HATA WAHARI DAN DAP, IKTIBAR DARI KISAHNYA

452
SHARES
2.6k
VIEWS

Tindakan pihak DAP terhadap penyokongnya sendiri dilihat sebagai antara indikator betapa cacamarbanya kerajaan hari ini.

Jika penyokong sendiripun dilayan lekeh sebegini apatah lagi mereka yang tidak sehaluan dengan DAP.

Sebagai contoh, isu bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Hata Wahari, yang telah ditahan reman selama empat hari susulan laporan polis yang difailkan oleh Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How di Jelapang, Perak pada minggu lepas.

Beliau telah ditangkap dan ditahan bagi menyiasat hantarannya melalui media sosial berhubung siasatan ugutan bunuh terhadap Lim Kit Siang.

Hata berasa kesal kerana DAP seolah-olah tidak mengenali beliau selaku ahli seumur hidup DAP bahkan beliau menyertai parti tersebut juga diumumkan oleh Lim Kit Siang.

Beliau turut menafikan membuat ugutan bunuh tersebut kerana menurut beliau adalah mustahil ahli berbuat sedemikian terhadap pemimpinnya.

Beliau juga berkata tidak pernah membuat apa-apa masalah selama ini dalam DAP dan berasa pelik mereka langsung tidak menghubunginya.

Hata juga turut menyatakan rasa kesal berhubung kebebasan bersuara di negara ini yang disifatkan semakin buruk di bawah kerajaan Pakatan Harapan berbanding Barisan Nasional sebelum ini.

Apa yang Hata kesalkan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing bagi parti DAP.

DAP akan menggunakan alasan kebebasan bersuara jika berlaku sebarang dakwaan ke atas anggota  atau pemimpin mereka sedangkan DAP sendiri tidak mengamalkan kebebasan bersuara tersebut.

Ahli seumur hidup DAP seperti Hata Wahari sepatutnya faham dari awal bagaimanakah parti DAP ini berfungsi dan ambil iktibar daripadanya.

DAP akan menggunakan istilah rasis ke atas seteru politiknya sedangkan merekalah yang bersikap sangat rasis selama ini.

DAP akan melaungkan slogan anti rasuah dan salah guna kuasa namun dalam masa yang sama sebarang tuduhan rasuah atau salah guna kuasa ke atas pihak mereka akan dipertahankan.

Lihat bagaimana kes terowong yang tidak disiasat dan juga kes banglo Lim Guan Eng yang digugurkan dakwaan sehingga SPRM sendiri terkejut mengenainya.

Lihat juga contoh bagaimana salah guna kuasa Peguam Negara Tommy Thomas dalam isu Inkues bagi menyiasat pembunuhan anggota bomba Mohd. Adib yang sedang bertugas ketika rusuhan.

Juga kes ADUN DAP Perak yang merogol pembantu rumahnya juga dilakukan secara tertutup, yang menimbulkan prasangka awam.

Selain itu, amat tidak boleh diterima apabila DAP turut mempertahankan pemimpinnya yang memperjuangkan ideologi pengganas walaupun terdapat bukti kukuh oleh pihak Polis DiRaja Malaysia.

Lihatlah isu pengganas LTTE serta isu komik Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan yang telah diharamkan.

Lihat pula bagaimana Ramasamy dipertahankan walaupun beliau dengan jelas bukan setakat menyokong malah turut menyertai majlis LTTE.

Manakala ‘Superman’ Hew Kuan Yau melalui komik yang diharamkan tetap dipertahankan DAP walaupun terang-terangan komik tersebut mempromosi ideologi komunis.

DAP adalah sebuah parti yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan keselamatan dan kedaulatan negara serta undang-undang demi pemimpin-pemimpinnya.

Namun syaratnya selagi mereka tidak mengkritik pimpinan maka DAP akan berpura-pura baik kononnya memperjuangkan ahli-ahlinya.

Jika bertindak sebaliknya dengan mengkritik pimpinan, maka tunggulah padahnya, seperti kes Hata Wahari, yang seolah-olah langsung tiada nilai di mata DAP.

Mungkin kerana itu Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) langsung tidak mengkritik DAP mengenai isu LTTE?

Justeru, Hata Wahari dan lain-lain individu yang ‘sudah terkena’ dengan DAP ini sewajarnya belajar dari kesilapan mempercayai parti DAP yang sentiasa mempunyai agendanya yang tersendiri.

Cukup-cukuplah ditipu dan dipermainkan oleh DAP selama ini dan bermuhasabah diri.

Berjuanglah untuk kebenaran tanpa mengira siapa dan jangan sesekali menyokong mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, walaupun dilakukan oleh rakan baik atau ahli keluarga sendiri.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts