sedar mengaku akan implikasi yang bakal menimpa ke atas dirinya apabila melakukan sumpah laknat atau mubahalah ini. Seterusnya beliau melafazkan sumpah dengan berkata:

“Bismillahir Rahmanir Rahim, pada hari 20 Disember 2019M bersamaan 23 Rabi’ul Akhir 1441H di dalam rumah Allah SWT yang mulia ini dan Jumaat yang berkat ini, saya; Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan ini sesungguhnya dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, berikrar dan bersumpah seperti berikut:

“Au’zubillahi minassyaitoni rajim…
Bismillahi Rahmanir Rahim
Wallahi… Wabillahi… Watallahi,

Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shaaribuu, malah saya tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali mendiang sama sekali, jika saya berdusta maka LAKNAT ALLAH SWT atas diri saya dan jika saya benar maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT dunia dan akhirat. Wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.”

9. Maka dengan “sumpah laknat” ini, secara zahirnya sudah tidak boleh lagi sesiapapun bersangka-sangka buruk terhadap Dato’ Seri Mohd Najib dengan hal yang dikaitkan dengan beliau, dan kita sebagai saksi hendaklah menyerahkan segalanya bulat-bulat kepada Allah SWT.

Untuk orang awam atau khalayak ramai, kita wajib menerimanya dan menyerahkannya kepada Ketua Agama dan Mufti bagi menentukan perkara selanjutnya.

10. Umat Islam menyambut sumpah laknat ini dengan seikhlas hati. Seterusnya menuntut supaya semua pihak yang terkait melakukan hal yang sama. Ini termasuk juga pihak yang dituduh terlibat dengan gejala perbuatan tidak bermoral dan tidak menunjukkan akhlak peribadi seorang Muslim – semburit.

11. Semoga tokoh-tokoh yang terpalit dengan fitnah-fitnah melampau tampil membersihkan diri mereka daripada segala maksiat lisan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan peribadi mereka.

Saya menggesa perkara ini kerana rakyat tidak mahu mempunyai pemimpin hipokrit yang di sebalik penampilan waraknya ada bayangan hitam menaungi dirinya.

Haji Rashidi bin Haris @ Lebai Kampung

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts