ADIL DALAM PEMANTAUAN TANPA ‘MENGIRA BULU’

462
SHARES
2.5k
VIEWS

MUAFAKAT menyokong penuh saranan TPM Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada kenyataan beliau dalam akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini bahawa kerajaan mahu memastikan bekas pesalah pedofilia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 27 tahun, menjalani program pemulihan bagi memastikan beliau telah pulih sepenuhnya daripada penyakit mentalnya itu.

2. Pelajar Nur Fitri Azmeer Nordin, pernah ditahan, dibicarakan, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun oleh pihak berkuasa London sabit atas kesalahan memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah kategori B dan C.

3. Kini pada usia 27 tahun beliau sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di UKM Bangi, Selangor. Sebelumnya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, seterusnya melanjutkan pelajarannya dalam jurusan Matematik di Imperial College di London setelah mendapat biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tahun 2011, beliau pernah bertanding dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam.

4. Ini jelas menunjukkan jika budak secerdik inipun tidak dapat lari daripada terjebak dalam dunia kemaksiatan, maka sudah tentu tidak terkecuali yang kurang cerdik. Tambah lagi mereka yang berkedudukan tinggi atau tokoh pada mata masyarakat, tidak mustahil ada di antara mereka boleh terjebak dan terlibat sama dalam kancah kemaksiatan. Inilah realiti hari ini, kita dapat melihat dengan mata kepala sendiri ada kalangan menteri atau wakil rakyat yang terlibat sama.

5. Malahan ada juga yang telah disabitkan dengan kesalahan seksual sama ada normal atau abnormal, dan telah menjalani hukuman, namun tetap pada bila-bila masa ia boleh kembali semula ketagihan mengerjakan maksiat tersebut. Justeru, pemantauan dan pemulihan sangat diperlukan tanpa mengira bulu dan siapa orang itu.

6. Siapa sahaja tanpa terkecuali menteri atau bekas menteri, atau orang awam yang pernah atau ada track record jenayah seksual haruslah dipantau dan diawasi selalu. Ini bertujuan bagi menyelamatkan masyarakat yang tidak bersalah daripada menjadi mangsa manusia tidak sihat ini, yang ada masalah mental khususnya dalam kes pedofilia dan hubungan seks tidak normal.

7. Sehubungan dengan itu, menarik juga pandangan dari Syed Azmi berkaitan penyakit pedofilia, dia berkata:

“Sejujurnya, setelah bertahun-tahun sekalipun, saya harap dia tidak perlu bekerja dengan mana-mana kanak-kanak atau mendekati mereka sekalipun….”

8. Beliau menyebut lagi:

“Orang awam dan ibubapa ada hak untuk mengelakkan “dia” daripada mendekati sesuatu kawasan. Tetapi untuk melabelkan “DIA AKAN MENYAKITI ANAK ANDA” di khalayak ramai dan menimbulkan ketakutan kepada orang lain adalah bukan caranya.” Dalam ertikata lain kita tidaklah sampai menghukum pelaku yang sabit dengan kesalahan itu dengan menggantungkan ayat sedemikian di lehernya.

9. Kesimpulannya, MUAFAKAT menyokong penuh saranan DS Wan Azizah mengenai pemantauan atau menjalani pemulihan, kerana kebiasaannya pesalah akan mengulangi perbuatan yang telah sebati dalam nalurinya dan ketagihan membuatkan ia tidak mustahil berulang.

10. Bak kata pepatah; “To Prevent Is Better Than Cure”. Dan kena pada tempatnya, pemantauan lebih baik daripada husnuzzon tetapi dalam diam-diam ianya merebak.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts