KAMI AKAN KELUAR DEWAN JIKA MELAYU DIHINA

5.5k
SHARES
15.3k
VIEWS

Esok 6 Oktober 2019, di Stadium Malawati Shah Alam julung kalinya akan berlangsungnya satu perhimpunan besar semua parti dan NGO Melayu tanpa mengira perbezaan pandangan akan berkumpul di bawah satu bumbung untuk mendengar “AMANAT” yang akan disampaikan oleh negarawan Malaysia di “Kongres Maruah Melayu Tanah Aku“.

2. Perhimpunan dari semua parti politik dan NGO ini adalah atas dorongan dan semangat kemelayuan yang sedia ada tersemat dalam jiwa dan raga setiap pemimpin-pemimpin dan masyarakat Melayu yang sanggup turun menghadirkan diri walaupun ada setengah daripadanya datang dalam keterpaksaan tetapi hadir juga kerana mahu menunjukkan semangat bahawasanya; orang Melayu ini mudah memaafkan dan sentiasa mahukan penyatuan.

3. Hal ini tidak boleh dinafikan, mungkin separuh atau mungkin lebih daripada itu yang turun dengan perasaan yang bercampur baur antara percaya dengan tidak kepada penganjur akan tujuan dan matlamat konvensyen ini, lebih-lebih lagi dalam sejarah telah terpalit Tun telah beberapa kali menghina orang Melayu dalam ucapan-ucapannya terdahulu.

4. Ada antaranya tertanya-tanya apakah niat sebenar dan apa yang tersirat di sebalik Kongres Maruah Melayu Tanah Aku ini diadakan. Tambah lagi ia dilakukan tidak sampai sebulan selepas perhimpunan dua parti terbesar dalam negara iaitu di Perhimpunan Penyatuan Ummah antara PAS dengan UMNO yang telah selamat berlangsung di PWTC pada 13 dan 14 September 2019 yang lalu.

5. Kenapa ada satu lagi perhimpunan? Adakah tujuannya hendak menyaingi perhimpunan sebelumnya ataupun kerana parti Melayu yang satu lagi itu iaitu PPBM atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia merasakan mereka kini sudah tergugat kedudukannya dalam masyarakat orang Melayu kerana terang-terangan sudah dilihat semakin hari semakin kehilangan penyokong dan sokongan dari orang Melayu?

6. Walau apapun spekulasi yang terlintas di minda kita semua, jika dilihat dari sudut yang lain daripada apa yang terpapar dengan jelas pada kad jemputan yang tertera iaitu untuk mendengar “AMANAT” Tun Dr. Mahathir, seolah-olah ini adalah amanat beliau yang terakhir.

Berkemungkinan beliau akan mengumumkan persaraannya, ataupun beliau akan memberitahu siapa penggantinya…

Pasti bukannya Anwar Ibrahim, ataupun mungkin beliau akan mengumumkan niatnya mahukan semua parti Melayu bergabung bawah satu parti melawan DAP.

7. Semua kebarangkalian ada kemungkinannya, dan tiada siapa tahu?

Melainkan hadir, melihat dan mendengar sendiri apa yang akan disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memegang jawatan tertinggi negara ini sampai dua kali dan menjadi PM paling tertua menjawatnya.

Semua ini adalah kerana kelebihan yang ada pada diri, sama ada beliau memperolehinya melalui strategi yang bersih atau kotor, beliau tetap ada kelebihannya daripada orang lain dalam hal ini.

8. Berbagai rencam asam garam telahpun berlaku, namun ada juga pahit manisnya yang terpaksa ditelan bersama.

Hari ini orang Melayu dijemput menghadiri konvensyen yang di atas namakan Maruah Orang Melayu, dan amatlah kurang sopannya jika kita menolak jemputan sopan ini tanpa alasan munasabah untuk mengatakan “tidak”, kerana itu bukanlah sifat orang Melayu. Khabarnya ada juga yang terhegeh-hegeh meminta kad jemputan…

9. Sementelah bagi yang mendapat kad jemputan hatta sehingga ada yang dijemput berbincang terlebih dahulu oleh penganjur bagi menjelaskan mengapa konvensyen ini diadakan, maka tidak patut dan kurang adab jika menolaknya.

Tetapi penganjur harus ingat risiko yang bakal dihadapi jika sejarah lama menghina Melayu berulang lagi… tidak mustahil ramai yang akan keluar meninggalkan dewan stadium jika Melayu dihina lagi dan suasana ini diharapkan tidak berlaku.

10. Kami orang Melayu akan turun dan hadir Kongres Maruah Melayu Tanah Aku ini bukan kerana kami lemah tetapi kerana kami mahu memaafkan dan mahukan penyatuan seluruh umat Melayu dilaksanakan oleh pemimpin Melayu dan tercapai matlamat Melayu bangkit kerana nusantara ini adalah milik bangsa Melayu.

Haji Rashidi @ Lebai Kampung

*(Artikel ini penulis tidak menulis bagi mewakili mana-mana parti atau NGOi tetapi atas kapasiti penulis sendiri -Lebai Kampung) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts