JALAN BELAKANG ATAU SUDAH TIADA JALAN?

503
SHARES
2.8k
VIEWS

Rakyat semakin meluat dengan perkembangan terkini politik tanahair apabila segelintir pihak dalam UMNO cuba untuk naik melalui ‘jalan belakang’, kononnya untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Alasan menghalang Anwar ini dijadikan mantera sejak dahulu demi mengelabui mata rakyat dan diulang-ulang sebaik sahaja Perdana Menteri keempat menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Selain ingin melonjakkan diri masing-masing mereka juga ingin mencari talian hayat terakhir sebelum Tun Mahathir yang sudah berusia terlalu lanjut dan lemah pergi meninggalkan dunia ini.

Tun Mahathir juga sudah hilang taringnya dan diumpamakan sebagai ‘harimau kertas’ oleh pemimpin DAP – yakni zahirnya menakutkan namun rupanya tidak bermaya.

Kadir Jasin sendiri sudahpun mengangkat bendera putih, tidak mampu menasihati Pakatan Harapan yang dilihatnya sedang rakus menghancurkan negara dan harapan rakyat.

Malah beliau sendiri kata jangan undi Pakatan Harapan lagi.

Hanya Tun Daim sahaja masih diam-diam mencatur di belakang, sama ada fokusnya politik ataupun perniagaan namun semua dilakukan tergesa-gesa kerana kem Anwar semakin berani menuntut janji 2 tahun peralihan kuasa secara terbuka.

Isu Anwar tidak sabar ataupun tidak layak bukanlah isu utama kerana jika beliau tidak layak kerana terpalit dengan isu liwat, maka Azmin juga pasti tidak layak kerana beliau mempunyai video semburit.

Ditambah isu komik propaganda “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” oleh DAP yang melihat Pakatan Harapan bergaduh sesama sendiri – walaupun dilihat sebagai cubaan meraih simpati pengundi Melayu di Tanjung Piai.

Di sebalik semua kecelaruan dan perebutan kuasa ini, UMNO sepatutnya menjarakkan diri dan biarkan Pakatan Harapan bergaduh sesama mereka.

Rakyat meluat melihat UMNO cuba berbaik ataupun ada ura-ura mengatakan menyokong dan mendokong Tun Mahathir sedangkan rakyat melihat beliaulah pemimpin yang memecah-belahkan UMNO.

Siapa yang menaikkan dan melantik ramai pemimpin DAP menjadi Menteri?

Siapa yang membekukan akaun UMNO sebaik sahaja Pakatan Harapan memerintah?

Siapa yang menghadapkan ramai pemimpin UMNO ke mahkamah sedangkan pemimpin DAP sendiri dilepaskan?

Siapa yang rakus menjual aset negara?

Siapa yang masih berusaha untuk menjarah harta dan aset UMNO untuk dipindahkan ke PBBM?

Siapa yang memfitnah dan menipu rakyat dalam isu GST, 1MDB, tol, PTPTN, FELDA, Tabung Haji dan lain-lain?

Jika rakyat nampak semua ini kenapa pimpinan tertinggi UMNO masih tidak nampak dan masih mahu berbaik dengan Tun Mahathir yang bergabung dengan DAP dan mencipta semua ini?

UMNO ketika ini wajar fokus perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional bersama PAS, bukannya sibuk mencari dan membuka pintu jalan belakang untuk kembali berkuasa.

Dengan memperkukuhkan Muafakat Nasional dan tidak ikut campur kekusutan dalam Pakatan Harapan yang dicipta sendiri oleh mereka, PAS dan UMNO bakal menjadi sebuah pasukan yang kuat dan dominan yang disokong oleh rakyat.

Ketika itu sudah tiada jalan bagi mereka yang cuba berkuasa melalui jalan belakang malah Tun Mahathir sendiri kelak terpaksa menagih simpati daripada UMNO dan PAS.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts