KENYATAAN MEDIA PUTRA MENGENAI HUKUMAN PENJARA WAN JI

418
SHARES
2.5k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PARTI BUMIPUTERA PERKASA MALAYSIA (PUTRA) BERKAITAN SABITAN DAN HUKUMAN PENJARA 1 TAHUN KE ATAS WAN JI WAN HUSSIN DI BAWAH AKTA HASUTAN 1948

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. PUTRA menyambut baik ketegasan YA Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak Rayuan Wan Ji Wan Hussin atas kesalahan menghasut untuk menimbulkan kebencian terhadap DYMM Sultan Selangor serta menghukum beliau dengan pemenjaraan selama 1 tahun.

2. Sebaik sahaja keputusan diumumkan, ramai pemimpin Pakatan Harapan seperti YB Dato Seri Anwar Ibrahim dan Syahredzan Johan mengkritik keputusan tersebut sebagai terlalu keras dan melampau.

3. Asas kritikan Pakatan Harapan terhadap keputusan tersebut dilihat tidak berlandaskan fakta, melainkan mereka memainkan sentimen politik kerana Wan Ji adalah aktivis agama dalam PH dan juga atas naratif janji PH untuk memansuhkan Akta Hasutan.

4. Sebelum kita terpengaruh dengan hujahan politik pemimpin PH berkaitan isu ini, PUTRA menjemput semua untuk menelusuri sejarah kenyataan-kenyataan keras Wan Ji sejak tahun 2010 yang secara terang-terangan dalam ceramah-ceramah dan rangkaian media sosial beliau menghasut rakyat membenci Raja dan Sultan sehingga turut membuat satu perancangan untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti dan video perancangan beliau itu boleh ditonton di sini:- https://youtu.be/qWwVVlAuZ9c

5. Di dalam kertas pertuduhan, beliau didakwa telah mengeluarkan kata-kata berikut terhadap Sultan Selangor khasnya dan terhadap Sultan-Sultan lain umumnya melalui laman Facebook beliau pada jam lebih kurang 10.00 pagi 8 November 2012:

(1) “Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”

(2) “Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama…”

(3) “Perasan bagus, tapi bodoh agama…”

(4) “Buang je Sultan-Sultan ni…”

(5) “Perabis duit rakyat…”

(6) “Si syaitan ni buat projek pembodohan…”

(7) “Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”

(8) “Firaun moden…”

(9) “Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi Sultan…”

(10) “Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”

6. PUTRA percaya sebelum Hakim Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman penjara 1 tahun ke atas beliau, Hakim telah mempertimbangkan faktor mens rea (niat) Wan Ji ketika memuatnaik kenyataan-kenyataan menghasut berkenaan yang konsisten dengan perancangan beliau untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti.

7. Dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang di lakukannya, PUTRA berpandangan hukuman penjara 1 tahun adalah amat ringan dan sepatutnya beliau dihukum maksimum penjara 3 tahun dan denda maksimum RM5000 seperti hukuman yang terkandung mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

8. PUTRA mendesak Pejabat Peguam Negara membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengkaji semula hukuman penjara 1 tahun berkenaan sebagai terlalu ringan untuk dinaikkan kepada maksimum 3 tahun dan denda maksimum RM5000 bagi memberikan pengajaran bukan sahaja kepada Wan Ji tetapi kepada sesiapa sahaja yang melakukan jenayah yang berkecenderungan menghasut seperti di dalam Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.

9. Hasutan untuk membenci sehingga merancang untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu adalah satu kesalahan serius yang jika tidak dibendung dan disekat, akan mencetuskan huru-hara terhadap keselamatan negara kerana Institusi Raja-Raja Melayu adalah tonggak utama pembentukan Negara Demokrasi Malaysia sejak 1957.

10. PUTRA percaya sebarang anasir yang cuba meruntuhkan tiang seri negara ini harus dihukum mati sepertimana kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong yang di peruntukan di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan.

11. PUTRA juga percaya sebarang cubaan pemimpin PH untuk mengkritik hukuman ini adalah satu penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu kerana keberanian mereka menunjukkan sokongan terhadap penjenayah yang sedang menghasut rakyat menumbangkan Institusi Beraja di Malaysia tidak menjadikan mereka berbeza dengan penjenayah tersebut.

12. PUTRA bertegas akan menjadi benteng mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dari sebarang cubaan penjenayah seperti Wan Ji yang cuba untuk meruntuhkannya.

13. PUTRA percaya hikmah daripada penghakiman kes Wan Ji ini adalah memadai sebagai bukti bahawa Malaysia masih memerlukan Akta Hasutan 1948 untuk mengawal dan mengimbangi hak kebebasan bersuara.

14. Oleh itu PUTRA berkongsi pandangan Tun Abdul Hamid mantan Ketua Hakim Negara agar kerajaan tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 malah dinaikkan lagi hukumannya kepada penjara 10 tahun dan boleh dikenakan sebat.

15. Kerajaan terdahulu telah melakukan kesilapan apabila menghapuskan semua undang-undang yang boleh menyekat unsur subversif dalam negara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA dan Ordinan Darurat.

16. PUTRA memberi amaran kepada kerajaan PH agar jangan mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu dengan cuba memansuhkan Akta Hasutan 1948 pula.

17. Dalam keadaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, adalah suatu langkah membunuh diri jika Akta Hasutan 1948 digantung atau dimansuhkan.

DAULAT TUANKU.

PUTRA PERKASA NEGARA

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Naib Presiden PUTRA merangkap Pengerusi Perhubungan Biro Undang-undang dan Pengaduan Awam PUTRA

10 Julai 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts