TIGA PILIHAN AKAR UMBI JIKA UMNO DIHARAMKAN – ISHAM JALIL

419
SHARES
2.5k
VIEWS

Hari ini adalah hari jadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir. Tentunya ianya disambut dengan kehadiran taikun-taikun billionaire dan hadiah-hadiah yang mahal-mahal seperti tahun-tahun lepas.

Namun Dr. Mahathir semakin tidak senang duduk. Dia bingung memikirkan apa lagi hendak dibuat dengan UMNO.

Dalam perhimpunan partinya Bersatu di Johor minggu lepaspun beliau tidak habis-habis sebut pasal UMNO sehingga tersasul menyebut penyatuan UMNO dan bukannya Bersatu.

Sebelum Dr. Mahathir membubarkan Parlimen, dia perlu membubarkan UMNO dahulu. Untuk ini dia perlu mengharamkan UMNO.

Jika UMNO diharamkan, ahli-ahli UMNO mempunyai tiga pilihan:

PERTAMA, seperti yang Dr. Mahathir mahu, iaitu ahli-ahli UMNO boleh masuk Bersatu.

Namun terdapat beberapa komplikasi ke atas pilihan ini.

Adalah amat sukar untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dari luar UMNO, apakan lagi oleh Bersatu.

Bersatu tidak mempunyai kredibiliti di kalangan orang-orang Melayu di akar umbi.

Bersatu ialah parti Melayu yang kecil yang mempunyai masalah mengumpulkan ahli, malah untuk membuat mesyuarat cawangan pun tidak cukup korum.

Jika UMNO masuk Bersatu, ia umpama ular lidi menelan sawa, ini tidak masuk akal.

Antara sebab utama akar umbi Melayu tidak menerima Bersatu ialah kerana mereka dilihat sebagai pengkhianat yang bersekongkol dengan DAP dan tidak memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu.

Pada PRU-14 yang lepas, DAP hanya memerlukan 25% sokongan orang Melayu kepada PH untuk menang dan membentuk kerajaan.

Mereka telah menggunakan Dr. Mahathir dan Bersatu dan telah berjaya mendapat 25% sokongan orang-orang Melayu termasuk daripada askar dan polis.

Namun kini, dengan penyatuan UMNO dan PAS dan pertarungan satu lawan satu dalam PRU-15, PH dan DAP tahu mereka memerlukan lebih banyak sokongan orang Melayu iaitu sekurang-kurangnya 30% untuk menang dan mengekalkan kerajaan PH di Putrajaya.

Untuk ini mereka sekali lagi perlu menggunakan Dr. Mahathir.

Dan Mahathir lantas menyeru orang-orang Melayu dan UMNO supaya masuk Bersatu atas alasan kononnya untuk perpaduan Melayu.

Mahathir dan DAP tahu kebanyakan orang Melayu tidak akan percaya dengan helah mereka ini.

Kelmarin pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO iaitu Presiden Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Dato’ Seri Mohamad Hasan menyatakan pendirian menolak saranan Dr. Mahathir supaya UMNO masuk Bersatu.

Dato’ Seri Najib berkata Mahathir adalah punca orang-orang dan parti Melayu berpecah enam.

Apabila pemimpin-pemimpin UMNO dan orang-orang Melayu di akar umbi tidak mahu menerima Mahathir lagi, ia bukanlah bermakna kita ini sombong, namun ia bermakna orang-orang Melayu di pucuk pimpinan dan di akar umbi tidak bodoh dan tidak lagi mudah ditipu.

Namun PH tidak memerlukan kesemua orang Melayu dan UMNO untuk masuk Bersatu, hanya segelintir iaitu tambahan 5% sahaja untuk mencapai 30% sokongan Melayu kepada PH, cukup untuk DAP mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Jika dilihat prestasi Bersatu selepas PRU-14, ternyata bahawa tahap sokongan orang-orang Melayu dan anak-anak muda serta askar dan polis kepada PH bukannya bertambah namun semakin terhakis.

Di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, PH telah kalah dalam pilihanraya kecil dengan tahap sokongan Melayu yang merosot teruk.

Kini, sokongan orang-orang Melayu terhadap PH adalah di bawah 20%.

Jika keadaan ini berterusan, PH akan gagal mengekalkan kerajaan di Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang.

Mereka takut. Kini DAP mahu Dr. Mahathir dan Bersatu berusaha lebih keras untuk menarik sokongan Melayu, jika tidak, mereka akan jadi kerajaan sepenggal dan tiada lagi menteri DAP dalam kerajaan.

Bersatu masih bernyawa sebab Dr. Mahathir masih ada. Jika Mahathir bersara, Bersatu akan mati. Bersatu hanya boleh terus hidup jika orang UMNO masuk Bersatu.

UMNO tidak perlu beri nyawa kepada Bersatu yang telah mengkhianati UMNO dan memenangkan DAP.

Sekiranya Mahathir boleh mempermainkan Anwar dan menipu rakyat dengan manifesto pilihan raya, adakah masih ada lagi di antara kita yang masih naif dan masih percaya bahawa Mahathir tidak akan menipu kita pula?

Kita tidak perlu berunding dengan pemerintah kuku besi, kita perlu lawan pemerintah seperti ini (we do not negotiate with tyrants, we fight them).

Sebenarnya adalah lebih masuk akal jika orang Bersatu kembali ke pangkal jalan dan masuk balik ke dalam UMNO daripada orang UMNO masuk Bersatu.

KEDUA, ahli-ahli UMNO boleh masuk PAS jika UMNO diharamkan.

Saya jangka sekiranya hanya ada dua pilihan jika UMNO diharamkan sama ada ahli UMNO masuk Bersatu ataupun masuk PAS, ramai ahli UMNO di akar umbi akan masuk PAS berbanding masuk Bersatu.

Hampir semua orang Melayu adalah Islam, dan hampir semua orang Islam di Malaysia adalah Melayu.

Oleh itu UMNO yang memperjuangkan Melayu dan PAS yang memperjuangkan Islam sebenarnya mewakili kumpulan yang sama.

Namun lain pula halnya dengan Bersatu. Mereka mahu menarik sokongan orang-orang Melayu dan Islam tetapi segan atau tidak mahu pula untuk memperjuangkan Melayu dan Islam.

Malah dalam perlembagaan parti Bersatupun langsung tidak disebut tentang perjuangan Melayu dan Islam.

Ini kerana Bersatu ingin menjaga hati DAP dan PKR, parti-parti terkuat dalam PH yang menolak perjuangan berasaskan kaum Melayu dan agama Islam.

Oleh sebab-sebab inilah orang-orang Melayu rata-rata tidak percaya kepada Bersatu untuk mewakili mereka walau apapun yang Dr. Mahathir dan pemimpin Bersatu kata.

Orang-orang Melayu tahu bahawa Bersatu hanya mahu menggunakan mereka untuk menang pilihan raya.

Walaupun PAS mewakili kumpulan yang sama dengan UMNO, namun satu parti Melayu yang kuat iaitu UMNO masih diperlukan.

Ini adalah kerana masalah orang-orang Melayu Islam di Malaysia bukan sahaja berkisar tentang agama, tetapi ia banyak berkisar tentang soal kaum.

Contohnya, dari segi sosioekonomi, ramai orang Melayu didiskriminasi dalam bidang pekerjaan dan perniagaan bukan kerana mereka Islam tetapi kerana mereka Melayu.

Prejudis yang menyebabkan diskriminasi di Malaysia masih berlaku ke atas kaum dan warna kulit.

Oleh itu, untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan menentang prejudis dan diskriminasi ke atas Melayu dan memperbetulkan ketidaksebangan ekonomi yang disebabkan olehnya, suatu parti Melayu masih diperlukan.

Perjuangan orang-orang Melayu di Malaysia adalah untuk bangsa dan agama. Sebab itu UMNO dan PAS adalah saling lengkap-melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain.

KETIGA, ahli-ahli UMNO boleh menubuhkan parti baru dan kekal dalam BN jika UMNO diharamkan.

Penubuhan parti baru memakan masa untuk kelulusan Perdaftar Pertubuhan dan sebagainya. Kerajaan PH tentunya akan melambat-lambatkan proses ini.

Walaupun demikian, untuk orang UMNO bertanding pilihan raya, tidak perlu tubuh parti politik yang menggantikan UMNO jika ia diharamkan, sebab calon-calon UMNO selama ini menggunakan lambang Barisan Nasional dan bukannya lambang UMNO untuk bertanding pilihan raya.

Mengikut undang-undang seseorang calon hanya perlu mendapatkan watikah daripada pengerusi parti politik yang mana ia menggunakan lambang untuk bertanding.

Oleh itu selagi Barisan Nasional masih ada, maka tidak ada masalah untuk calon-calon UMNO bertanding pilihan raya seperti biasa dengan menggunakan lambang Barisan Nasional.

Sekiranya Barisan Nasional pula diharamkan, maka semua calon pembangkang UMNO masih boleh bertanding menggunakan lambang bebas walaupun mereka mewakili satu parti yang telah diharamkan.

Oleh itu, sebenarnya ahli-ahli UMNO tidak perlu masuk Bersatu atau PAS sekiranya UMNO diharamkan tetapi boleh terus istiqamah bersama Barisan Nasional.

Secara peribadi, saya tidak rasa Dr. Mahathir berani mengharamkan UMNO.

Sebab jika dia berbuat demikian, bukan sahaja pemimpin atasan UMNO akan menentangnya, namun seluruh akar umbi UMNO daripada peringkat cawangan akan membenci dan menolak beliau.

Dan sebab ini juga mereka tidak akan masuk Bersatu. Malah ia akan memberikan asbab yang lebih kuat untuk mereka menentang Mahathir.

Dr. Mahathir faham akan psyche orang-orang Melayu. Sebab itu pada hemat saya, jika dia masih rasional, dia tidak akan berani haramkan UMNO.

Namun jika dia buat dan haramkan UMNO juga, ini bermakna dia sudah amat tertekan dan terdesak dan tidak ada pilihan lain. Kita tidak boleh ikut pemimpin yang terdesak.

Siapa yang ingin menjadi Perdana Menteri perlu menjadi penyatu orang-orang Melayu.

Jika tidak, Perdana Menteri itu akan terus menjadi boneka DAP dan negara tidak akan stabil jika kebajikan orang-orang Melayu tidak dijaga.

DAP tidak akan menjaga orang-orang Melayu walau seramai mana pemimpin Melayu dilantik menjadi boneka mereka.

Orang yang boleh menyatukan Melayu adalah orang dari dalam UMNO, sebab UMNO masih parti Melayu yang terbesar dengan sokongan akar umbi Melayu yang teramai.

Oleh itu sesiapa yang ingin memimpin negara sebagai Perdana Menteri, dia perlu menyatukan UMNO dahulu.

Kemudian menyatukan UMNO dan PAS. Kemudian menarik parti-parti Melayu lain.

Dan untuk mendapat sokongan rakyat, UMNO perlu membuat pembaharuan.

Sebab itu Dr. Mahathir tidak sesuai untuk memimpin UMNO kembali atau memimpin parti Melayu baru yang bersatu.

Dr. Mahathir tidak akan membawa apa-apa pembaharuan. Pepatah Inggeris ada menyebut, “Old habit die hard”, atau “Perangai lama susah mahu diubah”.

Siapakah pemimpin UMNO yang boleh menyatukan UMNO dan orang-orang Melayu ini kini?

Saya akan menulis dengan lebih lanjut berkenaan hal ini kelak.

Oleh Isham Jalil

10 Julai 2019

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/493100404778822?s=1180765013&sfns=mo

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts