DAP VS MASZLEE: MENYERANG ADALAH PERTAHANAN YANG TERBAIK

59
SHARES
435
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Serangan demi serangan oleh DAP kepada Menteri Pendidikan kerajaan PH yang mana DAP adalah sebahagian darinya. Belum pernah terjadi dalam sejarah negara, anggota kerajaan menyerang menteri kerajaan sebegini hebat. Itulah DAP, jika kehendaknya tidak dipenuhi maka terimalah ‘buah tangan’ dari DAP. DAP tidak pernah malu-malu untuk menyerang rakannya sendiri manakala rakan yang diserang pula malu-malu untuk mempertahankan diri sendiri. Sekutu PH yang lain juga malu-malu dengan DAP untuk mempertahankan Dr. Maszlee.

2. Dalam kemelut DAP-Maszlee, kerajaan Pakatan Harapan dilihat menggunakan kekuatan dari anggota perkhidmatan awam untuk mempertahankan YB Menteri Pendidikan. Anggota perkhidmatan awam, majoritinya Naib-naib Canselor IPTA telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan program matrikulasi khusus untuk Bumiputera sekaligus menyokong Dr. Maszlee. Malangnya Naib-naib Canselor ini telah menjadi sasaran serangan DAP hanya kerana tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh DAP dan sekutunya.

3. Prof. Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM telah ‘dibuli’ oleh ahli-ahli DAPSY hingga mempertikaikan kelayakan akademik Prof. Dr. Asma. Adakah DAP ‘garang’ menyerang Prof. Dr. Asma kerana beliau wanita? Jika benar, di mana suara pejuang-pejuang wanita DAP seperti Teresa Kok, Hannah Yeo, Chong Eng? Mereka ini antara pemimpin besar DAP dan boleh menasihatkan ahli CEC DAP serta ahli DAPSY agar tidak membuli wanita. Naib-naib Canselor dan bekas Naib Canselor juga diserang DAP walaupun tidak sehebat serangan terhadap Prof. Dr. Asma hanya kerana mereka mengemukakan fakta mengenai program matrikulasi.

4. Turut menambah ‘garam dan kicap’ dalam serangan DAP terhadap Dr. Maszlee ialah MCA dan GERAKAN. Barangkali GERAKAN dan MCA mahu membuktikan kepada masyarakat Cina mereka masih wujud walaupun suara mereka tidak sekeras DAP. Serangan MCA terhadap Dr. Maszlee dimanipulasi oleh DAP bahawa BN juga menyokong DAP dalam isu ini. Manakala serangan GERAKAN terhadap Maszlee pula dianggap ketidakpuasan hati bekas komponen BN yang selama ini ditekan semasa di dalam BN. Sungguh cekap DAP memanipulasi situasi. Setiap peluang yang terbuka, akan gunakan untuk menyerang lawan mereka.

5. Menteri-menteri DAP yang hadir semasa mesyuarat kabinet memutuskan untuk meneruskan program matrikulasi Bumiputera, diam seribu bahasa. Tidak kedengaran langsung suara Lim Guan Eng, Gobind Singh, Teresa Kok, Hannah Yeo dan lain-lain menyatakan mereka ada bersama ketika keputusan dibuat. Sepatutnya merekalah yang perlu tampil ke hadapan membela Dr. Maszlee kerana mereka tahu dan turut berbincang (dalam mesyuarat kabinet) mengapa program matrikulasi Bumiputera perlu diteruskan. Menteri DAP jangan jadi ‘talam dua muka’ atau ‘duri dalam daging’ kepada kabinet yang telah bersetuju program matrikulasi Bumiputera diteruskan.

6. Serangan habis-habisan DAP dan sekutu mereka dalam isu matrikulasi Bumiputera menepati strategi “menyerang adalah pertahanan yang terbaik”. DAP tahu jika mereka tidak ‘menyerang’ di dalam isu ini, akan wujud ruang untuk rakyat khususnya masyarakat Cina menghadam jawapan-jawapan akademik beserta fakta yang dikemukakan dalam isu ini. Serangan DAP dalam isu ini adalah ‘serangan terancang’ bagi memastikan isu ini kekal relevan bagi mengekalkan sokongan kepada DAP. Berilah apa jua jawapan yang rasional dan berfakta kepada DAP, mereka tidak akan mempedulikannya. 

7. Yang penting mereka akan terus menyerang dan menyerang. Apa saja platform yang ada, akan digunakan. Ahli-ahli CEC, ahli-ahli DAPSY, NGO pro DAP, portal-portal berita pro DAP , individu tertentu pro DAP dan lain-lain akan ditentukan untuk menyerang sesuai kehendak DAP. Selagi sasaran tidak dimusnahkan atau kehendak mereka belum tercapai, selagi itu mereka tidak akan berhenti. Inilah realiti yang sedang ditanggung oleh Dr. Maszlee dan kerajaan Pakatan Harapan…..

P/S: Tahniah buat penjawat awam terutama Naib-naib Canselor IPTA yang mempertahankan dasar kerajaan walaupun anda sering dimusuhi oleh kerajaan PH….

Diambil dari blog beliau, “Anuar Shaari Menulis“)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend