ISLAM AGAMA PERSEKUTUAN DIMENGERTI SEBAGAI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

595
SHARES
2.6k
VIEWS

Merujuk kepada serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sambutan majlis Asyura di Gombak yang menyaksikan 23 orang ditangkap, MUAFAKAT ingin menjawab bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus yang menyatakan bahawa perkataannya ‘Islam’ pada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakannya sebagai ‘Islam Sunni’ atau ‘Islam Syiah’, ia hanya disebut ‘Islam’. harus ditafsirkan oleh mahkamah agung (untuk mengatakan) apa yang dimaksudkan dengan ‘Islam’.

MUAFAKAT ingin mengingatkan bekas hakim bahawa Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara memberi kuasa kepada negeri-negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) untuk mengurus dan mentadbir hal ehwal agama Islam (Jadual Kesembilan, Senarai I (Butiran 4k) dan Senarai II Senarai Negeri (Butiran 1). Ini sesuai dengan kedudukan Sultan-sultan sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang beraja, dan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) bagi negeri-negeri yang tidak beraja (Perkara 42 (10)).

Justeru, Majlis Agama Islam ditubuhkan di setiap negeri bagi membantu dan menasihati YDPA dan Sultan-sultan dalam semua perkara berkaitan agama Islam. Bagi memastikan institusi ini berfungsi dengan baik, kerajaan negeri mengasingkan pentadbiran Majlis Agama Islam/ Jabatan Agama Islam/ Mahkamah Syariah/ Jabatan Mufti.

Bagi maksud ini, setiap enakmen negeri memperuntukkan satu peruntukan khusus bagi jawatan Mufti dan Timbalan Mufti (tidak semua negeri) menguruskan hal ehwal fatwa di negeri-negeri (sebagai contohnya Seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003).

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Manakala tafsiran ‘Islam’ dalam perlembagaan telah diperincikan lagi menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah antara lain juga telah menetapkan keputusan seperti berikut:

a) Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

b) Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunah Wal-Jamaah dari segi Akidah, Syariah dan Akhlak.

Sebagai tambahan, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang juga bersidang pada 5 Mei 1996 telah memutuskan bahawa:

a) Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Akidah, Syariah dan Akhlak.

b) Memperakukan pindaan kepada semua Undang-undang Negeri yang berhubung dengan hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif “Hukum Syarak” atau “Undang-undang Islam” seperti berikut:

“Hukum syarak” atau “Undang-undang Islam” ertinya Undang-undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Akidah, syariah dan Akhlak”

c) Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-undang Islam; dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jemaah adalah dilarang.

d) Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada Undang-undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.

e) Menetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Jadi segala usaha untuk membawa masuk fahaman dan pemikiran yang bertentangan dengan keputusan fatwa ini telah disekat melalui pengeluaran fatwa yang mengharamkannya mengikut negeri.

Ini diperkuatkan apabila Jawatankuasa Fatwa kerajaan negeri Selangor telah mewartakan fatwa Sighah Berkaitan Ajaran Syiah di Negeri Selangor pada 17 Oktober 2013. Secara ringkas fatwa tersebut menyatakan mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang atau menjadi pengikut ajaran Syiah dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

MUAFAKAT ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor kerana menguatkuasakan fatwa tersebut. Malah, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah menekankan bahawa serbuan yang dilakukan oleh JAIS ke atas penganut ajaran Syiah adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Merujuk kepada pendapat bekas Hakim bahawa Islam harus ditafsirkan oleh Mahkamah Agung (untuk mengatakan) apa yang dimaksudkan dengan ‘Islam’. MUAFAKAT ingin menarik perhatian kepada permohonan semakan kehakiman oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang telah ditolak MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan ini kerana berdasarkan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan isu tersebut sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah.

Oleh itu, sekiranya cabaran terhadap fatwa sighah Syiah ini hendak dibuat, maka ianya hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah.

MUAFAKAT melihat kenyataan Hishamuddin Yunus yang juga seorang ahli G25 sebagai merbahaya dan suatu cabaran kepada institusi fatwa dan merendahkan kedudukan Mahkamah Syariah. Ia juga seolah-olah satu cubaan untuk menafsir perkataan Islam secara terbuka dan relatif.

Jika berjaya, seperti suatu ‘floodgate‘, ia akan menyebabkan banyak ajaran-ajaran sesat dan bidaah akan dihalalkan hanya dengan mentakrifkannya sebagai suatu fahaman dan perbuatan dengan nama Islam.

MUAFAKAT juga menuntut penjelasan Y.Bhg Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh sebagai salah seorang Pesuruhjaya Muslim di dalam SUHAKAM berkenaan hal tersebut.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts