PROVOKASI POLITIK YANG MEMAKAN DIRI SENDIRI

608
SHARES
3.3k
VIEWS

1. Kenyataan spontan yang dibuat oleh Naib Pengerusi UMMAH semalam, Haji Rashidi Bin Haris semasa Sidang Media UMMAH mengenai Kempen Beli Produk Muslim dengan mengucapkan terima kasih beliau terhadap pemimpin Pakatan Harapan yang secara tidak langsung banyak membantu mempromosikan kempen tersebut ternyata mendapat respon positif dari orang ramai, termasuk dari blogger terkenal Raja Petra Kamarudin apabila beliau juga menyebut perkara yang hampir sama dalam laman Malaysia Today: https://www.malaysia-today.net/2019/09/03/pakatan-harapan-lancar-kempen-boikot-perniagaan-cina/

2. Kempen yang pada mulanya hambar menurut Haji Rashidi, bertukar menjadi meriah dan segalanya bermula dengan kenyataan bersifat seperti provokasi oleh Menteri Pembangunan Usahawan, apabila beliau sendiri yang memulakan perkataan “boikot” dalam kenyataannya yang keluar di akhbar Utusan Online pada 29 Ogos 2019 “Boikot Produk Bukan Islam Tidak Konstruktif”.

Ternyata kenyataan beliau itu telah memakan dirinya sendiri dan juga terhadap para Menteri Pakatan Harapan lain yang turut membuat kenyataan-kenyataan bercanggah dengan apa yang pada asalnya diperjuangkan oleh NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), sehingga mereka turut terjebak sama dalam persepsi meleset daripada fakta yang sebenar.

3. Akibatnya, “Kempen Beli Produk Muslim” yang dilancarkan pada 2 April di Menara KL antara UMMAH dengan PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) yang pada awalnya bermula bagai tiada sambutan kerana menghadapi masalah teknikal dan hampir-hampir tergendala, terpaksa pula dilancar bagi kali kedua bersama dengan Kohilal (syarikat koperasi) dan Abata (yang mengendalikan application system) sebagai usaha bangkit kembali mempromosikannya, kerana tujuannya hendak membantu orang Melayu Islam dalam dunia perniagaan dengan produk halal pada 23 Julai 2019.

Kini, tiba-tiba melonjak naik mendadak di luar jangkaan hingga mencapai satu tahap yang luar biasa sambutannya sebaik sahaja Menteri Pembangunan Usahawan membuat kenyataan tersebut.

4. Ini disusuli pula dengan kenyataan beberapa menteri PH yang silih berganti membuat kenyataan-kenyataan secara tidak langsung turut mempromosi dan memeriahkan kempen UMMAH dan sekaligus menjayakannya sehingga diketahui oleh masyarakat seluruh negara mengenai kempen yang mahu membantu usahawan Melayu bangkit menyaingi jutawan dari bangsa lain yang memang kita sekian maklum telah lama berjaya dalam dunia perniagaan ini. Tanpa usaha yang keras dan perbelanjaan yang banyak, UMMAH telah berjaya mencapai hasrat dan matlamat memperkenalkan kempen ini yang pada mulanya atau sebelumnya agak samar-samar diketahui oleh orang ramai ia sedang berjalan di dalam negara.

5. Antara kenyataan-kenyataan yang membantu mempromosi Kempen Beli Produk Muslim oleh para menteri PH adalah seperti berikut;

1. ‘Boikot Produk Bukan Islam Tidak Konstruktif”, akhbar Utusan tarikh 29 Ogos oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.
2. “Orang Cetek Fikiran Saja Mahu Boikot Produk Bukan Islam” dalam Astro Awani tarikh 30 Ogos oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
3. “Boikot Produk Bukan Bumiputera Tak Untungkan Sesiapa” Malaysiakini, 2 Sept oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
4. “Kempen Boikot Produk bukan Islam Tidak Waras” Sinar, 3 Sept oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
5. “Kempen Boikot Produk Bukan Islam Tak Sihat” Malaysiakini, tarikh 3 Sept, oleh ‘PM in Waiting‘, Dato Seri Anwar Ibrahim.

6. Mengimbas kembali pelancaran pertama “Kempen Beli Produk Muslim” oleh UMMAH bersama PPIM, pada 2 April di Menara KL, ternyata tidak ada provokasi untuk memboikot produk bukan Muslim, ini boleh didapati dari laman rasmi PPIM sendiri seperti rujuk an berikut:
https://www.ppim.org.my/ummah-ppim-lancar-kempen-beli-produk-muslim-di-seluruh-negara-ismaweb-2419/

7. Begitu juga pada pelancaran bagi kali kedua “Kempen Beli Produk Muslim” yang diadakan di antara UMMAH bersama KOHILAL (sebuah syarikat koperasi) dan ABATA (syarikat yang akan menyediakan application system jual beli produk) yang diadakan di Hotel Putra, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2019, juga tidak menyebut langsung tentang memboikot produk bukan Islam dan ini boleh didapati dalam laman rasmi Kohilal, rujukannya: http://kohilal.net/kempen-beli-produk-muslim/

8. Melihat pada senario sepanjang kempen tersebut, ternyata tidak ada langsung kenyataan yang dibuat yang menyentuh perkara MEMBOIKOT PRODUK BUKAN ISLAM atau bukan Melayu, ia hanyalah khayalan menteri terbabit sahaja. Perkara “boikot” tidak timbul langsung sehinggalah selepas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan kemudiannya disusuli pula oleh menteri-menteri Pakatan Harapan yang lain yang seolah-olah ingin turut serta dalam “mileage” untuk mendapatkan perhatian dari pemimpin tertentu … berkemungkinan dari DAP, yang kononnya mereka juga tidak ketinggalan mempertahankan kepentingan golongan kiasu ini sebagaimana mereka ini dilabelkan oleh Prof. Dr. Ridhuan Tee, yang sepatutnya mereka terlebih dahulu menyelidiki titik tolaknya akan asal maksud dan tujuan kempen tersebut.

9. Kita tertanya-tanya selama ini adakah orang Melayu memboikot produk bukan Islam? Padahal, setiap kali tibanya musim perayaan Tahun Baru Cina, orang Melayulah antara yang paling ramai membeli dan melariskan limau mandarin.

Tidak dinafikan kebelakangan ini kita juga sering kali dapat lihat tularan melalui media Whatsapp atau Facebook yang memaparkan begitu banyak sekali produk-produk dari China seperti telur yang dipalsukan, sayuran yang diperbuat menggunakan bahan kimia yang merbahaya, ayam yang dicucuk dengan bahan menggemukkan dan dijual ketika masih pra-matang, serta berbagai tularan bahan-bahan dan produk-produk makanan yang diragui akan keasliannya, lebih menakutkan diragui kehalalannya?

10. Justeru, salahkah jika NGOi UMMAH mahu menyedarkan orang ramai akan bahaya produk-produk yang tidak pasti akan halal dan haramnya dan dalam masa yang sama membantu orang Melayu Islam maju dalam dunia perniagaan sebagaimana mengikut apa yang disarankan oleh Perdana Menteri sendiri, Tun Mahathir Mohamad yang mahukan orang Melayu berdikari dan menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan.

Peliknya, apabila orang Melayu mula berniaga muncul pula orang Melayu sendiri yang menghalangnya. Percanggahan ini amat mengelirukan kami dari NGOi UMMAH yang selama ini bersungguh-sungguh mahu membantu orang Melayu supaya maju dalam dunia perniagaan.

“Macamana kita hendak membantu orang Melayu jika kita dilarang membeli produk orang Melayu, dan seolah-olah dipaksa membeli produk bukan Melayu.?” Kata Haji Rashidi Bin Haris, Naib Pengerusi UMMAH mengakhiri rasa tidak puas hatinya apabila ada pihak orang Melayu sendiri yang membuat kenyataan memanipulasi kempen yang bertujuan hendak membantu orang Melayu maju dalam perniagaan, menjadi kempen orang Melayu memboikot produk bukan Melayu.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts