AHLI PARTI MENOLAK UMNO NAMUN RAKYAT MASIH SETIA

18
SHARES
199
VIEWS

Pemimpin UMNO selepas ini wajar berhati-hati untuk membuat kenyataan menyalahkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ataupun parti kerana pengundi UMNO masih ramai dengan bukti kemenangan di 54 buah kerusi Parlimen, iaitu jumlah kerusi yang tertinggi di Dewan Rakyat. Walaupun jumlah tersebut tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan kerana tidak mendapat sokongan dari parti komponen yang lain, namun hakikatnya sokongan masih ada.

Ramai pemimpin UMNO yang bersikap pesimistik dan menyalahkan parti selain ada yang melompat parti dengan mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi sendiri. juga ada segelintir yang bertindak keluar parti seperti yang terkini oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal serta Tan Sri Syed Hamid Albar, yang jawatan terakhir beliau adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Tan Sri Syed Hamid Albar juga dikenali sebagai salah seorang ‘warlord‘ UMNO sejak zaman Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri keempat.

Begitu juga Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro yang secara tiba-tiba mengakui kesilapan beliau kerana terlalu wala’ dan setia kepada pucuk pimpinan sebelum ini. Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kerana gagal menegur kepimpinan dan meminta penjelasan tentang perkara yang ingin diketahui oleh rakyat sehingga mengakibatkan negara bertukar kerajaan.

Kenyataan beliau ini senada dengan calon Presiden iaitu Khairy Jamaluddin (KJ) yang sama dibuat hanya selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) yang boleh dipersoalkan kredibiliti mereka kerana sekiranya BN menang tentunya kenyataan kurang wajar sebegini tidak akan kedengaran.

Lebih malang, apabila beberapa parti komponen BN seperti Gerakan yang keluar menjadi pembangkang walaupun parti ini tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi. Manakala di Sarawak pula, gabungan pembangkang Sarawak keluar dari BN dan membentuk pakatan baharu yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).

Mereka mengisytiharkan masih kekal sebagai pembangkang namun GPS akan menjalin hubungan dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat terutama berkaitan dengan hal ehwal Sarawak.

Namun hakikatnya rakyat yang mengundi UMNO masih ramai. Ditambah dengan faktor selepas 52 hari Pakatan Harapan mengambilalih kerajaan, mereka masih belum membentuk kabinet dengan sempurna serta terdapat beberapa keputusan kerajaan yang membuatkan ramai yang mengundi Pakatan Harapan sendiri mengeluh ketika ini.

Seperti kutipan tol belum dimansuhkan, elemen kejutan tentang berapa peratuskah SST kelak yang akan menggantikan GST yang disifarkan ketika ini serta ‘janji minyak turun esok hari’ masih belum dilaksana.

Jika pemimpin atau ahli UMNO sendiri mengecam UMNO ketika ini, perkara ini akan membuatkan rakyat yang mula mengeluh kurang berkeyakinan UMNO akan berubah dan meragui hala tuju UMNO seterusnya. Perkara ini akan merugikan UMNO dalam keadaan sebahagian rakyat mula kecewa dan menyesal mengundi Pakatan Harapan apabila keadaan ini sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh UMNO untuk memenangi semula hati rakyat.

UMNO perlu belajar dari Pakatan Harapan yang walaupun sentiasa kalah dalam pilihanraya sebelum ini namun tidak menyalahkan pimpinan atau pakatan mereka sendiri sebaliknya konsisten menyalahkan parti lawan dan SPR.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend