KEWAJARAN BAHASA LAIN SEPERTI MANDARIN DAN TAMIL DITULIS DALAM RUMI, SATU PERSOALAN?

500
SHARES
2.6k
VIEWS

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi

Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Perlis merangkap Pengerusi Mi’raj

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan Bahasa Melayu ialah bahasa Kebangsaan. Bagi maksud bahasa Kebangsaan, tulisan rasminya ialah rumi tanpa menjejaskan penggunaan tulisan Jawi.

Bahasa Melayu dan tulisan Jawi termasuk warisan bangsa Persekutuan Tanah Melayu yang dijamin dan menjadi struktur asas kenegaraan MALAYSIA kerana peruntukannya merupakan salah satu syarat dalam Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Dari sudut sejarah, tulisan Jawi ialah tulisan bangsa bertamadun kerana wujudnya Alam Melayu dan Laut Melayu serta bahasa Melayu sebagai lingua franca. Kepentingan bahasa Melayu bertulisan Jawi di Kota Melaka dan negara-negara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kesultanan Melayu Melaka ketika itu dalam aspek politik, ekonomi dan sosial tidak boleh dinafikan atau cuba diabaikan dalam pembinaan negara-bangsa di bumi ini.

Kedudukan di atas jelas dan menjadi salah satu tanggungjawap keperlembagaan (constitutional obligation) iaitu prinsip undang-undang yang mesti dipelihara, dilindungi dan dipertahankan oleh setiap Raja, ahli pentadbiran negara, ahli pentadbiran negeri, Ahli Parlimen, Ahli DUN, ahli badan Kehakiman, angota perkhidmatan awam, anggota perkhidmatan sivil, anggota perkhidmatan badan berkanun, swasta dan setiap warga Malaysia.

Sekiranya ada pihak yang ingin mencabar kedudukan di atas, mereka perlu bertanyakan diri mereka kepada siapa dan prinsip mana bertunjangnya ketaatan mereka?

Kepada mereka yang ingin menganjurkan kelestarian bahasa ibunda masing-masing selain bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara, adakah mereka setuju tulisan bahasa ibunda mereka diwajibkan dalam rumi? Hal ini kerana bahasa Mandarin dan Tamil juga dipelajari oleh kaum-kaum lain selain keturunan Cina dan India.

Adakah mereka mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menolak jika kerajaan mengenakan tulisan rumi bagi bahasa ibunda mereka dalam keadaan yang sama mereka mempertikai tulisan Jawi?

Dalam konteks di atas, inisiatif mahupun dasar pengembangan tulisan Jawi mahupun khat yang ingin dilaksanakan oleh YB Dr Mazlee Malik di mana-mana peringkat dalam sistem pendidikan negara tidak wajar dipertikai.

Sebaliknya semua pihak yang mengaku setia kepada negara dan cintakan aspirasi perpaduan nasional perlu bersatu menyokong pelaksanaan dasar-dasar kementerian yang selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts