MUAFAKAT GESA KERAJAAN HARAMKAN TERUS PROGRAM BERSANGKUTAN MEMPROMOSIKAN LGBT

19
SHARES
210
VIEWS

Setelah desakan daripada beberapa NGO dan juga JAKIM, laman web penganjur Konferens Antarabangsa Kali Ke-2 Gender & Seksualiti yang dilihat cuba membawa agenda pengiktirafan budaya LGBT telahpun menukar tempat penganjuran yang sebelum ini dijadualkan di Kuala Lumpur ke Bangkok.

MUAFAKAT turut sama ingin menyatakan pendirian agar penganjuran program yang seumpamanya diharamkan terus daripada mendapat tempat dan ruang di Malaysia. Pendirian tegas perlu diambil memandangkan ini merupakan cubaan kali kedua untuk mengiktiraf LGBT selepas peristiwa perarakan LGBT sempena Hari Wanita Sedunia di ibu kota pada 9 Mac 2019 yang lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, jumlah peserta perarakan itu adalah kira-kira 1,000 orang yang turut disertai beberapa NGO seperti Women Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS), aktivis dan pelajar.

Kini Malaysia sekali lagi diintai oleh pihak yang memperjuangkan LGBT dan kali ini oleh pihak luar untuk mengangkat agenda mereka melalui Konferens Antarabangsa Kali ke-2 Gender & Seksualiti agar tuntutan mereka didengari secara halus. Dimaklumkan juga bahawa konferens tersebut akan turut diberikan pengisian oleh aktivis transgender U.S iaitu Jessica Lynn dan aktivis transgender Sri Lanka iaitu Bhoomi Harendran serta turut merangkumi perbincangan panel berkenaan “LGBTQI+ Rights, Culture and Society”.

Peranan Kerajaan di dalam Membendung Program Promosi LGBT

Persoalannya sekarang mengapa program-program seperti ini menjadi semakin galak sejak mutakhir ini? Memetik pandangan salah seorang ahli panel Seminar Pasca Moden: Pemusnah Keharmonian & Perpaduan Umat Islam anjuran bersama Muafakat dan JAIS iaitu Dr Azmil Zainal Abidin, Pensyarah Kanan UM, beliau mengatakan tuntutan golongan liberal selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dilihat semakin lantang ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan dan perubahan landskap negara mempercepatkan penonjolan unsur-unsur liberal yang berasal daripada Barat.

Sehubungan itu MUAFAKAT berpandangan perlunya ada ‘cut-off point’ oleh pihak kerajaan khusus berkenaan penganjuran sebarang program berkaitan promosi agenda LGBT ini. Sungguhpun sebelum ini Perdana Menteri Tun Mahathir pada September 2018 pernah menekankan bahawa LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini susulan permintaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya kerajaan mengiktiraf golongan itu di negara ini, tetapi perancangan penganjuran ini menunjukkan sikap kerajaan yang kurang tegas dan bersungguh-sungguh terhadap pendirian yang dinyatakan.

Sudah sampai masanya kerajaan menyampaikan mesej yang lebih jelas dan lantang khasnya di pentas dunia berkenaan pendirian bahawa Malaysia sama sekali tidak akan mengiktiraf amalan LGBT dan ia adalah tanpa kompromi.

Ini perlu diterjemahkan melalui garis panduan penganjuran program yang lebih ketat dan apa sahaja program yang bersangkutan bagi mempromosi agenda LGBT hendaklah ditolak secara automatik di peringkat penapisan pertama lagi.

Wacana ‘Post Truth’ dan Normalisasi Masyarakat

Sesungguhnya Konferens Antarabangsa Kali Ke-2 Gender & Seksualiti merupakan salah satu daripada pelbagai wacana ‘post truth’ yang cuba menggalakkan proses penilaian semula nilai-nilai yang dipegang atas nama perubahan, pembangunan dan kepelbagaian.

Hak untuk mencintai sesama jantina akan diberi justifikasi murni bertemakan hak asasi manusia, hak memilih, ketulusan cinta dan sebagainya agar di hujung penceritaan masyarakat akan menerima individu LGBT ini sama seperti individu normal lain yang membentuk sesuatu struktur masyarakat. Inilah yang dinamakan sebagai normalisasi.

Malah kisah penindasan LGBT dicanang-canang sebagai penindasan golongan minoriti dilaporkan secara tidak benar di dalam proses Universal Periodic Review (UPR) dan dijadikan suatu piawaian nilai barat terhadap apa yang dianggap sebagai normal dan tidak normal.

Bagi umat Islam, sudah tentu Kebenaran atau TRUTH itu adalah wahyu yang diturunkan melalui Rasul-rasul melalui Quran dan Sunnah. Dalam permasalah LGBT, Allah SWT sebagai Khaliq atau Pencipta kepada manusia telah berfirman di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 165 dan 166 yang bermaksud:

“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,

“Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”

Jelas bahawa individu LGBT perlu disantuni dengan rahmah iaitu bermula dengan mengakui bahawa amalan LGBT adalah tidak normal (tidak mengikuti fitrah) dan oleh itu mereka perlu disantuni sebagai seorang pesakit dan memerlukan rawatan.

Homoseksualiti adalah merupakan salah satu penyakit mental sebelum dikeluarkan dari takrifan penyakit mental oleh American Psychiatric Association pada tahun 1973 bermula dengan manual diagnostik dan statistik (DSM) ke-3.

Ramai pengkritik daripada kalangan pakar psikiatri juga menyatakan keputusan membuang pengkelasan homoseksualiti bukanlah berdasarkan hasil kajian yang saintifik tetapi merupakan lobi aktivis hak asasi manusia semata-mata dan tekanan politik.

World Health Organization (WHO) juga telahpun membuang homoseksualiti dari klasifikasi penyakit dalam ICD-10 dalam tahun 1992, walaupun masih mengekalkan terma “ego-dystonic sexual orientation” iaitu pengamal homoseksualiti yang merasa bersalah dengan orientasi seksual mereka, dalam pengkelasan tersebut.

Terdapat ura-ura ICD-11 akan mengeluarkan sama sekali sebarang terma berkaitan pengamalan homoseksualiti. Akibatnya usaha untuk menangani kecelaruan gender di peringkat perubatan profesional terhenti.

Kita tidak dapat bayangkan apa berlaku jika nasihat-nasihat berpandukan agama diketepikan sama sekali.

Oleh itu sebarang pengiktirafan hanya menghalang golongan LGBT daripada hakikat yang mereka adalah pesakit dan memerlukan rawatan. Sebagai pesakit mental tentulah hak mereka berlainan dengan anggota masyarakat normal yang lain dengan mengambil kira faktor keselamatan, budaya dan nilai.

Kesimpulannya, sebarang wacana dan dialog berkenaan penilaian semula status LGBT di dalam masyarakat adalah tidak perlu sama sekali. Yang diperlukan adalah wacana bagaimana untuk merawat kembali golongan LGBT ini agar mereka dapat kembali kepada masyarakat sebagai insan yang normal.

Rahmatan Lil Alamin sebagai penyelesaian masalah dan MUAFAKAT sekali lagi ingin memetik kata-kata Dr Azmil iaitu Malaysia baharu dapat dibina bersama-sama integrasi nasional melalui kaedah kesaksamaan dan kesatuan nilai-nilai moral dipegangi yang berasal daripada ajaran Nabi SAW.

Oleh itu, daripada memperkenal dan menggalakkan amalan-amalan seperti berbuka puasa di rumah ibadat agama lain, penyampaian zakat oleh non muslim dan lain-lain yang dilihat MUAFAKAT sebagai tidak berasas dan tidak mempunyai tujuan yang jelas sama ada dalam memupuk perpaduan mahupun mengembangkan mesej Islam sebagai Rahmatan lil Alamin yang sebenar, maka lebih elok dicontohi gerakan kempen “Wear White” yang mana menggabungkan penganut-penganut agama yang pelbagai di Singapura di dalam mempertahankan konsep dan nilai tradisi kekeluargaan sedia ada bagi menghadapi budaya dan cabaran gerakan LGBT.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend