MUFTI SELANGOR: ZAKAT ADALAH HAK EKSKLUSIF UMAT ISLAM

427
SHARES
271
VIEWS

1. Sepanjang bulan Ramadan tahun ini umat Islam disajikan dengan sandiwara segelintir pemimpin kafirun dengan penampilan mesra Islam, bagi menggambarkan mereka tidak memusuhi Islam dan menginginkan perpaduan demi keharmonian kehidupan. Hal ini bertambah teruk apabila perbuatan mereka itu mendapat sokongan dan galakan dari golongan Islam Liberal mesra kafirun lagi jahil bab hukum-hakam sehingga melanggar batasan syarak.

2. ZAKAT merupakan rukun dalam Islam, pelaksanaannya adalah ibadah bermula dari pencarian nafkah yang diwajibkan zakat pada sebahagian hasilnya sampailah kepada pengagihan zakat bagi asnafnya. Semuanya ada ganjaran pahala dan keberkatannya. Ia adalah amalan ibadat, maka sayugia zakat adalah urusan mutlak umat Islam sahaja sama seperti kewajiban mendirikan solat, puasa dan mengerjakan haji.

3. Perbuatan menyerahkan pengagihan zakat kepada bukan Islam haruslah dihentikan segera kerana mengundang lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan. Kerja-kerja pengurusan pengagihan zakat hendaklah dilakukan sepenuhnya oleh mereka yang dilantik dan mendapat tauliah sebagai wakil bagi pihak DYMM Tuanku Sultan sahaja, menurut Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Ini kerana DYMM Tuanku Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri.

4. “Maka, semua pengurusan zakat adalah di bawah kuasa DYMM Tuanku Sultan yang telah mewakilkan kepada Lembaga Zakat Selangor untuk mengutip dan mengagih harta zakat kepada mereka yang berhak,” tegasnya melalui satu kenyataan rasmi kepada Sinar Harian.

Rujuk: https://www.google.com.my/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/31383

5. Kekalutan ini timbul susulan dari tindakan tiga pemimpin bukan Islam iaitu ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer s/o Rajaji Rayer dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani a/p Patto yang didapati mengedarkan zakat kepada asnaf zakat di Pulau Pinang. Datuk Mufti Selangor mengaitkan kisah Sayyidina Umar al-Khattab RA yang telah menolak seorang Nasrani yang diberikan tugas oleh Abu Musa sebagai penulis zakat dan berkata: “Janganlah kalian serahkan amanah itu kepada mereka (golongan kafir) kerana mereka telah berbuat khianat kepada Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa pengurusan zakat adalah urusan umat Islam,” kata Datuk Mufti Selangor sebagai hujah mengapa ia terlarang.

6. Selain itu, Mufti turut menegur sikap pemimpin Islam yang menganjurkan majlis berbuka puasa di kuil atau rumah ibadat bukan Islam, dengan berkata, “Adalah lebih baik menganjurkan program iftar di perkarangan masjid, surau atau dewan orang ramai dengan menjemput rakan-rakan bukan Islam dan dalam masa yang sama berdakwah memberi kefahaman tentang agama Islam kepada mereka.

7. “Berbuka puasa di sesuatu tempat tidak membatalkan puasa seseorang atau menyebabkan nilai puasanya berkurang. Namun begitu, sebaik-baik ibadah itu hendaklah dilakukan di tempat yang sesuai jauh dari unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah SWT. Tidak boleh dicampur adukkan dengan amalan dan kepercayaan agama lain. Berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam untuk mencapai tujuan keharmonian dan perpaduan bukanlah satu cara yang baik. Pemimpin disyorkan memilih platform lain demi mengelakkan fitnah terhadap akidah umat Islam.”

8. Datuk Mufti juga turut berkongsi sejarah kisah Sayyidina Umar al-Khattab RA yang dipelawa untuk solat di dalam gereja oleh paderi di Jurusalem. “Riwayat berkenaan menggambarkan bagaimana Amirul Mukminin sangat berhati-hati dalam tindakannya dan sentiasa meletakkan perkara ibadah dan aqidah keutamaan yang bertepatan dengan konsep saddu az-zara’i iaitu menutup pintu-pintu kemudaratan dan kerosakan.

9. “Sesungguhnya, ibadah Islam tidak akan dilakukan di dalam rumah ibadat yang mempunyai unsur syirik dan kekufuran,” kata Datuk Mufti Selangor di akhir kenyataannya.

10. MUAFAKAT menyokong dan bersama dengan Datuk Mufti Selangor atas keberaniannya menyatakan perkara haq tanpa berasa bimbang tekanan yang bakal dihadapinya dari pemimpin yang mentadbir negeri yang beliau wakili. Beliau yakin DYMM Tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Agama lebih berhak dalam menentukan hala tuju umat Islam di kalangan rakyat Baginda.

11. Dan jika terdapat sebarang tekanan dan tindakan yang melanggar akta perundangan badan negeri, MUAFAKAT tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan seluruh rakyat negeri Selangor bangkit mempertahankan Datuk Mufti Selangor melalui himpunan rakyat mempertahankan kedaulatan institusi Majlis Agama Islam Negeri Selangor.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT merangkap

Exco Sekretariat UMMAH

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend