WAN AZIZAH: SAYA TIMBALAN PERDANA MENTERI

355
SHARES
2.1k
VIEWS

Sebegitu tegas nada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail apabila menyelar dakwaan kononnya hanya mengikut telunjuk suaminya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuduhan nakal mengatakan Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri di sebalik tabir, manakala beliau hanyalah boneka suaminya disangkal dengan nada yang tegas. Dr Wan Azizah berkata, beliau bukan boneka sesiapa dan tidak dikawal suaminya dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, beliau juga mahu dipandang serius sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama negara dan komited menjalankan tugasnya sejak mengangkat sumpah jawatan itu sehingga saat ini.

“Berilah saya pujian dan penghargaan sebab saya buat kerja banyak. Saya Timbalan Perdana Menteri, bukan dia,” seloroh Dr. Wan Azizah ketika diwawancara oleh NSTP semalam.

Sesetengah pihak memandang sinis dengan keupayaan Dr. Wan Azizah sejak dahulu lagi kerana beliau tidak mempunyai latar belakang dalam politik sehinggalah suaminya dipenjarakan oleh kerajaan ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri, yang telah mencetuskan reformasi buat pertama kali dalam sejarah negara.

Itulah permulaan Dr. Wan Azizah menceburi politik demi untuk mendapatkan keadilan untuk suaminya yang didakwa atas kesalahan liwat namun dipenjarakan atas kesalahan jenayah yang sangat kontroversi yang mencalarkan imej Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga ke hari ini.

Pengorbanan dan perjuangan Dr. Wan Azizah tidak terhenti dengan pemenjaraan suaminya sehingga lahirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 4 April 1999 dengan mengambil alih sebuah parti kecil yang sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990 sebelum bergabung dengan Parti Rakyat  Malaysia (PRM) pada tahun 2003.

Selepas 20 tahun, siapa sangka perjuangan suami isteri ini terbalas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh oleh YDP Agong dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah sendiri menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun yang lebih memeranjatkan, Tun Dr. Mahathir sendiri yang telah memulakan episod hitam negara dan punca tercetusnya reformasi 1998 dengan pemecatan  dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam tahun, pada hari ini beliau diangkat menjadi Perdana Menteri sekali lagi apabila menang bergaya dengan bantuan penuh PKR.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts