APA MOTIF ZAKAT PULAU PINANG (ZPP) BENARKAN ZAKAT DIAGIH OLEH INDIVIDU BUKAN ISLAM?

671
SHARES
2.4k
VIEWS

Isu zakat diserahkan oleh orang bukan Islam dikatakan sebagai tiada isu dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga sudah berkata ia sebagai harus.

Maka sekali pandang kita lihat sebagai ‘tiada isu’ seperti yang diperkatakan sedangkan isu sebenarnya ialah;

“Kenapa orang bukan Islam terutamanya pemimpin DAP begitu beriya-iya ingin menyerahkan wang zakat tersebut?”

Tidak adakah pemimpin atau tokoh Islam yang layak menyerahkannya? Apakah maksud di sebalik semua perkara ini berlaku sehingga mereka yang bukan beragama Islam dibenarkan untuk mengagihkannya?

Kenapa Majlis Agama Islam Pulau Pinang, khususnya Zakat Pulau Pinang (ZPP) membenarkan orang yang bukan Islam mencampuri urusan umat Islam?

Apa manfaatnya?

Menurut Wan Salim, dari sudut fekah, adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

“Ini hanya yang berkaitan dengan mu’amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.”

“Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain,” katanya seperti dipetik Bernama pada majlis Iftar dan Pembayaran Zakat Perniagaan di Butterworth, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada penularan gambar berkaitan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang di media sosial.

Wang zakat ini diserahkan oleh masyarakat atau institusi Islam yang layak mengeluarkan zakat kepada Pusat Pungutan Zakat yang wajib diuruskan oleh orang Islam, termasuk mereka yang dipertanggungjawabkan sebagai pengagih dan penerimanya juga adalah dalam kalangan orang Islam.

Bayangkan jika ada ‘agihan seumpama zakat’ untuk penganut Kristian ataupun Buddha yang disampaikan oleh seorang Islam, bukankah janggal dan sebaiknya ia disampaikan oleh pemimpin Kristian atau Buddha itu sendiri kerana itu urusan agama mereka.

Tentu penganut Kristian atau Buddha juga hairan dan membantah perkara tersebut. Namun jika mereka tidak membantah sekalipun, itu urusan agama mereka dan umat Islam tidak perlu sibuk-sibuk mengikuti cara mereka.

Bagi orang Islam, wajib jangan menerima dan membiarkan perkara ini dari berlaku selepas ini, kelak dikhuatiri akan membuatkan kita lali dan akhirnya menerima sahaja perlakuan yang berunsurkan liberal seperti ini.

Tidak perlupun kita berbangga atau teruja pemimpin DAP yang bukan Islam ini membuat agihan sedangkan sebelum ini mereka sendiri sering masuk campur, mempersenda dan menyakiti hati umat Islam dengan pelbagai kenyataan yang tidak sepatutnya.

Jika benar mereka hendak bersama-sama bersolidariti dengan masyarakat Melayu yang beragama Islam di negara ini maka;

Apa kata DAP dan pemimpin-pemimpinnya memperakui dan bersama-sama mempertahan Perlembagaan yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan hak-hak Melayu?

Jika tidak berani berbuat demikian, maka tindakan pemimpin DAP mengambil tanggungjawab orang Islam mengagihkan zakat itu tentu hanya bermotifkan politik.

Kita tunggu apa pandangan Mufti-mufti lain selepas ini.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts