ZURAIDA MAHU RAMAI ORANG KAYA CHINA DAN HONG KONG MILIKI RUMAH DI MALAYSIA

140
SHARES
301
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Semalam Menteri Perumahan Zuraida Kamarudin berkata dasar dan kempen kerajaan untuk menjual rumah kepada rakyat asing termasuk dari China dan Hong Kong akan membantu memulihkan ekonomi negara.

Saya tidak pasti di mana Zuraida ini belajar ekonomi. Saya rasa dia tidak tahu apa yang dia buat.

Jual rumah bukan macam jual buah, YB.

Hal jual rumah ini bukan boleh kita buat asal boleh habiskan stok sahaja, kerana tanah adalah terhad.

Terdapat dua kesan utama dasar Zuraida ini:

PERTAMA, apabila kerajaan berkempen dan membuka untuk menjual rumah kos sederhana dan tinggi kepada warga asing, ini akan meningkatkan harga rumah di Malaysia untuk penduduk tempatan.

Rumah-rumah yang sedia adapun sudah mahal dan tidak mampu untuk dibeli oleh rakyat tempatan sebab itu banyak yang tidak terjual.

Dengan dasar baru Zuraida ini, maka harga rumah-rumah baru yang dibina akan menjadi lebih mahal sebab pemaju tahu jika mereka tidak boleh jual kepada rakyat tempatan kerajaan akan benarkan pemaju untuk jual kepada rakyat asing yang lebih berkemampuan.

Warga asing yang membeli rumah di luar negeri seperti Malaysia tentunya adalah orang-orang kaya yang terlebih mampu.

Dan dengan nilai ringgit yang rendah sekarang dan tukaran mata wang asing yang menyebelahi warga asing, tentunya warga-warga asing ini akan lebih mampu daripada rakyat tempatan untuk membeli rumah di Malaysia, lantas menaikkan lagi harga rumah-rumah di sini.

Apabila harga rumah naik, harga premis-premis perniagaan juga akan naik.

Sebab premis-premis perniagaan ini dibina oleh pemaju yang sama di sekitar kawasan perumahan yang dimajukan oleh mereka oleh itu harga premis pernigaan akan mengikut harga rumah yang ditentukan oleh mereka.

Bila harga premis perniagaan naik, maka harga barangpun akan naik.

Harga rumah dan barangan yang melambung tinggi akan menerukkan masalah kos sara hidup rakyat.

……..

KEDUA, dasar Zuraida dan kerajaan PH ini akan menggalakkan lagi pemaju untuk membina perumahan kos tinggi atau sederhana tinggi namun tidak mempedulikan perumahan kos rendah untuk rakyat.

Akibatnya kebanyakan rakyat yang berpendapatan rendah tidak akan mampu membeli dan mempunyai rumah sendiri.

Ini akan menerukkan lagi keadaan rumah “mampu tengok” di Malaysia.

Sejak bertahun-tahun lepas saya selalu bawa isu perumahan ini terutama di negeri Selangor.

Apabila kerajaan Pakatan mengambil alih negeri Selangor pada tahun 2008, mereka telah menaikkan cukai dan premium tanah untuk pembangunan.

Dan untuk meningkatkan hasil, Kerajaan Pakatan negeri Selangor juga lebih berminat untuk meluluskan projek-projek perumahan kos tinggi dan sederhana tinggi di Selangor kerana ini akan membolehkan kerajaan negeri mengutip lebih banyak hasil dari cukai dan premium tanah.

Nasib baik ketika itu Kerajaan Persekutuan BN di bawah Dato’ Seri Najib Razak melaksanakan dasar perumahan kos rendah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Namun tidak banyak projek-projek PR1MA di Selangor kerana kerajaan negeri di bawah PH pada ketika itu tidak berminat untuk memajukan perumahan-perumahan kos rendah oleh sebab-sebab di atas.

Kini apabila PH memerintah di peringkat Persekutuan dan juga negeri, mereka meneruskan lagi dasar perumahan orang kaya mereka yang tidak mempedulikan rakyat berpendapatan rendah seperti yang mereka lakukan di Selangor dahulu.

Dan kini mereka (PH) berkempen pula untuk pemilikan rumah warga asing yang kaya.

Apabila banyak rumah tidak terjual di kala keadaan ekonomi merudum kini, sepatutnya kerajaan memujuk atau memaksa-pujuk pemaju supaya turunkan harga rumah supaya rakyat tempatan mampu beli, bukan berkempen dan membuat dasar untuk warga asing yang kaya membeli rumah tempatan dan akibatnya menaikkan lagi harga rumah yang tidak mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

Namun inilah dasar Kerajaan PH, yang umpama kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan.

Akhirnya di bawah PH ini lambat laun  akan tiada lagi rumah mampu milik di Malaysia, yang ada adalah rumah mampus nak milik. 

KERAJAAN PH DAN MENTERI PERUMAHAN ZURAIDA MAHU RAMAI ORANG KAYA CHINA DAN HONG KONG MILIKI RUMAH DI MALAYSIAOleh:…

Posted by Isham Jalil on Tuesday, September 17, 2019

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend