ISU 2 ADUN DAP DAN LTTE – PUTRA

32
SHARES
351
VIEWS

KENYATAAN MEDIA DAN PERCAMBAHAN MINDA PRESIDEN PARTI PUTRA

1. Saya yakin rakyat akan mengutamakan kedaulatan undang-undang apatah lagi demi keselamatan rakyat itu sendiri dan keamanan negara.

2. Maka penahanan dua ADUN DAP dan beberapa lagi individu oleh pihak polis bagi tujuan siasatan atas dakwaan ada kaitan dengan pertubuhan pengganas LTTE, menjadi perhatian besar rakyat.

3. Menurut laporan berita berdasarkan kenyataan pihak counter terrorism PDRM, dua ADUN tersebut ditahan kerana menghadiri majlis sokongan kepada LTTE di Melaka.

Program itu sudah agak lama berlalu tetapi polis bertindak hasil pemerhatian dan penyiasatan yang tentunya mengambil masa.

Atas sebab itu, kita mesti menyakini dan menyokong tindakan polis yang lebih arif hal keselamatan melangkaui pengetahuan masyarakat awam.

Rakyat benar-benar ingin tahu adakah terdapat sel-sel LTTE di negara ini dan berapa banyak bantuan kewangan yang diberikan oleh pemimpin tertentu DAP kepada LTTE, jika ada?

Juga persoalan tidak kurang menarik, apakah terdapat unsur dan kaitan LTTE dengan kejadian rusuhan isu kuil dan pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Adib, yang menggemparkan negara?

4. Persoalannya kini adakah selepas penyiasatan isu LTTE ini, mereka akan dibebaskan begitu sahaja atau didakwa?

Atau dibebaskan dengan jaminan polis?

Atau adakah lama-kelamaan lenyaplah isu ini seperti yang menjadi bahan sinikal umum. Inilah satu lagi kesempatan bagi rakyat menilai ketegasan polis dan sejauh mana polis tidak tunduk kepada tekanan pihak tertentu terutama DAP.

5. Jika penahanan dua ADUN DAP atas alasan hadir perjumpaan menyokong dan mengutip dana untuk LTTE, kenapa tidak ditahan mereka yang turut hadir saperti P. Ramasamy dan Kulasegaran?

Malah Lim Guan Eng seperti mana gambar yang tular dikatakan pernah hadir dalam majlis sokongan kepada LTTE tetapi belum dapat disahkan.

6. Polis menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan ditahan. Sama sama kita tunggu dan lihat.

Adakah nama-nama VVIP akan turut ditahan? Saya masih ingat OPERASI LALANG 1987 bagaimana 100 lebih pemimpin, aktivis dan individu telah ditahan termasuk tiga EXCO PEMUDA UMNO.

Saya adalah salah seorang yang ditangkap di bawah ISA tetapi VVIP yang berucap berapi-api selamat dan tidak ditangkap.

Kenapa? Semua sudah menjadi cerita dalam lipatan sejarah dan Operasi Lalang telah mencapai matlamat kepada pihak yang melancarkan operasi tersebut.

Alhamdulilah, walaupun sekali lagi saya ditahan di bawah ISA namun saya tetap menyokong akta itu supaya tidak dimansuhkan.

Saya di-‘boo’ di Parlimen apabila membahaskan pemansuhan rang undang-undang ISA selepas PRU-12. Saya menegaskan ISA adalah Taming Sari keselamatan rakyat dan negara. Kini nasi sudah jadi bubur.

7. Ada pihak yang bertanya kepada saya dari sudut keselamatan dan politik mengenai penahanan dua ADUN DAP ini.

Jika diambil kira lain-lain isu dan isu lebih terkini, sepatutnya atas faktor keselamatan, sewajarnya mereka diambil tindakan tegas termasuk kes menghina Islam dan Raja Raja Melayu.

Ia juga adalah isu keselamatan.

Ada soalan yang saya tergamam apabila ditanya adakah mungkin ini tindakan psikologi atau perang saraf politik?

Orang Melayu memang ramai yang amat marah kepada DAP atas banyak sebab. Sokongan Melayu kepada PPBM dan PH berada pada tahap amat rendah. Kebetulan pula PRK Tanjong Piai akan diadakan tidak lama lagi.

Tidak mungkinkah ini bagi meraih sedikit sokongan Melayu ekoran “tindakan tegas terhadap DAP melalui penahanan dua ADUN DAP ini atas isu sokongan kepada LTTE”?

Ia boleh dilihat sebagai isyarat kononnya kerajaan PH amat tegas di bawah kepimpinan PPBM/PH yang kebetulannya PM dan Menteri KDN adalah daripada PPBM.

Maka mesej politik yang mahu disampaikan adalah PPBM adalah Parti Melayu yang tegas dan berani ke atas sesiapa termasuk DAP.

Maknanya PPBM tidak lagi memberi muka kepada DAP. Maka degan mudah ikan bilis menjadi sasaran.

Semoga dengan ini orang Melayu akan bertepuk dan wajarlah Melayu menyokong PPBM. Semoga PPBM dapat meraih lebih undi orang Melayu pada PRK Tanjong Piai nanti.

Tergamam saya untuk menjawabnya kerana ada logik lontaran pertanyaan itu.

Isu-isu lain yang Melayu menderita kerana DAP selama ini tidak penting.

Caranya adalah memainkan isu sentimen lain dari segi perang saraf.

Terpulanglah kepada kita sama sama berfikir.

Sekilas ikan di air, sudah boleh tahu jantan atau betina bagi yang mindanya tajam dan kritikal.

Sama-sama kita tunggu dan lihat “Wayang Menang Sorak Kampung Tergadai “ yang mempunyai banyak sirinya.

Ternyata kerap berlaku, walaupun bunyi guruh tetapi hujan tidak turun.

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan