PEGUAM SYAHREDZAN JOHAN MENGELIRUKAN MASYARAKAT BERKAITAN SOSMA – BUZZE AZAM

455
SHARES
2.7k
VIEWS

Peguam Syahredzan TS Johan Jaafar telah mengelirukan rakyat berkaitan Akta SOSMA.

1. Saya merujuk kepada komen Peguam Syahredzan Johan yang dilapor Malaysiakini di pautan berikut;

https://www.malaysiakini.com/news/497900

2. Beliau telah secara semberono menyalahtafsir beberapa peruntukan penting dalam Akta SOSMA dengan niat semata-mata untuk memburuk-burukkan akta tersebut tanpa tanggungjawab untuk berkata yang benar walaupun pahit.

3. Pertamanya, beliau mengulas berkaitan seksyen 30 Akta Sosma iaitu seorang tertuduh SOSMA yang telah dibebaskan oleh mahkamah akan terus ditahan sehinggalah proses rayuan selesai.

4. Saya tidak boleh bersetuju dengan nada huraian cuai beliau ini kerana beliau menyembunyikan fakta bahawa penahanan berterusan ini hanya boleh berlaku atas permohonan pendakwaraya.

5. Dalam keadaan Pendakwaraya/Peguam Negara lantikan politik oleh Pakatan Harapan sekarang, saya tidak nampak mengapa kebimbangan Syahredzan ini terlalu relevan.

6. Namun saya boleh bersetuju jika Seksyen 30 SOSMA ini dipinda dan dimurnikan dengan meletakkan peguambela boleh membantah permohonan pendakwaraya dan mahkamah boleh mempertimbangkan berdasarkan hal keadaan khas mengapa permohonan pendakwaraya ini boleh ditolak.

7. Kedua beliau mengkritik Seksyen 18A SOSMA dengan menyatakan bahawa pengakuan tertuduh semasa dalam tahanan hendaklah diterima sebagai keterangan.

8. Syahredzan telah sengaja meninggalkan perkataan “boleh” dalam seksyen 18A SOSMA iaitu ayat sebenarnya adalah “ Apa-apa pernyataan oleh tertuduh pada bila-bila masa hendaklah BOLEH diterima sebagai keterangan”.

9. Kepada orang awam, sama ada wujud perkataan ‘boleh’ itu atau tidak di dalam Seksyen 18A SOSMA tidak memberikan kesan perbezaan yang besar tetapi bagi pengamal undang-undang, kewujudan perkataan ‘boleh’ itu secara automatik membuka ruang budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan kewajaran penerimaan keterangan itu ataupun tidak.

10. Secara alternatif, selaku peguam berpengalaman ‘bergebang’ seperti Syahredzan, beliau pastinya tahu bahawa beliau boleh mencabar keabsahan Seksyen 18A SOSMA berkenaan sebagai tidak Berperlembagaan kerana terlalu banyak contoh kes yang boleh di-Google oleh orang awam bahawa Mahkamah Persekutuan biasa mengisytiharkan banyak seksyen dan banyak Akta Parlimen sebagai bertentangan (ultra vires) dengan Perlembagaan.

11. Namun, beliau mengelak dari mencabar keperlembagaan Seksyen 18A SOSMA ini di mahkamah, sebaliknya memilih untuk ‘meroyan’ di media sosial sahaja.

12. Ketiga, beliau juga mengkritik Seksyen 20 SOSMA mengenai barang rampasan yang hendaklah boleh dijadikan sebagai keterangan terhadap tertuduh tanpa mengambil kira kaedah dan cara barang itu dirampas. Saya boleh bersetuju sebahagiannya dengan ketidakadilan ini namun saya tidak akan menyembunyikan fakta bahawa sebagai peguam, beliau boleh juga mencabar keperlembagaan Seksyen 20 SOSMA ini di Mahkamah Persekutuan, bukan menjadi modal politik beliau di media sosial.

13. Keempat beliau mempersoalkan Seksyen 14 SOSMA berkaitan identiti saksi terlindung yang disembunyikan yang memprejudiskan tertuduh. Sekali lagi Syahredzan telah mengelirukan orang ramai dengan Seksyen 14 ini.

14. Seksyen 14 SOSMA ini hendaklah dibaca dalam keadaan khas kes keselamatan militan peringkat tertinggi. Kadang-kadang ada saksi yang tidak mahu dikenali oleh tertuduh kerana jika tertuduh kenal sahaja dengan saksi ini, maka pastinya saksi ini 7 keturunannya akan dibunuh oleh pengikut-pengikut OKT yang masih bebas. Jadi sebelum saksi khas ini layak memberikan keterangan secara bertulis, tanpa mahu muka dan suara beliau dikenali OKT, maka mahkamah akan menentukan dulu keadaan khas ini sama ada layak atau tidak identiti saksi ini dilindungi.

15. Jadi adalah tidak adil jika Syahredzan hanya mengulas isu ketidakadilan kepada OKT, beliau perlu seimbangkan dengan keadilan kepada saksi khas ini yang mungkin memprejudiskan nyawa diri dan keluarganya sendiri jika memberi keterangan.

16. Kita boleh lihat dalam banyak filem Hollywood atau Hindustan bagaimana saksi penting cuba dibunuh oleh geng samseng semata-mata kerana OKT tidak mahu saksi itu tampil ke mahkamah.

17. Jadi kesimpulannya, pada saya, pendapat Syahredzan ni berat menyebelahi DAP (tidak hairan beliau Setiausaha Politik Lim Kit Siang) dan tidak profesional kerana beliau menyembunyikan beberapa jalan keluar yang boleh diperjuangkan oleh beliau selaku peguam dengan mencabar keperlembagaan peruntukan-peruntukan tertentu dalam SOSMA.

Sekian terima kasih.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Peguambela & Peguamcara

0129770412

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts