PAS TIDAK SENTIASA SUCI

351
SHARES
2.1k
VIEWS

Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Mokhtar Senik menulis dalam portal rasmi PAS iaitu Harakahdaily mengenai negara baharu yang sedang mengikut acuan yang dikehendaki oleh DAP. Beliau turut mengingatkan mengenai peringatan yang telah diberikan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang mengenai bahayanya jika Ahli Parlimen yang bukan Islam lebih ramai daripada Ahli Parlimen Islam. Beliau mengatakan peringatan Presiden Pas tersebut adalah bersumberkan peringatan Allah dalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW namun diperlekehkan.

Apa yang diperkatakan oleh beliau itu sewajarnya direnungi ramai hatta oleh orang PAS sendiri. Ini kerana UMNO sendiri sering mengingatkan mengenai perkara ini namun juga diperlekehkan oleh orang-orang PAS bahkan oleh pemimpin tertinggi mereka suatu ketika dahulu.

Sebenarnya PAS adalah penyumbang kepada negara baharu yang sedang mengikut acuan yang dikehendaki oleh DAP, sama ada PAS suka ataupun tidak dengan hakikat ini.

Adakah PAS terlupa mereka pernah berkawan baik dengan DAP demi untuk menumbangkan sebuah kerajaan iaitu Barisan Nasional yang majoriti Ahli Parlimennya adalah orang Islam?

Adakah PAS terlupa perjuangan mereka untuk menegakkan negara Islam sejak sekian lama dijenamakan kembali kepada perjuangan negara berkebajikan?

Semua itu dilakukan demi untuk menyesuaikan diri dengan acuan DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu sehinggakan tiba-tiba sahaja PAS menukar pendirian tersebut kerana kononnya dalam Al-Quran hanya menyebut mengenai negara berkebajikan dan bukannya negara Islam.

Tidakkah PAS juga lebih mengetahui bahawa menumbangkan pemerintah Islam itu haram dalam agama dan sepatutnya menasihati semua agar taat pemerintah walau dalam keadaan suka ataupun benci selagi pemerintah tersebut tidak mengajak kepada maksiat?

Tidakkah PAS juga lebih mengetahui mengenai peringatan tersebut adalah bersumberkan peringatan Allah dalam Al-Quran dan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW namun diperlekehkan? PAS tetap ghairah bertahaluf siyasi bersama DAP demi menumbangkan kerajaan.

Ironinya apabila PAS mula berbaik dengan UMNO barulah mereka seolah-olah tersedar dari lamunan dan berkata pula bahawa lebih baik kerajaan Islam yang membina masjid berbanding kerajaan bukan Islam sedangkan mereka telah diperingatkan sejak sekian lama.

Bukankah kemudiannya PAS difitnah menerima duit 90 juta ringgit daripada UMNO kononnya agar kedua-dua parti tersebut berbaik-baik sehinggakan ramai ahli PAS percaya dengan fitnah tersebut?

Lantas mereka mengundi Parti Amanah Nasional iaitu parti serpihan PAS sendiri yang diketuai oleh Mat Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS. Alhamdulillah PAS menang dalam saman di London untuk membuktikan mereka difitnah yang juga disiarkan dalam akhbar pro UMNO.

Jika sebegitu mudah PAS difitnah apabila menjalin hubungan baik dengan UMNO maka apakah PAS tidak boleh berfikir sebegitu mudah jugalah UMNO difitnah selama ini apabila menjalin hubungan baik dengan sesiapa sahaja kerana apabila menjadi kerajaan memang terbuka untuk difitnah dengan sebegitu mudah.

Kenapa setelah segalanya berlaku seperti yang dapat kita lihat pada hari ini, PAS masih menyalahkan semua orang kecuali mereka sendiri?

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts