MENYOKONG LANTIKAN DR. AZMAN SEBAGAI CEO SSM – PENGERUSI POWER

411
SHARES
2.4k
VIEWS

KENYATAAN AKHBAR PERTUBUHAN KESEJAHTERAAN DAN HAK RAKYAT (POWER)

Menyokong perlantikan Dr. Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Kami ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr. Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang baharu seperti diumumkan baru-baru ini.

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong integriti, kami menyokong penuh pelantikan beliau, yang dilihat terbaik atas asas kelayakan, kewibawaan dan pengalamannya.

Dr. Azman adalah pemegang ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan dan Ijazah Masters dalam bidang Fizik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ICT dan latihan.

Dr. Azman juga adalah penulis maha karya yang menjadi rujukan ramai iaitu buku “Prophet Muhammad: The Hallmark of Leadership”, di mana beliau mengupas dengan jelas sifat-sifat kepimpinan Nabi Muhammad. Maka, besarlah harapan agar beliau dapat menerapkan segala ilmu kepimpinan ini dalam membawa SSM ke mercu kegemilangan.

Kami berpendapat bahawa pelantikan ini tepat pada masanya bagi menangani situasi masa kini tatkala SSM terbelenggu dengan isu salah guna kuasa dan rasuah jutaan ringgit
yang melibatkan pegawai kanannya.

Atas kepentingan yang mendesak demi SSM, rakyat dan negara, kami yakin Dr. Azman akan memberi keutamaan dalam isu tersebut bagi mendokong integriti. Ini menuntut langkah-langkah pembersihan dan pembetulan seawal mungkin sebelum gejala rasuah dan salah guna kuasa dikhuatiri menjadi barah di SSM.

Dalam hubungan ini, kami mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) kerana telah berjaya membongkar gejala rasuah dan salah guna kuasa di SSM. Walaupun siasatan telah berlarutan hampir setahun dan status siasatannya kini menjadi tanda tanya, kami percaya SPRM akan dapat menyelesaikan kes tersebut dan mengheret sesiapa sahaja yang terbabit ke muka pengadilan. 

Rakyat dan rata-rata kakitangan SSM menanti tindakan seterusnya dengan prinsip keadilan “justice must not only be done, but must be seen to be done”.

Cabaran menanti Dr Azman dalam memulihkan imej SSM cukup besar. Ini meliputi langkah memperbaiki tatacara SSM dari segi tadbir urus (governance), kebertanggungjawaban dan integriti supaya lebih ke hadapan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa serta mengelak berlakunya ketirisan wang rakyat.

Antara lain usaha tersebut boleh diambil melalui jalinan kerjasama dengan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kami percaya Dr. Azman juga akan memberi penekanan kepada usaha memulihkan moral warga kerja SSM ekoran kes siasatan rasuah, yang disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Apapun kami mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana komited untuk memulihkan imej SSM dan mengambil keputusan tepat dengan pelantikan Dr. Azman.

Yang benar,

S. Gobi Krishnan

Pengerusi POWER

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts