PERLAKSANAAN HUKUM SYARIAT TIDAK PERNAH TERBANTUT SEPANJANG ZAMAN KESULTANAN MELAYU

432
SHARES
2.2k
VIEWS

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi

Raja Melayu memerintah berdasarkan Undang-undang Perlembagaan Negeri masing-masing, sebelum dan selepas Hari Persekutuan.

Hari Persekutuan bermula pada 1 Februari 1948 apabila Negeri-negeri Melayu dan Negeri Selat bersekutu melalui perjanjian interim, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 bertarikh 21 Januari 1948.

Pada 5 Ogos 1957, Persekutuan diperkukuhkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang menginstitusikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 pada 31 Ogos 1957 oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-pembesar Memerintah) bagi Negeri-negeri Melayu dengan Kerajaan British bagi pihak Negeri Selat.

Tarikh itu dipopularkan sebagai Hari Merdeka kerana tamatnya campur tangan British dalam hal ehwal Tanah Melayu berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957.

Perlu dinyatakan bahawa amalan syura dan keadilan ialah teras pemerintahan tradisional Melayu. Prinsip itu ialah manifestasi Raja-Raja Melayu sebagai khalifah seperti terkandung dalam Hukum Kanun Melaka dan Perlembagaan-perlembagaan bertulis pascanya seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Johor, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan Itqanul Muluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) 1911.

Misalnya, Perkara 32 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Bahagian Pertama) memelihara keabsahan Perlembagaan sebelum Hari Persekutuan. Perlembagaan Negeri Sembilan sebelum Hari Persekutuan mendokong amalan syura dan keadilan dalam kerangka adat pepatih dan adat Melayu berlandaskan patuh syariah. Prinsip itu menunjukkan Raja Melayu di Negeri Sembilan tidak berkuasa mutlak.

Istilah berkuasa mutlak sering digambarkan dengan pemerintahan kuku besi, bebas melakukan keputusan sesuka hati hingga berlaku kezaliman dan penindasan.

Prinsip bertunjangkan amalan syura dan keadilan diteruskan selepas Hari Merdeka. Tidak dinafikan dari sudut pelaksanaan prinsip itu berlaku kelemahan tertentu, termasuklah dalam zaman campur tangan British di Tanah Melayu.

Apa yang ingin dipertegaskan di sini ialah sistem politik Kesultanan Melayu bertunjangkan amalan syura, keadilan dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu sebagai khalifah.

Atas kedudukan itu Raja-Raja Melayu dalam sistem politik tradisional Melayu ditaati, bukanlah tanggapan feudalism seperti dianuti di Barat. Mereka tidak memerintah dengan sesuka hati tanpa prinsip kedaulatan undang-undang.

Pemerintahan Raja mutlak seperti difahami dan berlaku di England sebelum The Glorious Revolution 1688 sering dihubungkan dengan amalan beraja di Tanah Melayu.

Perbandingan itu tidak wajar kerana bercanggah dengan sejarah perundangan dan fakta sejarah Tanah Melayu, malah mengakibatkan persepsi buruk kepada Kesultanan Melayu sebelum Hari Merdeka. Salah faham tentang prinsip kedaulatan dan fakta sejarah watan ternyata menimbulkan khilaf sehingga dilihat menggugat pengaruh Institusi Raja dalam sistem politik di Malaysia pada hari ini.

Hakikatnya, Perkara 181(1) dan lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan menuntut amalan syura dan kewajipan semua pihak; Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman untuk menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan ciri kedaulatan Malaysia yang dibina oleh prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

Prinsip itu diperkukuhkan dalam Sumpah Yang di-Pertuan Agong. Amalan syura menuntut kesepakatan dan pelaksanaan tadbir urus yang baik. Pihak yang diberi amanah kekuasaan oleh Allah SWT perlu merapatkan saf untuk berkhidmat kepada agama, nusa dan bangsa.

Ringkasnya, prinsip kedaulatan Negara kita masih mengekalkan prinsip patuh syariah sebagai “Rule of Law“. Kenyataan itu walaupun masih ramai yang menyangkal, merupakan kedudukan sebenar dalam sejarah perundangan tanah air kita dan terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pihak-pihak yang diberi fungsi kuasa Yang DiPertuan Agong, misalnya Jumaah Menteri Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri bertanggungjawab untuk mendokong Sumpah Yang DiPertuan Agong kerana Jumaah Menteri merupakan pihak pelaksana sebahagian besar kuasa eksekutif Yang DiPertuan Agong.

Justeru, marilah kita hidupkan kembali adat budaya kita. Raja dan rakyat berpisah tiada. Kerajaan Persekutuan ialah Kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

Raja dan pemimpin yang dipilih oleh rakyat mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjunjung ajaran Islam, mengamalkan syura, menegakkan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, pangkat dan keturunan serta berkewajipan untuk mempertahankan sistem perlembagaan yang kita warisi sejak ratusan tahun.

Sebarang kekhilafan yang ada, perlulah kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW (substance) yang diuruskan dalam bentuk (form) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari ini cabaran sebenar ialah gerakan untuk menerapkan nilai-nilai yang bertentangan dengan agama di dalam negara kita. Mereka bukan sahaja sedang menyusup masuk malah sedang berusaha untuk menguatkuasakan nilai-nilai itu dalam kerangka undang-undang Negara kita.

Oleh kerana itu perjuangannya, maka mereka akan berusaha untuk memecahbelahkan perpaduan orang Islam dan menyerang semua institusi yang bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan syiar Islam di Malaysia.

Kita berharap Perdana Menteri terus komited untuk teruskan agenda penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan hari ini dan memperkasakan semua institusi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts