PERKASA SOKONG USUL PINDAAN ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM SELANGOR

369
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. Perkasa merujuk kepada laporan Malaysiakini yang bertajuk “Usul Pinda Enakmen Islam Mungkin Cuba Dibentang Lagi” yang ditulis oleh Alyaa Alhadjri dan “Adakah ayat Surah Yunus halang anak peluk Islam sepihak?” bertarikh 9 Ogos 2019 yang ditulis oleh Datuk Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Datuk Zainul memberikan maklumbalas kepada sebuah artikel Malaysiakini semalam bertajuk “Apex Court Ruling Would Nullify Selangor Unilateral Conversion Bill – Lawyers” yang disiarkan dalam bahasa Inggeris sahaja.

2. PERKASA memberikan tafsiran dalam Undang-undang Persekutuan bahawa penukaran agama anak-anak di bawah umur memerlukan persetujuan “parent” iaitu bapa dan bukannya dari kedua-dua ayah dan ibu.

PERKASA ingin memberikan penekanan kepada perkara ini kerana bapa adalah ketua keluarga dan bahkan pembuat keputusan keluarga. Hal ini juga diajarkan dalam Islam bahawa lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita. Walaupun demikian, tidaklah salah seorang bapa berbincang dan berunding terlebih dahulu dengan si ibu sebelum membuat sebarang keputusan yang muktamad.

Islam kita juga adalah Islam keturunan. Kita menjadi Islam kerana nenek moyang kita beragama Islam. Kita bersyukur kepada Allah SWT. kerana nenek moyang kita diberikan hidayah oleh Allah SWT. Ketika itu, nenek moyang (sama ada ibu atau ayah) kita memastikan anak cucu cicitnya pastinya berada dalam keislaman.

Tidak timbul konflik dalam penentuan agama si anak. Tidak timbul soal mendapat persetujuan “parent”. Tetapi kita pada zaman sekarang sibuk memastikan agama si anak dengan memberikan berbagai tafsiran kepada maksud “parent” dan cuba pula mengalihkan agama anak yang sepatutnya Islam kepada agama selain Islam.

Bukankah ini satu perkara yang pelik? Di manakah pejuang-pejuang Islam apabila ada pihak yang berusaha kuat untuk memastikan anak-anak terpesong daripada agama Islam?

3. PERKASA juga berpandangan, oleh kerana kuasa berada pada bapa, maka seorang bapa perlu memastikan agama anaknya adalah Islam kecuali jika anaknya berkehendak kepada agama lain. Maka tanggungjawab bapa adalah memberikan didikan agama yang betul kepada anak-anak untuk mengelakkan si anak daripada terpesong.

Oleh yang demikian, apabila Dewan Undangan Negeri Selangor ingin meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang menyatakan seseorang yang berusia kurang daripada 18 tahun mesti mendapatkan kebenaran “ibu dan bapa” sebelum boleh memeluk Islam kepada kebenaran “ibu atau bapa” sebelum boleh memeluk Islam, ia telah menimbulkan polemik.

4. Setakat hari ini, cadangan untuk meminda enakmen ini telah ditangguhkan oleh kerajaan Selangor kerana DAP secara bersungguh-sungguh telah membantah cadangan pindaan tersebut.

Apa agenda DAP sebenarnya membantah cadangan pindaan enakmen tersebut? Kenapa DAP sering campur tangan dalam urusan hal ehwal Islam dan umat Islam? Apakah mereka mempunyai kepentingan dalam perkara ini?

5. Firman Allah SWT. yang bermaksud:

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya) dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya)” (Surah Yunus 99-100).

Sebenarnya, ayat 99 hingga 100 surah Yunus mengemukakan falsafah keimanan dan hidayah Allah SWT:

i. Pertama, bukanlah tanggungjawab Nabi Muhammad SAW. menjadikan seluruh umat manusia beriman iaitu bukan satu kepastian semua manusia di muka bumi ini menjadi Islam kecuali dengan izin Allah SWT.

ii. Kedua, jika Allah menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Tetapi Allah tidak menjadikan sedemikian kerana Allah mahu manusia menggunakan minda dan inteleknya untuk berfikir dalam konteks beriman dengan Allah SWT.

iii. Ketiga, Nabi Muhammad SAW dinasihatkan jangan bersedih tentang kedegilan orang-orang kafir yang menolak dan tidak mahu menerima Islam apatah lagi kalau Allah SWT tidak mengkehendaki.

iv. Tiada paksaan untuk berdakwah kepada manusia dalam memeluk agama Islam.

v. Keimanan seseorang hanya dengan izin Allah SWT. Jika tiada izin Allah, ianya tidak akan berlaku.

vi. Azab Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang tidak mahu memahami perintah-perintah Allah SWT.

Berdasarkan ayat-ayat ini, soal iman dan kufur diserahkan kepada seseorang yang telah akil baligh. Orang Islam perlu mempertahankan dan memelihara akidah orang Islam yang lain. Ini termasuk di bawah salah satu prinsip Maqasid Al-Syariah iaitu memelihara agama atau akidah.

Jika kita membiarkan akidah orang Islam tergelincir, maka kita termasuk dalam golongan yang tidak ambil endah akan keimanan rakan-rakan kita yang lain yang pastinya menatijahkan perkara negatif di akhirat kelak.

Apa yang penting, mesti ada usaha dan inisiatif daripada pihak kita untuk menjaga dan memelihara akidah. Maka soal penentuan agama ini adalah salah satu perjuangan agama yang murni.

Dr. Amini Amir Abdullah

Naib Presiden PERKASA

Merangkap Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim)

Serta Ahli Dewan Tertinggi (ADT) PERKASA

9 Ogos 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts