TIDAK PELIK MASZLEE DISERANG DAP, PERINGATAN TELAH DIBERI “LAMA DAHHH”

188
SHARES
1.2k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Sebelum PRU ke-14 ada yang telah mengingatkan bahawa DAP ini adalah jenis parti yang kuat ‘gigit kawan’. PAS yang pernah bersekutu dengan DAP dalam Pakatan Rakyat telah disingkirkan hanya kerana tidak bersetuju dengan cara dan dasar DAP mengendalikan Pakatan Rakyat ketika itu. Selepas penyingkiran, PAS diserang bertalu-talu oleh DAP dan sekutunya konon PAS adalah sebuah parti yang keras kepala dan tidak boleh bertoleransi dengan DAP.

2. Namun sebenarnya, DAP lah parti yang keras kepala dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan mereka. Bagi DAP, apabila PAS atau parti sekutu mereka mahu berbuat sesuatu, ianya mesti mendapat izin DAP dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan mereka. Namun apabila DAP mahu berbuat sesuatu yang melibatkan kepentingan mereka, DAP boleh membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan mesyuarat pimpinan tertinggi.

3. Itulah DAP, “kepentingan aku adalah hak aku, kepentingan engkau juga adalah hak aku yang menentukan”. Dari gabungan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, DAP atau lebih tepat lagi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lah yang menentukan segala dasar-dasar dalam gabungan mereka. Parti-parti ‘besar’ pembangkang ketika itu seperti Semangat 46 dan PAS amat tidak selesa dengan DAP.

4. Sebagaimana dahulu, begitulah juga sekarang. Inilah hakikatnya dalam isu Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan dicaci dan diprotes dengan hebat sekali oleh DAP. DAP tetap konsisten menyerang sesiapa sahaja yang cuba mendedahkan siapa mereka atau sesiapa yang cuba mengganggu kepentingan mereka. Yang lebih penting lagi, DAP tidak memerlukan izin atau restu mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk memulakan serangan tersebut.

5. Wakil-wakil rakyat DAP secara terbuka menyerang Menteri Pendidikan. 25 dari 30 orang Exco Pemuda DAP (DAPSY) juga menyerang Menteri Pendidikan hanya kerana Menteri Pendidikan mempertahankan kuota Bumiputera bagi kemasukan ke pengajian matrikulasi Kementerian Pendidikan selain mengulas isu Bahasa Mandarin yang tidak wajar dijadikan syarat penerimaan kerja.

6. DAP menyerang Menteri Pendidikan secara berjemaah dan bertalu-talu. Dr. Maszlee nampaknya diam apabila disebut ‘bodoh’ oleh Teng Chan Kim. Lim Kit Siang pula berlagak suci. Hanya mengulas dan menafikan sebaran poster DAP mahu Maszlee meletak jawatan dan digantikan oleh Teo Nie Ching. Kit Siang tidak pula mengulas petisyen anjuran DAP yang mahukan PM segera menyingkirkan Maszlee sebagai anggota kabinet. Adakah Kit “baling batu sembunyi tangan” dalam hal ini?

7. Sementara itu, rakan-rakan Maszlee dalam PPBM dan AMANAH hanya bersuara seperti dalam kelambu dalam mempertahankan Maszlee. Belum dengar lagi rakan-rakan Maszlee dari PKR terutamanya bakal PM ‘mengaum’ mempertahankan Maszlee. Macai-macai PH pula sibuk mengumpul kekuatan dari luar PH bagi mempertahankan Maszlee. Kononnya sekaranglah masa untuk ‘Melayu’ bersatu. Peliknya dalam dalam isu perpaduan Melayu islam UMNO-PAS, tidak pula dianggap Melayu bersatu, malah perpaduan UMNO-PAS pula dikata rasis dan punca perpecahan!

8. Peringatan telah diberikan dahulu, DAP tidak boleh dipercayai. Mengundi PH bermakna mengundi DAP. Gabungan PH adalah ‘DAP led Pakatan‘, berbeza sekali dengan ‘UMNO led BN‘. Malangnya semua ini dipandang sinis, kononnya MCA dan DAP itu sama. Sekurang-kurangnya MCA dahulu menghormati Perlembagaan dan warisan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. Sambanthan. (Cuma sekarang ini barangkali MCA sudah terikut-ikut rentak DAP apabila UMNO tidak lagi berkuasa.)

9. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila DAP akan terus menyerang Dr. Maszlee. Percayalah, bukan Dr. Maszlee sahaja. Sesiapa sahaja yang menyanggah DAP atau tidak tunduk kepada DAP, tunggulah serangan agresif daripada DAP seperti yang berlaku sekarang. Kita sebagai Melayu Islam tidak punya pilihan selain menyokong Dr. Maszlee dalam hal ini. Namun bukan mahu memulangkan paku buah keras kepada macai PH, cuma sekadar peringatan yang boleh dijadikan pengajaran. Peringatan telah diberikan.

Sila baca frasa ini dengan intonasi Perdana Menteri ke-4;

‘Lama dahhhh’……..

(Dipetik dari laman blog beliau “Anuar Shaari Menulis“)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend