BAHAYA PERPECAHAN DALAM MASYARAKAT

1.7k
SHARES
9k
VIEWS

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan berusaha melaksanakan setiap perintah-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Islam mengajar kita bahawa masyarakat yang baik adalah masyarakat yang saling hidup dengan aman dan harmoni sekalipun berkongsi kehidupan dengan yang bukan Islam.

Ini adalah kerana manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat: 70, terjemahan maksud:

Dan kami memuliakan Bani Adam dan kami berikan mereka kelebihan dengan mereka menguasai di daratan dan lautan serta kami berikan rezeki-rezeki yang baik dan kami lebihkan manusia ini melebihi dari ciptaan yang kami pernah ciptakan.”

Kesan dari perpecahan ini akan menjadikan sesebuah negara itu kucar-kacir. Dengan itu masyarakat awam dalam negara ini khususnya umat Islam hendaklah bersatu-padu dan mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh memecahkan perpaduan umat Islam.

Perkara ini telah diperintahkan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103, terjemahan maksud:

Dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (Islam), jangan berpecah-belah, dan ingatlah ketika kamu berada di jurang api neraka (disebabkan perpecahan), maka Allah menyelamatkan kamu dengan nikmat persaudaraan. Demikian Allah menerangkan pada kamu ayat-ayat-Nya, mudah-mudahan kamu beroleh petunjuk.”

Ayat ini jelas Allah memuji atas kenikmatan persaudaraan dan mengelakkan daripada berlakunya perpecahan dalam masyarakat Islam.

Prinsip ketaatan pada Allah dan taat pada Rasul adalah kunci perpaduan yang sebenarnya, tanpa mengira bangsa dan fahaman masing-masing, kecuali dalam perkara akidah, yang mana batil tidak akan sesekali boleh dicampur adukkan dengan yang benar.

Syirik dan Tauhid mustahil boleh bersekali, kerana ia saling bertentangan.

Rasulullah SAW juga memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak berpecah-belah sebagaimana sabda Baginda dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

Janganlah kamu berselisih faham, kerana orang terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham.

Antara punca perpecahan dalam masyarakat Islam bermula dari golongan yang telah membidaahkan amalan khilafiyah yang telah diamalkan sejak zaman berzaman yang mempunyai sandaran nas Al-Quran dan Hadis seperti mempertikaikan bacaan Yaasin pada malam Jumaat, bertahlil, bertalqin, berzikir secara beramai-ramai selepas solat fardhu, mempersoalkan sambutan hari-hari kebesaran Islam serta menidakkan berdoa awal tahun dan akhir tahun dan selainnya.

Satu lagi contoh yang menampakkan perpecahan dalam masyarakat kita iaitu mereka menolak pandangan empat mazhab dan mengambil pandangan mereka sendiri sahaja seperti meletakkan tangan atas dada ketika qiyam dalam solat.

Meskipun amalan seumpama ini mempunyai sandaran daripada hadis, akan tetapi tidak menjadi dalil pegangan kepada mazhab yang empat. Untuk renungan kita bersama, yang dimaksudkan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam hukum fekah, tidak boleh menyalahi daripada mazhab yang empat.

Pada peringkat awalnya mereka membidaahkan amalan-amalan tersebut kemudian mereka mendakwa sesat, akhirnya mereka menghalalkan darah bagi pengamalnya. Paling ekstrem mengkafirkan semua yang berselisih dengan mereka, hanya mereka yang benar dan yang Islam.

Pandangan golongan inilah menjadi punca perpecahan dalam masyarakat kita dan negara-negara Islam yang lain, kerana mereka mengambil fatwa golongan mereka dengan menolak fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama. Sebahagian mereka inilah yang telah dibuktikan oleh pihak keselamatan negara kita yang ditangkap kerana menjadi pelampau ISIS/Daesh.

Bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat adalah penting menguatkuasakan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama dengan melarang masyarakat kita melibatkan diri dalam keganasan seperti menyertai golongan Daesh adalah bukan jihad yang dituntut oleh agama Islam.

Begitu juga kita bersama dengan menolak kumpulan-kumpulan pengganas lain yang bukan Islam. Islam menolak keganasan!

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 59, terjemahan maksud:

Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan kepada “Ulil Amri” (orang yang berkuasa selagi mana tidak menyuruh kamu kepada kemungkaran) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik pula akibatnya.

Kesimpulannya agama Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan keamanan dan perpaduan serta melarang keras perpecahan dalam bermasyarakat khususnya perpecahan akibat fahaman politik yang berlainan tambah lagi keganasan.

Marilah kita bersama-sama saling menyayangi, hormat-menghormati sesama kita sehingga menjadi sebuah negara ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur”.

Firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 15, terjemahan maksud:

Dan makanlah rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan kamu dan bersyukurlah, negeri yang baik dan dalam keampunan Tuhan-nya.”

Haji Rashidi bin Haris

Naib Pengerusi UMMAH

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts