PAMERAN FIRAUN TANDA MENTERI KONTANG IDEA PROMOSI TAHUN LAWAT MALAYSIA 2020

430
SHARES
2.3k
VIEWS

Nampaknya Tahun Melawat Malaysia 2020 semakin menyerlahkan kegagalan kerajaan apabila perkembangan mutakhir mencadangkan untuk mengadakan Pameran Firaun Ramses II dan Raja Tut ke Malaysia sebagai promosi sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan.

2. Sekalipun berita melaporkan bahawa kerajaan Mesir telah memberi kelulusan namun perkara itu perlu dibawa ke Kabinet terlebih dahulu kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang amat besar, terutamanya perlindungan insurans bagi bahan-bahan dan juga perkakasan yang dibawa.

3. Menurut kata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pameran itu merangkumi sejarah tamadun, sejarah Nabi-nabi dan nilai moral yang tinggi serta kehebatan manusia. Tambah beliau Firaun merupakan nama gelaran Raja-raja dan bukan semua Firaun jahat dan kejam.

4. Bagi MUAFAKAT kenyataan ini menunjukkan bahawa menteri telah kekontangan idea di dalam mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia. Ia juga bertentangan dengan apa yang telah diucapkan sebelum ini oleh YAB Perdana Menteri iaitu kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 sepatutnya memfokus kepada ekopelancongan, seni dan budaya, sesuai dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dan Dasar Budaya Kebangsaan yang meletakkan ekopelancongan, seni dan budaya sebagai fokus utama dan jalan menuju ke depan dalam pembangunan industri pelancongan di Malaysia.

5. Orang luar datang ke Malaysia kerana ingin melihat sejarah dan keunikan budaya Malaysia dan bukan yang lain. Jadi apakah sebenarnya kaitan Firaun Ramses II dan Raja Tut dengan sejarah dan kebudayaan negara ini?

6. Apakah pengisian lain selain daripada pameran Firaun sehingga boleh dikatakan bahawa pameran ini merangkumi sejarah tamadun, sejarah Nabi-nabi dan nilai moral yang tinggi serta kehebatan manusia?

7. Sedangkan kita semua telah maklum dari pembelajaran sejarah penceritaan dan Firaun serta sejarah Nabi-nabi di dalam Al-Quran akan membawa kepada kesimpulan berkenaan kehebatan Allah SWT (bukan kehebatan manusia) dan bagaimana tamadun zaman itu bersama dengan nilai-nilai moral manusia dimusnahkan sekiranya tidak mengikuti syariat Allah SWT yang dibawa oleh para Rasul.

8. Adakah pameran ini akan dibimbing oleh naratif Al-Quran sekiranya menteri jujur? Sedangkan hakikat inilah yang membawa kepada pengIslaman sarjana Maurice Bucaille apabila melihat mayat Ramses II dalam cahaya Surah Yunus Ayat 92.

9. Adakah terdapat agenda ini oleh Kementerian Pelancongan sekiranya mereka jujur?

10. Promosi tahun melawat Malaysia ini juga turut memperlihatkan rekaan logo yang disifatkan ketiadaan keaslian ilhamnya. Penggunaan bahasa Inggeris pada slogan Tahun Melawat Malaysia 2020, ‘Visit Truly Asia Malaysia‘ juga dikritik sebagai ‘pelik’. Identiti agama, bahasa dan sejarah tempatan musnah sama sekali.

11. Sebelum ini timbul juga isu apabila pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon akan dijadikan sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 namun segera dinafikan oleh Datuk Mohamaddin Ketapi sambil menyatakan ia kenyataan peribadi Pengerusi Balai Seni Negara. Sikap menyalahkan kakitangan awam di bawah kementerian beliau nampaknya sudah menjadi suatu tabiat semula jadi.

12. Baru-baru ini, timbul salah faham apabila timbalannya telah terlebih dahulu mengumumkan berkenaan pameran tersebut tanpa pengetahuannya dan yang terakhir disalahkan adalah Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia. Ternyata masalah komunikasi di antara menteri-menteri dan timbalan-timbalan di kalangan anggota kabinet PH masih belum selesai.

13. Sikap tidak mahu bertanggungjawab dan sering menyalahkan orang lain menguatkan keyakinan bahawa Kementerian Pelancongan di dalam keadaan tiada kepimpinan yang berkesan.

14. Sasaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 untuk menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 juta resit pelancongan nampaknya akan menuju kegagalan.

Haji Rashidi bin Haris

Naib Pengerusi UMMAH

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts