AJARAN ISLAM DALAM KONTEKS PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

461
SHARES
2.4k
VIEWS

Kedudukan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi

Penasihat Gabungan Mi’raj dan Penasihat Undang-Undang UniMAP

Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Dalam peruntukan yang sama, iaitu Perkara 3 dinyatakan seperti berikut:

1. Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, juga negeri baginda sendiri.

2. Raja-raja Melayu ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda masing-masing; tertakluk pada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh.

3. Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan dan memiliki bidang kuasa yang diberikan oleh Majlis Raja-Raja untuk mewakili Raja-raja Melayu dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara menyentuh agama Islam.

4. Suatu Majlis boleh ditubuhkan oleh Parlimen untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam dan Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.

Majlis yang dimaksud di atas bagi Wilayah Persekutuan ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Dari sudut undang-undang, Parlimen telah menggubal Akta-akta untuk mengawal selia hal ehwal agama Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan, antaranya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk menjawab isu pandangan ulama atau mazhab yang diterima pakai dalam pentafsiran ajaran Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 perlu dibaca bersama-sama dengan undang-undang yang diperbuat oleh Parlimen bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.

Seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan, “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini”.

Dalam Akta yang sama diperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak untuk membantu seorang Mufti. Pandangan para ulama dalam ajaran Islam tidak dinafikan berbeza dalam perkara-perkara tertentu, termasuklah penta’akulan sumber perundangan. Walaubagaimanapun perbezaan itu dapat diuruskan melalui kaedah fatwa.

Dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, fatwa ditakrifkan di bawah Subseksyen 39(1) iaitu mengikut pada lazimnya pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie. Subseksyen 39(2) membenarkan pemakaian qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali jika qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan berlawanan dengan ketenteraman awam.

Fatwa ialah pandangan Mufti atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan hukum Syarak. Suatu pandangan Mufti dianggap sebagai fatwa sekiranya diwartakan menurut Subseksyen 34(1).

Pandangan seorang Mufti atau keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak sebelum boleh diwartakan akan melalui proses tertentu termasuklah pertimbangan dalam mesyuarat MAIWP. Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah dalam Wilayah-wilayah Persekutuan sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, hukum syarak ditakrifkan mengikut Mazhab Syafie, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali. Begitu juga di bawah Enakmen Negeri terdapat tafsiran ajaran Islam yang diterima. Secara jelas, ajaran Islam berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan watan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Hal ini kerana Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi Sabah dan Sarawak, selain Negeri-negeri yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan ajaran Islam menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah mempunyai legitimasi di sisi Perlembagaan Persekutuan seperti dihuraikan di atas. Kedudukan yang sama juga dimaktubkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti Kedah dan Perlis. Manakala, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri-negeri lain menetap ajaran Islam yang sudah menjadi amalan sedia ada sebagai pegangan yang sah.

Sedia maklum, Islam juga merupakan agama bagi Negeri-negeri di dalam Persekutuan, hanya Sarawak sahaja yang tidak memperuntukkannya dalam Perlembagaannya. Namun begitu Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Negeri dan peranan sebuah Majlis untuk menasihati baginda dalam hal ehwal agama Islam.

Keterangan-keterangan di atas jelas menunjukkan ajaran Islam menurut pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan kes Mahkamah Agung dalam Mustak Ahmed bin Dato Haji Abdul Rahim Gulam Rasool Shaik [1987]2 MLJ 449 mengesahkan kedudukan mazhab yang diterima dalam ajaran Islam di Malaysia, iaitu Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Ringkasnya, ajaran Islam di Malaysia ialah menurut fahaman Ahlul Sunnah Wal Jama’ah dalam empat mazhab yang dinyatakan di atas. Sekiranya ada kekhilafan dalam pentafsiran ajaran sebenar agama Islam di Malaysia, undang-undang Persekutuan dan Negeri-negeri menetapkan fatwa sebagai rujukan berwibawa untuk mengadilinya.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts