BILA JHO LOW AKAN DIBAWA BALIK KE MALAYSIA UNTUK MEMBANTU TOMMY THOMAS?

230
SHARES
414
VIEWS

Kerajaan Pakatan Harapan sangat terdesak dalam perbicaraan kes melibatkan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak apabila saksi-saksi yang didatangkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas setakat ini dilihat gagal menyabitkan bekas Perdana Menteri tersebut.

Malah senario semakin berubah dan menekan pihak kerajaan khususnya Peguam Negara apabila saksi-saksi mula disoal balas oleh pihak peguambela.

Antara yang terdedah bermula dengan pembinaan bagi pembaikan rumah Najib yang dibuat untuk keselesaan anak-anak tahfiz dan anggota polis yang bertugas, bukannya dibuat untuk bermewah-mewah malah jumlahnya juga di bawah 100 ribu ringgit.

Terdedah juga oleh saksi Peguam Negara sendiri iaitu Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Azlida Mazni Arshad yang memberitahu mahkamah bahawa KWAP tidak dipengaruhi oleh Najib atau pihak Kementerian Kewangan untuk meluluskan pinjaman dana ke SRC.

Kemudian terdedah pula saksi yang melarikan diri keluar negara iaitu salah seorang Pengarah SRC International Datuk Suboh Md. Yassin yang ditakut-takutkan oleh Nik Faisal Ariff Kamil agar melarikan diri keluar negara namun tidak menuruti Nik Faisal buat kali kedua sekembalinya dari pelarian pertamanya.

Manakala soalan balas terhadap Joanna Yu Ging Ping, salah seorang saksi yang memeranjatkan pihak pendakwaan sendiri apabila mengaku menerima dan mengikut arahan Jho Low untuk menyorokkan pelbagai transaksi daripada diketahui oleh pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Najib.

Beliau juga direkodkan oleh mahkamah mengakui membuat draf email bagi membantu Nik Faisal untuk dihantar ke Ambank, tempat di mana beliau bekerja sebagai Pengurus Perhubungan sebelum ini.

Juga terdedah di mahkamah apabila bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang, yang pernah mengendalikan proses pembukaan akaun semasa dan simpanan serta kad kredit Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau tidak pernah mempercayai Jho Low.

Kebanyakan saksi juga apabila disoal balas oleh pihak pembelaan mengakui Najib dan pihaknya ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal.

Maka di atas ketidakcekapan pihak pendakwaan mengendalikan kes ini, sewajarnya kerajaan Pakatan Harapan membantu beliau agar kes ini tidak berlanjutan dan membawa malu kepada pihak kerajaan.

Mereka wajar membawa balik Jho Low dan Nik Faisal secepat mungkin, yang tidak mungkin tidak boleh langsung ditemui dalam zaman serba canggih dan ledakan teknologi maklumat pada hari ini.

Bahkan melalui teknologi terkini, pengecaman wajah juga boleh dilakukan hanya melalui aplikasi telefon pintar sahaja.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Jho Low akan dibawa balik “tidak lama lagi”.

Beliau berkata demikian pada 22 Mei lepas namun sehingga kini Jho Low masih belum kelihatan selepas dua bulan berlalu.

Hamid juga seolah-olah memberi gambaran bahawa lebih lama masa diperlukan untuk membawa balik petualang negara ini apabila dipetik berkata;

“Tidak ada tempoh masa tetapi kes ini dah berlarutan, dah berkumandang sejak empat tahun lalu, jadi (tempoh) kalau saya cakap sebulan, dua bulan itu masih dikira pendek lagi (berbanding dengan empat tahun).”

Jika lagi lama masa yang diperlukan oleh kerajaan untuk membawa balik Jho Low ke Malaysia, hanya akan menambah ketidakpercayaan rakyat terhadap mereka yang telah berjanji bermacam-macam perkara sebelum ini, termasuk menyelesaikan kes 1MDB yang kononnya telah lengkap siasatannya pada tahun 2015.

Malah kononnya ketika itu telah tersedia surat dakwaan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, menunjukkan bahawa siasatan telahpun lengkap namun seolah-olah kes ini hanya mula disiasat apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Jika begitu, kenapa selama ini Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang, sejak seawal 2015 telah  menjalankan propaganda mencanangkan ke seluruh dunia mengenai penyelewengan 1MDB oleh Najib?

Di manakah semua bukti-bukti tersebut ketika ini dan kenapakah Pakatan Harapan membiarkan Tommy terkontang-kanting berjuang bersendirian bagi membuktikan Najib bersalah?

Semuanya akan terjawab apabila Jho Low berjaya dibawa balik kelak, atau beliau akan terus dibiarkan bebas jika ada ‘sesuatu’ yang ingin disorokkan oleh pihak kerajaan.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend