PENDIRIAN UMMAH BERKAITAN KONGRES MARUAH MELAYU

492
SHARES
2.7k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA GERAKAN PEMBELA UMMAH (UMMAH)

GERAKAN PEMBELA UMMAH (UMMAH) semenjak dari awal penubuhannya sangat prihatin terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu.

Atas dasar itu UMMAH telah meletakkan agenda utamanya untuk menyatukan orang Melayu dengan memberikan kesedaran terhadap peri pentingnya “kesatuan” dalam menghadapi tekanan-tekanan yang ada terhadap bangsa Melayu dan agama Islam serta negara.

Kongres Maruah Melayu, harus sedar bahawa orang Melayu kini rasa terpinggir dan terhina di buminya sendiri. Saban hari kenyataan dan polisi yang dibuat menampakkan orang Melayu semakin diketepikan.

Baik dari segi ekonomi, pendidikan, bahasa, malah institusi Raja juga tidak terlepas dari penghinaan. Lebih parah, agama Islam juga dihina manakala pemikiran-pemikiran sesat seperti liberalisme dan pluralisme semakin berleluasa.

UMMAH telah menganjurkan pelbagai wacana dan himpunan aman seperti Himpunan Tolak ICERD, Wacana STATUT ROM, Himpunan Bantah UEC, Wacana Daie dan Ulamak, Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional, semuanya itu bagi tujuan menyedarkan orang Melayu untuk mengenepikan perbezaan pandangan demi kemaslahatan bangsa dan agama.

Memahami ancaman yang semakin besar ini dan atas kesedaran peri pentingnya perpaduan dalam menangkis ancaman tersebut maka UMMAH menyokong dengan BERSYARAT program KONGRES MARUAH MELAYU yang akan diadakan pada 6 Oktober 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Sehubungan dengan itu, sokongan UMMAH secara bersyarat ini, menuntut perkara-perkara seperti berikut:-

i. “Penyatuan” adalah agenda UMMAH, oleh itu, mestilah dilaksanakan secara jujur, ikhlas dan telus dalam menyatukan orang Melayu dan bebas dari kepentingan peribadi;

ii. Penyatuan ini mestilah menyeluruh melibatkan semua pemimpin politik, NGO, alim-ulama dan pemimpin masyarakat Melayu;

iii. Penyatuan ini mestilah menolak sebarang kerjasama dengan DAP;

iv. Mempertahankan Islam dan hak istimewa orang Melayu sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu ekonomi, pendidikan, bahasa, Tanah Rizab Melayu dan Raja-raja Melayu.

UMMAH menegaskan KONGRES ini akan dapat mengumpulkan pemimpin-pemimpin Melayu seterusnya akan berjaya membentuk perpaduan yang lebih besar sehingga membentuk kerajaan majoriti orang Melayu Islam.

Sekian.

Aminuddin Yahaya

PENGERUSI UMMAH

3 Oktober 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts